Keadaan Orang yang Mati Syahid
Surah 2: Al-Baqarah (154)
Ayat 154
وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَن يُقْتَلُ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتٌۢ ۚ بَلْ أَحْيَآءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.
Allah Ta’ala memberitahu bahawa orang-orang yang mati syahid iaitu terbunuh kerana membela agama-Nya, mereka sebenarnya tetap hidup di alam barzakh dan mendapat rezeki sebagaimana sabda Rasulullah saw:
“Roh orang-orang mukmin itu wujud dalam bentuk burung-burung yang hinggap di pohon-pohon syurga, sehinggalah Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari ia dibangkitkan.”
(HR. Ahmad)
Dalam hadis di atas, terdapat dalil yang menunjukkan keadaan orang-orang beriman di alam barzakh secara umum walaupun dalam ayat ini dikhususkan kepada orang-orang yang mati syahid. Namun begitu, hakikat kehidupan tersebut tidak dapat diketahui mengikut ukuran mata dan fikiran manusia kerana ini adalah perkara ghaib yang perlu diimani. Inilah sebabnya Allah Ta’ala akhiri ayat ini dengan firman-Nya: “tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”