Surah 2: Al-Baqarah (102 – 103) 

Kisah Harut dan Marut dan Fitnah Sihir 

Surah 2: Al-Baqarah (102 – 103) 


Ayat 102

وَٱتَّبَعُوا۟ مَا تَتْلُوا۟ ٱلشَّيَـٰطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَـٰنَ ۖ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَـٰنُ وَلَـٰكِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ كَفَرُوا۟ يُعَلِّمُونَ ٱلنَّاسَ ٱلسِّحْرَ وَمَآ أُنزِلَ عَلَى ٱلْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَـٰرُوتَ وَمَـٰرُوتَ ۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَآ إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ ۖ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِۦ بَيْنَ ٱلْمَرْءِ وَزَوْجِهِۦ ۚ وَمَا هُم بِضَآرِّينَ بِهِۦ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ ۚ وَلَقَدْ عَلِمُوا۟ لَمَنِ ٱشْتَرَىٰهُ مَا لَهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍ ۚ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا۟ بِهِۦٓ أَنفُسَهُمْ ۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ

Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

Dalam tafsir Ibnu Kathir dinyatakan bahawa amalan sihir telahpun dihapuskan semasa pemerintahan Nabi Sulaiman as. Ini kerana baginda telah merampas semua buku-buku dan tulisan-tulisan yang mengandungi ilmu sihir, kemudian menghapuskan atau menyembunyikannya di bawah takhta baginda. Oleh itu tidak ada satu pun syaitan yang berani mendekati takhta tersebut. Seandainya ada syaitan yang cuba mendekatinya, ia pasti akan terbakar.  

Namun setelah kewafatan Nabi Sulaiman as dan para ulama pun telah meninggal dunia, syaitan-syaitan itu kembali menghidupkan ajaran sihir yang sebelum ini mereka hentikan. Syaitan-syaitan itu menjelma dalam bentuk manusia dan menceritakan kepada beberapa orang daripada kaum Bani Israil tentang harta karun yang berada di bawah takhta Nabi Sulaiman as. Kaum Bani Israil mengatakan sudah tentu mereka ingin mendapatkannya. 

Kemudian syaitan itu pergi bersama mereka dan menunjukkan tempatnya. Mereka pun menggalinya dan menjumpai buku-buku tersebut. Ketika mereka mengeluarkannya, syaitan tersebut mengatakan bahawa Nabi Sulaiman as mampu menguasai manusia, syaitan-syaitan dan binatang-binatang dengan menggunakan sihir-sihir tersebut. Kemudian syaitan itu terbang dan pergi meninggalkan mereka.  

Setelah itu tersebarlah berita yang menuduh Nabi Sulaiman as bukanlah seorang nabi tetapi seorang tukang sihir. Mereka juga mendakwa dengan mengamalkan sihirlah baginda dapat menguasai manusia dan jin. Ini menunjukkan bahawa tujuan syaitan untuk menfitnah dan memburukkan Nabi Sulaiman as telah berjaya.  

Lalu Allah swt membersihkan nama baik Nabi Sulaiman as dengan mengatakan bahawa baginda tidak kafir kerana baginda tidak pernah beramal dengan sihir. Semua kelebihan yang ada pada baginda seperti dapat menguasai golongan jin, manusia dan memahami bahasa binatang adalah merupakan mukjizat yang diberikanNya kepada baginda as. 

Kemudian Allah Ta’ala mengecam dan menegaskan bahawa syaitan-syaitan tersebutlah yang kafir kerana mempelajari sihir, menyusunnya dan mengajarkannya kepada manusia dengan tujuan mendatangkan mudharat kepada manusia dan menyesatkan mereka. 

Demikian pula kaum Bani Israil yang telah mengikuti sihir daripada kedua-dua malaikat Harut dan Marut di negeri Babilonia di Iraq. Inilah asal ilmu sihir dan kedua-dua malaikat ini ditugaskan untuk mengajarnya. Sesungguhnya ini adalah sebagai ujian dan cubaan daripada Allah Ta’ala bagi para hamba-Nya. 

Tujuan kedua-dua malaikat ini mengajar sihir yang mempunyai banyak teknik yang aneh kepada manusia pada zaman mereka, bukanlah untuk mereka amalkan tetapi adalah untuk mereka mengetahui perbezaan antara sihir dan mukjizat. Oleh itu, mereka dapat mengetahui sekiranya ada tukang sihir yang mengaku diri mereka nabi disebabkan sihir mereka, sebenarnya adalah pendusta. 

Maka dua malaikat ini mengajar manusia tentang sihir, namun kedua-duanya tidaklah mengajarkan sihir kepada sesiapa pun kecuali setelah memberinya nasihat dan amaran serta mengingatkannya untuk tidak mempelajari sihir. Kedua-dua malaikat ini juga mengingatkan supaya tidak kufur kerana akibat daripada mempelajari sihir adalah mentaati syaitan. Ini kerana dua malaikat ini mengetahui kebaikan, keburukan, keimanan dan kekufuran sehingga keduanya mengetahui bahawa sihir termasuk amalan kufur. 

Firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:  

“Barangsiapa yang berpaling daripada pengajaran (Rabb) Yang Maha Pemurah (Al-Quran), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk.” 

Az-Zukhruf 43:36-37  

Namun ada antara manusia yang tetap mahu mempelajarinya. Ibnu Juraij mengatakan, tiada siapa yang berani mempelajari ilmu sihir ini kecuali orang kafir. Antara sihir yang diajarkan oleh kedua-dua malaikat itu adalah untuk menceraikan suami dan isteri. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa sihir tidak mampu memberi kesan kepada sesiapapun tanpa izinNya. Malahan langsung tiada kebaikan mempelajari sihir kerana hanya akan memudharatkan diri sendiri dan menjerumuskannya ke dalam neraka Jahannam. 

Ayat 103

وَلَوْ أَنَّهُمْ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَمَثُوبَةٌ مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ خَيْرٌ ۖ لَّوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ

Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.

Sekiranya orang-orang Yahudi benar-benar beriman dengan kitab Taurat, Nabi Muhammad saw dan Al-Quran serta takut kepada seksaan Allah Ta’ala dengan meninggalkan sihir dan perkara maksiat yang lain, nescaya mereka akan mendapati pahala daripada Allah Ta’ala itu lebih besar. FirmanNya: 

“Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu, ‘Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar.’” 

Al-Qasas 28:80