Surah 2: Al-Baqarah (108) 

Larangan Banyak Bertanya Tentang Peristiwa yang Belum Berlaku

Surah 2: Al-Baqarah (108) 


Ayat 108

أَمْ تُرِيدُونَ أَن تَسْـَٔلُوا۟ رَسُولَكُمْ كَمَا سُئِلَ مُوسَىٰ مِن قَبْلُ ۗ وَمَن يَتَبَدَّلِ ٱلْكُفْرَ بِٱلْإِيمَـٰنِ فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ

Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.

Allah Ta’ala melarang keras orang beriman daripada terlalu banyak bertanya kepada Nabi Muhammad saw sebagaimana yang telah dilakukan oleh Bani Israil kepada Nabi Musa as dalam kisah penyembelihan lembu betina. Ini kerana pertanyaan yang banyak itu menandakan kesombongan dan pembangkangan yang akhirnya membawa mereka kepada kesesatan. Firman Allah: 

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabimu) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya ketika diturunkan Al-Quran, nescaya akan diterangkan kepada kamu. Allah memaafkan (kamu) tentang perkara-perkara itu. Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyantun.” 

Al-Ma’idah 5:101 

Walaubagaimanapun, pertanyaan dengan tujuan meminta bimbingan dan pengajaran adalah perbuatan yang terpuji, sebagaimana firmanNya: 

“………….Maka bertanyalah kepada orang-orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” 

An-Nahl 16:43