Surah 19: Maryam (97 – 98)

Al-Quran Diturunkan untuk Memberikan Khabar Gembira dan Peringatan

Surah 19: Maryam (97 – 98)


Ayat 97

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَـٰهُ بِلِسَانِكَ لِتُبَشِّرَ بِهِ ٱلْمُتَّقِينَ وَتُنذِرَ بِهِۦ قَوْمًا لُّدًّا

Maka sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran itu dengan bahasamu, agar kamu dapat memberi khabar gembira dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang bertakwa, dan agar kamu memberi peringatan dengannya kepada kaum yang membangkang.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menurunkan Al-Quran dalam bahasa Arab yang jelas, fasih dan sempurna. Al-Quran merupakan khabar gembira bagi orang-orang yang memenuhi seruan-Nya dan membenarkan rasul-Nya. Al-Quran juga sebagai peringatan kepada orang-orang yang berpaling daripada kebenaran dan cenderung kepada kebatilan.

Ayat 98

وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ هَلْ تُحِسُّ مِنْهُم مِّنْ أَحَدٍ أَوْ تَسْمَعُ لَهُمْ رِكْزًا

Dan berapa banyak telah Kami binasakan umat-umat sebelum mereka. Adakah kamu (Muhammmad) melihat seorang sahaja daripada mereka atau kamu dengar suara mereka yang samar-samar?

Allah Swt menutup surah ini dengan sebuah nasihat yang mendalam iaitu Dia menyatakan, telah banyak umat yang telah dibinasakan sebelum orang-orang musyrik kerana kekafiran mereka terhadap ayat-ayat-Nya dan pendustaan mereka terhadap para Rasul-Nya.