Surah 19: Maryam (73 – 74)

Keangkuhan Orang Kafir kerana Mereka Memiliki Kekayaan Dunia

Surah 19: Maryam (73 – 74)


Ayat 73

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُنَا بَيِّنَـٰتٍ قَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَىُّ ٱلْفَرِيقَيْنِ خَيْرٌ مَّقَامًا وَأَحْسَنُ نَدِيًّا

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang terang (maksudnya), nescaya orang-orang yang kafir berkata kepada orang-orang beriman, “Manakah di antara kedua-dua golongan (kafir dan mukmin) yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih indah tempat pertemuan(nya)?”

Allah Ta’ala memberitahu tentang orang-orang kafir apabila dibacakan ayat-ayat-Nya yang jelas pendalilannya dan terang petunjuknya, mereka berpaling sambil mengejek orang-orang beriman dan bersikap angkuh.

Orang-orang kafir memberikan hujjah yang sangat lemah lagi batil bagi membenarkan agama yang mereka anuti. Mereka mengatakan bahawa tempat tinggal mereka lebih mewah, tempat berkumpul lebih indah dan lebih dikunjungi ramai orang.

Mereka membandingkan tempat tinggal mereka dengan tempat tinggal orang-orang fakir daripada kaum mukmin seperti rumah Al-Arqam bin Abil Arqam, tempat Rasulullah saw dan kaum mukmin berkumpul. Oleh itu, mereka berpendapat tidak mungkin mereka berada dalam kebatilan sebagaimana Allah Ta’ala menyatakan perkataan kaum Nabi Nuh as dalam firman-Nya:

“Adakah kami akan beriman kepada kamu, padahal pengikut-pengikut kamu orang-orang yang hina.”

As-Syu’ara’ 26:111

Sebenarnya orang-orang kafir ini tertipu dengan keadaan dunia yang terzahir dengan menganggap bahawa orang-orang yang kaya raya dan ramai pengikut berada dalam kebenaran, manakala orang-orang yang fakir berada dalam kesesatan dan kebatilan.

Ayat 74

وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ هُمْ أَحْسَنُ أَثَـٰثًا وَرِءْيًا

Berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, sedang mereka adalah lebih bagus alat rumah tangganya dan lebih sedap dipandang mata.

Oleh itu dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyangkal anggapan mereka itu dengan mengatakan bahawa telah banyak umat dan generasi terdahulu yang mendustakan para Nabi telah dibinasakan-Nya padahal kedudukan mereka lebih baik dari segi harta benda, tempat tinggal, penampilan dan perhiasan.