Surah 2: Al-Baqarah (111 – 112) 

Angan-angan Ahli Kitab  

Surah 2: Al-Baqarah (111 – 112) 


Ayat 111

وَقَالُوا۟ لَن يَدْخُلَ ٱلْجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوْ نَصَـٰرَىٰ ۗ تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ ۗ قُلْ هَاتُوا۟ بُرْهَـٰنَكُمْ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani masing-masing mendakwa bahawa tidak akan masuk syurga kecuali orang yang memeluk agama mereka. Dakwaan mereka hanyalah mengikut anggapan mereka tanpa ada bukti atau hujjah yang jelas. Ini semua adalah angan-angan mereka sahaja. 

Ayat 112

بَلَىٰ مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُۥٓ أَجْرُهُۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Kemudian Allah Ta’ala menegaskan dengan mengatakan bahawa orang-orang yang masuk syurga adalah orang-orang yang ikhlas menyerah diri kepadaNya dan tidak menyekutukanNya serta mengikuti ajaran Rasulullah saw dalam setiap ucapan dan tindakan mereka. 

Sesiapa yang melakukan demikian akan memperoleh pahala amalnya di sisi Tuhannya di akhirat, iaitu masuk ke syurga dengan segala kenikmatan yang ada di dalamnya. Bahkan mereka tidak berasa takut terhadap hal yang akan datang daripada perkara akhirat dan tidak pula berasa sedih atas kehilangan kesenangan-kesenangan dunia. FirmanNya: 

“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para siddiiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” 

An-Nisa’ 4:69

“Sesiapa yang mengerjakan suatu amalan yang tidak sesuai dengan urusan (syariat) kami, maka amalan itu tertolak” 

(HR. Muslim)