Malaikat Tidak Turun kecuali dengan Perintah Allah Swt
Surah 19: Maryam (64)
Ayat 64
وَمَا نَتَنَزَّلُ إِلَّا بِأَمْرِ رَبِّكَ ۖ لَهُۥ مَا بَيْنَ أَيْدِينَا وَمَا خَلْفَنَا وَمَا بَيْنَ ذَٰلِكَ ۚ وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا
Dan tidaklah kami (Jibril) turun, kecuali dengan perintah Rabbmu. Kepunyaan-Nya-lah apa-apa yang ada di hadapan kita, apa-apa yang ada di belakang kita dan apa-apa yang ada di antara kedua-duanya, dan tidaklah Rabbmu lupa.
Ketika Rasulullah saw merasakan terlambatnya kedatangan Jibril as kepadanya, Allah Ta’ala memerintahkan Jibril as memberitahu baginda bahawa para malaikat tidak akan melakukan sesuatu melainkan dengan perintah-Nya.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia tidaklah melupakan Rasulullah saw walaupun wahyu terlambat turun kepadanya. Sesungguhnya Dia tidak pernah lupa atau lalai tentang sesuatu pun, namun Dia mendahulukan dan menangguhkan sesuatu sesuai dengan hikmah-Nya. Firman-Nya:
“Demi waktu matahari sepenggalahan naik, dan demi malam apabila telah sunyi (gelap), Rabbmu tidak meninggalkan kamu dan tidak (pula) benci kepadamu.”
Ad-Dhuha 93:1-3
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan Rasulullah saw bersabda kepada Jibril as:
“Apa yang menghalangimu mengunjungi kami lebih (kerap) daripada apa yang engkau lakukan selama ini?” Ibnu ‘Abbas ra berkata lalu turunlah ayat ini.
(HR. Ahmad)
Ada beberapa pendapat tentang maksud “di belakang, di hadapan dan di antara kedua-duanya,” dalam ayat ini iaitu:
▪️ Abul ‘Aliyah, ‘Ikrimah, Mujahid, Sa’id bin Jubair, Qatadah, As-Suddi dan Ar-Rabi’ bin Anas berpendapat maksud “di hadapan” ialah perkara dunia dan “di belakang” ialah perkara akhirat. Manakala maksud “di antara kedua-duanya” ialah dua tiupan sangkakala.
▪️ Daripada Ibnu ‘Abbas ra, Sa’id bin Jubair, Adh-Dhahhak, Qatadah, Ibnu Juraij dan Ath-Thauri, maksud “di hadapan” ialah perkara akhirat yang akan dihadapi dan “di belakang” ialah urusan dunia yang telah berlalu manakala “di antara kedua-duanya” bermaksud antara dunia dan akhirat. Pendapat ini juga dipilih oleh Ibnu Jarir.