Surah 2: Al-Baqarah (136 – 137)

Bimbingan Allah Swt agar Beriman kepada Semua Kitab-Nya  

Surah 2: Al-Baqarah (136 – 137) 


Ayat 136

قُولُوٓا۟ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَآ أُنزِلَ إِلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطِ وَمَآ أُوتِىَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَمَآ أُوتِىَ ٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ

Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.

Allah Ta’ala membimbing orang-orang mukmin untuk mengimani apa yang diturunkan kepada mereka iaitu Al-Quran melalui Rasulullah saw. Mereka juga diingatkan supaya mengimani para nabi sebelum itu dan kitab-kitab-Nya yang lain serta tidak membeza-bezakan antara mereka. 

Ayat ini juga merupakan sindiran Allah Ta’ala kepada ahli kitab yang mendakwa bahawa mereka adalah pengikut ajaran Nabi Ibrahim as sedangkan mereka syirik kepada Allah Ta’ala. Ini kerana orang-orang Yahudi mengatakan ‘Uzair adalah anak Allah dan orang-orang Nasrani mengatakan Nabi ‘Isa as sebagai anak Allah. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan. Firman-Nya:  

“Merekalah orang-orang yang kafir sebenar-benarnya. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir itu siksaan yang menghinakan.” 

An-Nisa’ 4:151 

Ayat 137

فَإِنْ ءَامَنُوا۟ بِمِثْلِ مَآ ءَامَنتُم بِهِۦ فَقَدِ ٱهْتَدَوا۟ ۖ وَّإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّمَا هُمْ فِى شِقَاقٍ ۖ فَسَيَكْفِيكَهُمُ ٱللَّهُ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia-lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Sekiranya ahli kitab beriman dengan sebenar-benarnya kepada Allah Ta’ala, nescaya mereka berada atas kebenaran dan memperoleh jalan menuju-Nya. Namun jika mereka berpaling kepada kebatilan setelah adanya hujjah atas diri mereka, mereka akan menjadi musuh Islam. Sesungguhnya Allah Ta’ala akan menolong orang-orang Islam dan memenangkan atas mereka.