Surah 2: Al-Baqarah (120 – 121) 

Larangan Keras Mengikut Yahudi dan Nasrani  

Surah 2: Al-Baqarah (120 – 121) 


Ayat 120

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ ٱلْيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم بَعْدَ ٱلَّذِى جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.

Allah Ta’ala memberitahu Rasulullah saw bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah redha terhadap Baginda dan agama Islam sehingga Baginda mengikuti agama mereka. Oleh itu, Dia mengingatkan Baginda saw agar tidak mengikuti kehendak mereka. Sebaliknya Baginda diperintahkan menumpukan perhatian dalam mencari keredahaan-Nya dengan mengajak mereka mengikuti kebenaran.  

Sesungguhnya petunjuk Allah Ta’ala adalah petunjuk yang benar iaitu agama yang lurus dan sempurna serta menyeluruh. Ayat ini juga mengandungi ancaman yang keras kepada umat Islam supaya tidak mengikuti cara ahli kitab setelah mengetahui isi Al-Quran dan As-sunnah. 

Ayat 121

ٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ يَتْلُونَهُۥ حَقَّ تِلَاوَتِهِۦٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِۦ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Ayat ini pula menjelaskan bahawa sesiapa sahaja daripada kalangan ahli kitab yang mengamalkan kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah Ta’ala kepada para nabi terdahulu dengan sebenar-benarnya, maka dia juga telah beriman dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah saw.  

Manakala sesiapa yang kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Rasulullah saw setelah nyata bagi mereka apa yang dibawa oleh Baginda itu benar, merekalah orang yang rugi di dunia dan di akhirat.  

Rasulullah saw bersabda:  

“Demi Rabb yang jiwa Muhammad ada di tanganNya, tidaklah seseorang daripada umat ini, baik Yahudi ataupun Nasrani yang mendengar tentang (diutusnya) aku, kemudian dia mati dan tidak beriman kepada (syariat) yang aku telah diutus dengannya, melainkan dia termasuk penghuni neraka.” 

(HR. Muslim)