Surah 2: Al-Baqarah (114 – 115) 

Larangan Menghalang Orang Memakmurkan Masjid

Surah 2: Al-Baqarah (114 – 115) 


Ayat 114

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ أَن يُذْكَرَ فِيهَا ٱسْمُهُۥ وَسَعَىٰ فِى خَرَابِهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَن يَدْخُلُوهَآ إِلَّا خَآئِفِينَ ۚ لَهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا خِزْىٌ وَلَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

Ayat ini menjelaskan bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang menghalang orang lain menjadikan masjid-masjid sebagai tempat beribadah kepada Allah Ta’ala seperti berzikir, solat, membaca Al-Quran dan ibadah-ibadah yang lain di dalamnya. Lebih-lebih lagi jika diikuti dengan usaha untuk merobohkan rumah-Nya.  

Ini kerana orang-orang musyrik pernah menghalang Rasulullah saw mendirikan solat dekat dengan Kaabah di Masjidil Haram, lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat, “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya.”  

Orang-orang yang zalim ini tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid kecuali dengan rasa takut dan cemas kepada seksaan Allah Ta’ala. Sesiapa sahaja yang melakukan kezaliman seperti ini, pasti akan mendapat kehinaan di dunia dan di akhirat kelak akan mendapat seksaan yang pedih. 

Ayat 115

وَلِلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا۟ فَثَمَّ وَجْهُ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui.

Sekiranya orang-orang musyrik itu telah berhasil melarang orang-orang Islam untuk solat di Masjidil Haram, itu bukan bermakna bahawa mereka dapat mencegah orang-orang Islam untuk melakukan solat dan beribadah kepada Allah Swt di tempat lain, karena pada dasarnya semua arah dan kawasan di bumi itu adalah milik Allah Swt. Dia akan menyambut dan menerima solat orang-orang Islam dengan perkenan-Nya di mana pun mereka berada. Sesungguhnya Allah Maha Luas dan tidak bermaksud mempersulit hamba-hamba-Nya. Dia Maha Mengetahui niat seseorang yang menghadap kepada-Nya.