Surah 2: Al-Baqarah (149 – 150) 

Perintah Pertukaran Kiblat  

Surah 2: Al-Baqarah (149 – 150) 


Ayat 149

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۖ وَإِنَّهُۥ لَلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

Perintah untuk berkiblatkan Kaabah diulang sebanyak tiga kali, iaitu dalam ayat 149 sekali dan dalam ayat 150 dua kali. Ini bertujuan untuk menegaskan perintah pertukaran kiblat dengan cara yang berbeza-beza. 

Menurut Al-Qurtubi terdapat tiga hikmah pengulangan perintah pertukaran kiblat: 

  • Perintah pertama ditujukan kepada orang-orang yang melihat Kaabah secara langsung. Mereka ini tinggal di Mekah dan menunaikan solat di hadapan Kaabah. 
  • Perintah kedua ditujukan kepada orang-orang yang berada di negeri-negeri lain atau di masjid-masjid lain sama ada di Madinah atau tempat-tempat lain. 
  • Perintah ketiga pula ditujukan kepada orang-orang yang bermusafir. 

Perintah Allah Ta’ala supaya menghadap ke arah Masjidil Haram ini adalah benar-benar datang daripadaNya dan Dia menyukai serta meredhainya. Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak pernah lengah atau lalai terhadap amalan dan keikhlasan hamba dalam mengikuti ajaran Nabi Muhammad saw dan Allah akan memberikan ganjaran terhadap amalan mereka. 

Ayat 150

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَٱخْشَوْنِى وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِى عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).

Arahan Allah Ta’ala kepada Rasulullah saw dan orang-orang mukmin agar menghadap ke Masjidil Haram walau di mana sahaja mereka berada adalah agar tidak ada alasan atau hujjah daripada orang-orang yang menentang mereka untuk berdebat. Hanya orang-orang zalim sahaja yang akan melakukan perdebatan yang batil. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan kepada Rasulullah saw dan orang-orang mukmin bahawa mereka tidak perlu takut kepada orang-orang kafir untuk melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Dia pasti akan mengurniakan nikmat dan petunjuk kepada orang-orang yang memilih syariatNya yang sempurna.