Surah 19: Maryam (65)

Milik Allah Swt Segala yang Ada di Langit dan di Bumi

Surah 19: Maryam (65)


Ayat 65

رَّبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَٱعْبُدْهُ وَٱصْطَبِرْ لِعِبَـٰدَتِهِۦ ۚ هَلْ تَعْلَمُ لَهُۥ سَمِيًّا

(Dia-lah) Rabb (yang menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara kedua-duanya, maka sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadah kepada-Nya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia?

Allah Ta’ala memberitahu Rasulullah saw bahawa Dia-lah Pencipta langit dan bumi, Pemilik kedua-duanya dan apa yang ada di antara kedua-duanya. Dia-lah yang mengurus, menetapkan peraturan menurut apa yang dikehendaki-Nya yang tiada siapa pun dapat menolak ketetapan-Nya. Oleh itu, baginda dan pengikut-pengikutnya diingatkan agar menumpukan segala ibadah mereka hanya kepada-Nya dan bersabar dalam mentaati-Nya.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud ayat, “Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia?” ialah tidak ada seorang pun yang dinamakan Ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) selain Dia, Maha Suci dan Maha Tinggi Dia, serta sucilah nama-Nya.