Surah 2: Al-Baqarah (148) 

Tiap-tiap Umat Memiliki Kiblat  

Surah 2: Al-Baqarah (148) 


Ayat 148

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا ۖ فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا۟ يَأْتِ بِكُمُ ٱللَّهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Abu ‘Aliyah, Mujahid, ‘Ata’, Adh-Dhahhak, Rabi’ bin Anas dan As-Suddi mengatakan bahawa orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani masing-masing mempunyai kiblat sendiri. Bagi orang-orang mukmin pula, Allah swt telah memberikan petunjuk kepada mereka untuk menghadap ke kiblat yang hakiki. 

Namun yang penting bukannya arah kiblat dan tiada gunanya berdebat dengan orang-orang musyrik dalam hal ini. Apa yang lebih penting ialah manusia perlu takut hanya kepada Allah Ta’ala dan tidak menderhakaiNya. 

Mereka juga perlu berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan Allah Ta’ala akan membalas setiap orang sesuai dengan amalan masing-masing. Setiap orang mestilah mempunyai keinginan yang kuat untuk menjadi orang pertama atau tercepat melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan serta kesesatan. Ini kerana tujuan hidup orang-orang Islam yang telah ditetapkanNya adalah untuk mentaati-Nya dan mengharapkan balasan syurga. 

Oleh itu mereka diperintahkan supaya berlumba-lumba melakukan sebanyak-banyaknya amalan kebaikan. Inilah perlumbaan yang mulia. FirmanNya: 

“………….Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikanNya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberianNya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukanNya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.” 

Al-Ma’idah 5:48 

Kelak pada hari kiamat semua manusia biar di mana sekalipun mereka berada akan dihimpunkan oleh Allah Ta’ala untuk dihisab. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa untuk melakukan segala sesuatu.