Surah 2: Al-Baqarah (130 – 133) 

Wasiat Nabi Ibrahim as dan Nabi Yaakub as  

Surah 2: Al-Baqarah (130 – 133) 


Ayat 130

وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَٰهِـۧمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُۥ ۚ وَلَقَدِ ٱصْطَفَيْنَـٰهُ فِى ٱلدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

Agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim as adalah sebuah agama yang mengajak kepada tauhid dan ikhlas dalam beramal. Agama ini tidak patut ditolak melainkan oleh orang-orang yang ingin memperbodohkan dan menghina dirinya sendiri. 

Ayat ini merupakan bantahan kepada orang-orang kafir yang mengadakan pelbagai perkara baru berupa syirik kepada Allah Ta’ala. Ini bertentangan dengan agama Nabi Ibrahim as yang merupakan kekasihNya dan pemimpin yang hanif (lurus). 

Nabi Ibrahim as telah memurnikan tauhid kepada Allah Ta’ala. Baginda tidak pernah menyeru ilah selainNya dan tidak menyekutukanNya. Malah Baginda berlepas diri daripada kaumnya yang menyekutukan Allah Ta’ala. FirmanNya: 

“………..wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu sekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Rabb yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah.” 

Al-Anam 6:78-79 

Sesiapa yang benci kepada jalan dan cara hidup Nabi Ibrahim as, bererti dia telah menzalimi dirinya dengan kebodohannya disebabkan meninggalkan kebenaran dan memilih kesesatan. Ini kerana mereka menyalahi jalan orang yang telah dipilih oleh Allah Ta’ala di dunia ini untuk memberi petunjuk dan bimbingan sejak Baginda masih muda sehinggalah Baginda dijadikanNya sebagai kekasihNya. Manakala di akhirat kelak Baginda diberikan kebahagiaan dengan dimasukkannya dalam golongan orang-orang yang soleh. 

Ayat 131

إِذْ قَالَ لَهُۥ رَبُّهُۥٓ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Ibrahim as menjadi muslim, iaitu tunduk dan patuh kepada agamaNya dengan mengakui keesaanNya dan memurnikan ketaatan hanya kepadaNya. Agama Allah Ta’ala adalah agama yang datang dengan dalil dan bukti yang nyata serta sesuai dengan akal fikiran. 

Nabi Ibrahim as bersegera patuh dan menyerahkan diri kepada Allah Ta’ala tanpa ada keraguan sedikitpun. FirmanNya: 

“Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah dan hanif. Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Allah).” 

An-Nahl 16:120

Ayat 132

وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبْرَٰهِـۧمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَـٰبَنِىَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub as telah berwasiat kepada anak-anak mereka bahawa Allah Ta’ala telah memilih untuk mereka agama yang mentauhidkanNya iaitu agama Islam, yang dibawa oleh para nabi. Oleh itu mereka diingatkan supaya tetap berpegang teguh kepada agama itu buat selama-lamanya. FirmanNya: 

“Dan (lbrahim) menjadikan kalimah tauhid itu kalimah yang kekal pada keturunannya supaya mereka kembali kepada kalimah tauhid itu.” 

Az-Zukhruf 43:28 

Ayat 133

أَمْ كُنتُمْ شُهَدَآءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ ٱلْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنۢ بَعْدِى قَالُوا۟ نَعْبُدُ إِلَـٰهَكَ وَإِلَـٰهَ ءَابَآئِكَ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ إِلَـٰهًا وَٰحِدًا وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ

(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.

Ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang Yahudi ketika mereka berkata kepada Rasulullah saw bahawa Nabi Yaakub as ketika saat wafatnya telah mewasiatkan anak-anaknya berpegang pada agama Yahudi. Sebenarnya Nabi Yaakub as mewasiatkan anak-anaknya supaya menganut agama Islam iaitu agama yang dianuti oleh Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as dan Nabi Ishak as. Baginda juga berwasiat supaya mereka menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa.