Surah 2: Al-Baqarah (153)

Perintah agar Memohon Pertolongan Allah dengan Sabar dan Solat 

Surah 2: Al-Baqarah (153) 


Ayat 153

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar

Ayat ini sama dengan ayat 45 dalam surah ini. Allah Ta’ala mengulanginya untuk menunjukkan betapa pentingnya memohon pertolongan kepadaNya dengan sabar dan solat. 

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala membimbing hamba-hambaNya untuk memohon pertolonganNya melalui sabar dan solat. Sesungguhnya seorang hamba itu adakalanya mendapat nikmat, lalu mensyukurinya atau ditimpa bencana, lalu bersabar menghadapinya. 

Rasulullah saw bersabda: 

“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin itu, tidaklah sekali-kali Allah menetapkan suatu ketetapan baginya, melainkan hal itu baik baginya. Jika dia mendapat kebahagiaan, dia bersyukur, maka hal ini adalah lebih baik baginya, dan jika mendapat kesusahan dia bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.” 

(HR. Ahmad)

Allah Ta’ala juga menjelaskan bahawa sebaik-baik perkara yang dapat membantu menghadapi pelbagai musibah ialah melalui sabar dan solat. FirmanNya: 

“Dan mintalah pertolongan olehmu (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” 

Al-Baqarah 2:45 

Dalam kitab Sahih Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa sabar terbahagi kepada 3 jenis: 

  • Sabar dalam ketaatan iaitu dalam menunaikan segala suruhan Allah Ta’ala. 
  • Sabar dalam menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah Ta’ala dan perbuatan dosa. 
  • Sabar dalam menerima dan menghadapi pelbagai ujian yang ditakdirkan.