Surah 2: Al-Baqarah (163 – 164)

Dalil-dalil Keesaan Allah 

Surah 2: Al-Baqarah (163 – 164) 


Ayat 163

وَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ ۖ لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلرَّحْمَـٰنُ ٱلرَّحِيمُ

Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Allah swt menjelaskan dalam ayat ini bahawa Dia Maha Esa dalam segala hal baik zatNya, sifatNya mahupun perbuatanNya. Hanya Dia sahaja yang berhak dan layak disembah dan tiada sekutu bagiNya. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sabda Rasulullah saw:  

“Nama Allah yang paling agung terdapat dalam dua ayat berikut, “Dan Ilahmu adalah Ilah Yang Maha Esa, tidak ada ilah (yang berhak diibadahi dengan benar) melainkan Dia, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah 2:163) dan ayat, “Alif lam mim. Allah, tidak ada ilah (yang berhak diibadahi dengan benar) melainkan Dia. Yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus makhlukNya.” (Ali ‘Imran 3:1-2)” 

(HR. Abu Daud)

Ayat 164

إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلْفُلْكِ ٱلَّتِى تَجْرِى فِى ٱلْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٍ فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٍ وَتَصْرِيفِ ٱلرِّيَـٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلْمُسَخَّرِ بَيْنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.

Penciptaan langit, bumi, matahari, bulan, bintang, gunung-gunung, daratan, lautan dan lain-lain lagi merupakan dalil keesaan, kekuasaan dan kebijaksanaan Allah Ta’ala dalam mencipta dan mengatur alam ini. 

Pertukaran siang dan malam, panas dan dingin serta terang dan gelap yang bersilih ganti itu memberi banyak manfaat kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Semua proses ini berlaku adalah menurut peraturan yang ditetapkan oleh Allah Ta’ala. FirmanNya: 

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” 

Ali-‘Imran 3:190

Allah Ta’ala juga menghamparkan laut dan menjadikan angin sehingga memudahkan kapal berlayar. Bahkan Dia memberi ilham kepada manusia cara membina kapal sehingga manusia dengan mudah dapat memindahkan barang dari satu tempat ke tempat yang lain. Manusia tidak mampu membinanya tanpa pertolonganNya kerana manusia lahir tidak mengetahui apa-apa. Dialah yang memberi kemampuan kepada manusia dan mengajarkan apa yang dikehendakiNya. FirmanNya: 

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang berlayar) di laut seperti gunung-gunung. Jika Dia menghendaki, Dia akan menenangkan angin, maka jadilah kapal-kapal itu terhenti di permukaan laut. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan)Nya bagi setiap orang yang banyak bersabar dan banyak bersyukur.” 

As-Syura 42:32-33 

Allah Ta’ala menurunkan hujan dari langit sebagai sumber segala kehidupan di bumi. Daripada air hujan inilah pelbagai jenis tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan yang diperlukan oleh manusia hidup dengan subur. Dia juga membiakkan pelbagai jenis binatang yang menjadi sumber makanan, minuman serta tunggangan yang bermanfaat kepada manusia. Allah Ta’ala bukan sahaja menumbuhkan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan membiakkan pelbagai jenis binatang, tetapi Dialah juga yang memberikan rezeki. 

Semua bukti ini menunjukkan pengetahuan dan kasih sayang Allah Ta’ala yang amat luas. Dia telah menyediakan segala yang diperlukan oleh makhluk yang tinggal di bumi. Sesungguhnya Dia Maha Kaya dan tidak memerlukan apa-apa daripada makhlukNya. Hal ini turut menunjukkan kesempurnaan Allah ‘Azza wa Jalla dan hanya Dia yang berhak diibadahi.