Surah 2: Al-Baqarah (125 – 129) 

Pembinaan Kaabah dan Doa Nabi Ibrahim as

Surah 2: Al-Baqarah (125 – 129) 


Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim

Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as

Ayat 125

وَإِذْ جَعَلْنَا ٱلْبَيْتَ مَثَابَةً لِّلنَّاسِ وَأَمْنًا وَٱتَّخِذُوا۟ مِن مَّقَامِ إِبْرَٰهِـۧمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدْنَآ إِلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِىَ لِلطَّآئِفِينَ وَٱلْعَـٰكِفِينَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ

Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumah-Ku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Ta’ala menjadikan Kaabah sebagai tempat berkumpul bagi manusia dari setiap penjuru dunia sejak zaman dahulu lagi. Hal ini berlaku sebelum Rasulullah saw diutuskan lagi. Tujuannya adalah supaya manusia dapat mengerjakan haji, umrah, solat dan tawaf di sana. 

Kaabah juga dijadikan tempat yang aman tanpa peperangan dan sentiasa mendapat perlindungan Allah Ta’ala. Firman-Nya:  

“Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibina untuk (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) daripada semesta alam.” 

Ali ‘Imran 3:96-97 

Makam Ibrahim ialah tempat Nabi Ibrahim as berdiri ketika membina Kaabah yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala untuk dijadikan tempat solat. Perintah ini adalah untuk memberi petunjuk kepada musyrikin Mekah dan ahli kitab agar mereka meyakini bahawa pada asasnya ajaran Rasulullah saw adalah sama dengan ajaran nenek moyang mereka, iaitu Nabi Ibrahim as.  

Allah Ta’ala juga memerintahkan Ibrahim dan Ismail as agar membersihkan Kaabah sama ada daripada kotoran fizikal seperti najis, kata-kata kotor, pertengkaran ataupun daripada kotoran maknawi seperti penyembahan berhala dan segala bentuk syirik. 

Ayat 126

وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنًا وَٱرْزُقْ أَهْلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ مَنْ ءَامَنَ مِنْهُم بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُۥ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُۥٓ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.

Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan Nabi Ibrahim as berdoa kepada-Nya agar dikurniakan keamanan dan rezeki kepada penduduk Mekah. Lalu doa baginda ini diperkenankan-Nya. Firman-Nya:  

“Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia……………” 

Ali ‘Imran 3:97  

Nabi Ibrahim as mengkhususkan doanya untuk orang-orang yang beriman, tetapi rahmat Allah Ta’ala amat luas dan tidak terhingga. Dia memberikan rezeki kepada semua makhluk-Nya sama ada yang mukmin ataupun yang kafir, yang soleh mahupun yang berbuat maksiat. Firman-Nya: 

“Kepada masing-masing golongan, baik golongan ini mahupun golongan itu Kami berikan bantuan daripada kemurahan Rabbmu. Dan kemurahan Rabbmu tidak dapat dihalang.” 

Al-Isra’ 17:20 

Namun Allah Ta’ala membatasi nikmat kepada orang-orang yang kafir, iaitu hanya sementara di dunia sahaja, sedangkan di akhirat nanti seksaan yang pedih menunggu mereka atas kekafiran mereka. 

Ayat 127

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِـۧمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَـٰعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkau-lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui;

Allah Swt memberitahu Rasulullah saw bahawa ketika Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as selesai membina Kaabah, mereka berdua berdoa kepada-Nya agar amalan mereka diterima. Ayat ini menjadi panduan kepada kita agar berdoa dan memohon kepada Allah Ta’ala setiap kali setelah selesai melakukan sesuatu ibadah dengan harapan amalan diterima. 

Ayat 128

رَبَّنَا وَٱجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkau-lah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;

Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as memohon agar Allah Ta’ala menjadikan mereka berdua serta keturunan mereka orang-orang yang patuh kepada perintah-Nya. Ayat ini juga mengajar kita bahawa memohon pertolongan daripada Allah Ta’ala tidak terbatas hanya untuk diri sendiri tetapi boleh berdoa untuk keturunan kita. 

Perkataan مَنَاسِكْ “manasik” dalam ayat ini bermaksud semua pekerjaan haji. Lebih umum lagi, boleh dimaksudkan sebagai syariat agama yang benar dan tatacara ibadah keseluruhannya. Ini kerana maksud perkataan نُسُكْ “nusuk” adalah ibadah, namun kebiasaanya digunakan untuk pelaksanaan ibadah haji. 

Mujahid dan Qatadah mengatakan, Allah Ta’ala telah mengutus Jibril as kepada Nabi Ibrahim as untuk menunjukkan syiar-syiar-Nya, iaitu memperlihatkan tatacara dan tempat-tempat ibadah haji. 

Ayat 129

رَبَّنَا وَٱبْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkau-lah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as juga memohon agar Allah Ta’ala mengutuskan Rasul-Nya ke negeri Mekah yang akan membacakan ayat-ayat-Nya, mengajarkan kitab iaitu Al-Quran dan hikmah iaitu sunnahnya atau teladan yang baik. Pengutusan Rasul itu juga diharapkan dapat menyucikan penduduk Mekah daripada kekufuran, kejahatan dan segala budi pekerti yang tidak baik. 

Allah Ta’ala telah memperkenankan doa Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as dengan mengutus penutup Nabi iaitu Rasulullah saw seorang rasul berbangsa Arab. Hal ini juga menunjukkan bahawa Dia telah memuliakan bangsa Arab. 


Infografik Kisah Nabi Ibrahim