Surah 2: Al-Baqarah (106 – 107) 

Menasakh Ayat Al-Quran 

Surah 2: Al-Baqarah (106 – 107) 


Ayat 106

مَا نَنسَخْ مِنْ ءَايَةٍ أَوْ نُنسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍ مِّنْهَآ أَوْ مِثْلِهَآ ۗ أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?

Para mufassir memberikan beberapa tafsiran tentang maksud nasakh iaitu hapuskan, gantikan atau pindahkan. 

Apabila Allah Ta’ala menghapuskan sesuatu perkara pasti Dia menggantikan setanding dengannya atau dengan yang lebih baik dari segi tahap kesukaran beban syariat yang semestinya pasti ada hikmah-Nya. Contoh penghapusan dan penggantian yang berlaku antaranya: 

  • Berat kepada yang lebih ringan iaitu memansuhkan ‘iddah wanita yang kematian suami daripada satu tahun kepada 4 bulan 10 hari. 
  • Sesuatu yang seumpamanya iaitu memansukhkan arah kiblat dari Baitul Maqdis kepada Ka’bah, Masjidil Haram. 
  • Kepada yang lebih berat dan lebih besar ganjaran pahalanya seperti tidak wajib berperang kepada wajib berperang atau daripada hukuman mengurung para wanita penzina di dalam rumah kepada hukuman sebat. 

Ayat ini juga menunjukkan kekuasaan Allah Swt dalam menentukan sesuatu hukum tanpa ada yang dapat menghalang kehendak-Nya. 

Ayat 107

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.

Perintah dan larangan kepada hamba-hamba-Nya adalah mengikut kemahuan-Nya. Kewajipan hamba adalah menerima dan taat kerana Dialah pengurus dan pelindung hamba-hamba-Nya.