Surah 19: Maryam (71 – 72)

Orang yang Zalim Menjadi Penghuni Neraka

Surah 19: Maryam (71 – 72)


Ayat 71

وَإِن مِّنكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا ۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتْمًا مَّقْضِيًّا

Dan tidak ada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Rabbmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan.

Ada beberapa pendapat tentang, “Dan tidak ada seorang pun di antara kamu, melainkan mendatangi (neraka) itu,” antaranya:

▪️    Ibnu Jarir meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas’ud maksudnya ialah, jalan di atas Jahannam tajamnya seperti pedang. Rombongan tingkatan pertama melaluinya seperti kilat, yang kedua seperti angin, yang ketiga seperti kuda yang tegap dan kuat, dan yang keempat seperti haiwan (kenderaan selain kuda) yang tegap dan kuat. Kemudian mereka meniti jalan, sementara para malaikat berkata, “Ya Allah selamatkan, selamatkan.” (Dalil kenyataan ini terdapat dalam Sahih Al-Bukhari dan Muslim serta riwayat daripada Anas, Abu Sa’id, Abu Hurairah, Jabir dan lain-lain.

▪️   ‘Abdurrahman bin Zaid bin Aslam pula mengatakan, kedatangan kaum muslimin adalah ketika melalui jambatan yang melintasi atas neraka (di antara dua sisi). Manakala kedatangan kaum musyrikin bererti memasukinya.

As-Suddi mengatakan daripada Murrah daripada Ibnu Mas’ud maksud firman Allah Swt, “Hal itu bagi Rabbmu adalah suatu kemestian yang ditetapkan,” ialah pembahagian yang telah ditetapkan. Mujahid dan Ibnu Juraij mengatakan maksudnya ialah ketetapan.

Ayat 72

ثُمَّ نُنَجِّى ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوا۟ وَّنَذَرُ ٱلظَّـٰلِمِينَ فِيهَا جِثِيًّا

Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan semua manusia melintasi neraka melalui sirat tersebut. Dia akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan menjauhi hal-hal yang mengakibatkan orang masuk ke neraka. Mereka dapat melintasi titian itu mengikut kadar amalan masing-masing.

Manakala orang-orang kafir dan mereka yang melakukan pelbagai kemaksiatan dan penderhakaan kepada Allah Ta’ala akan jatuh ke dalam neraka.