Celaan terhadap Orang Yahudi
Surah 2: Al-Baqarah (174 – 176)
Ayat 174
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَيَشْتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنًا قَلِيلًا ۙ أُو۟لَـٰٓئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِى بُطُونِهِمْ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Allah Ta’ala menyatakan orang-orang Yahudi menyembunyikan sifat-sifat Nabi Muhammad saw iaitu sifat-sifat yang menjadi bukti kerasulan baginda yang terdapat dalam kitab-kitab mereka. Firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:
“…………kamu jadikan kitab itu lembaran-lembaran kertas yang bercerai-berai, kamu perlihatkan (sebahagiannya) dan kamu sembunyikan sebahagian besarnya………”
Al-An’am 6:91
Mereka menyembunyikan perkara tersebut kerana khuatir jika mereka menerangkan kebenaran, orang ramai akan mengikuti Rasulullah saw. Dengan demikian mereka akan kehilangan pengikut dan penghormatan serta hadiah yang mereka terima sebelumnya.
Mereka ini memperdagangkan agama semata-mata untuk mencari keuntungan dunia yang sedikit yang menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam neraka. Firman Allah Ta’ala:
“……………Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.”
At-Taubah 9:38
Akibat daripada perbuatan menyembunyikan kebenaran itu, mereka mendapat kemurkaan Allah Ta’ala. Pada hari kiamat kelak Allah Ta’ala tidak melihat ke arah mereka. Dia juga tidak menyucikan mereka iaitu tidak memuji atau menyanjung mereka melainkan mengazab mereka dengan azab yang sangat pedih.
Ayat 175
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشْتَرَوُا۟ ٱلضَّلَـٰلَةَ بِٱلْهُدَىٰ وَٱلْعَذَابَ بِٱلْمَغْفِرَةِ ۚ فَمَآ أَصْبَرَهُمْ عَلَى ٱلنَّارِ
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (agama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.
Mereka menukar petunjuk dengan kesesatan iaitu mereka tidak menunaikan perintah Allah Ta’ala dalam menyebarkan kebenaran yang ada dalam kitab-kitab mereka. Malah mereka menyebarkan kesesatan dengan mendustakan dan mengingkari urusan agama serta mengikuti hawa nafsu mereka.
Mereka itu telah jauh tersesat kerana mereka memilih kesesatan bukan petunjuk, memilih kekufuran bukan keimanan dan memilih seksa bukannya keampunan daripada Allah Ta’ala. Alangkah beraninya mereka membuat pelbagai maksiat kepada-Nya sedangkan akhirnya mereka menjadi penghuni neraka.
Ayat 176
ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ نَزَّلَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخْتَلَفُوا۟ فِى ٱلْكِتَـٰبِ لَفِى شِقَاقٍۭ بَعِيدٍ
(Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab dengan mengandungi kebenaran (tetapi mereka berselisih padanya); dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah Allah).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa mereka ini berhak untuk mendapat seksaan-Nya. Ini kerana Dia telah menurunkan kitab-kitab kepada para rasul-Nya yang menegaskan kebenaran yang nyata namun mereka mengingkarinya dengan menolak dan mendustakannya.
Ada yang berpendapat maksud Kitab dalam ayat, “dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab,” ialah Taurat. Ada juga yang berpendapat maksudnya ialah Al-Quran. Manakala orang-orang yang berselisih itu ialah kaum kafir Quraisy. Sebahagian daripada mereka mengatakan Al-Quran itu adalah sihir, dongengan orang-orang terdahulu dan ada juga yang mengatakan ia adalah semata-mata rekaan Rasulullah saw.