Surah 19: Maryam (83 – 84)

Penguasaan Syaitan terhadap Orang Kafir

Surah 19: Maryam (83 – 84)


Ayat 83

أَلَمْ تَرَ أَنَّآ أَرْسَلْنَا ٱلشَّيَـٰطِينَ عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ تَؤُزُّهُمْ أَزًّا

Tidakkah kamu lihat, bahawasanya Kami telah mengirim syaitan-syaitan itu kepada orang-orang kafir untuk menghasut mereka membuat maksiat dengan sungguh-sungguh?

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan keadaan orang-orang kafir bersama dengan syaitan-syaitan ketika di dunia dahulu.

Syaitan telah mempengaruhi mereka sehingga mereka tunduk kepadanya. Seterusnya, Allah Ta’ala akan membiarkan syaitan menggoda dan menyesatkan mereka sehingga terus menerus melakukan kemaksiatan dan terus berada dalam kekafiran.

‘Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada ‘Ibnu Abbas ra, ayat ini bermaksud syaitan menyesatkan mereka sesesat-sesatnya. Al-‘Aufi pula mengatakan ia bermaksud syaitan mendorong mereka untuk melawan Nabi Muhammad saw dan para sahabat baginda.

Qatadah pula mengatakan syaitan mengganggu mereka dengan bersungguh-sungguh agar mereka melakukan kemaksiatan terhadap Allah Swt. ‘Abdurrahman bin Zaid mengatakan ayat ini sama seperti firman Allah Swt:

“Dan sesiapa berpaling daripada pengajaran Allah Yang Maha Pemurah (Al-Quran), Kami biarkan syaitan (menyesatkannya) dan menjadi teman karibnya.”

Az-Zukhruf 43:36

Ayat 84

فَلَا تَعْجَلْ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّمَا نَعُدُّ لَهُمْ عَدًّا

Maka janganlah kamu tergesa-gesa meminta seksaan terhadap mereka, kerana sesungguhnya Kami hanya menghitung datangnya (hari seksaan) untuk mereka dengan perhitungan yang teliti.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw supaya tidak tergesa-gesa memohon azab ditimpakan kepada mereka. Dia hanya menangguhkan seksaan kepada mereka sehingga waktu yang telah ditetapkan-Nya dan mereka pasti akan mendapat azab-Nya. Firman-Nya:

“……………Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar, kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam azab yang menghinakan.”

Ali ‘Imran 3:178

Begitu juga dijelaskan dalam ayat-ayat lain iaitu dalam Surah Ibrahim 14:30 dan 42, Surah At-Tariq 86:17 dan Surah Luqman 31:24.