Surah 19: Maryam (54 – 55)

Kisah Nabi Ismail as sebagai Seorang Nabi dan Rasul Pilihan Allah Swt

Surah 19: Maryam (54 – 55)


Ayat 54

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ إِسْمَـٰعِيلَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ صَادِقَ ٱلْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا

Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka) kisah Ismail (yang tersebut) dalam Al-Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang Rasul dan Nabi.

Allah Ta’ala memuji Nabi Ismail as putera Nabi Ibrahim Al-Khalil iaitu kekasih-Nya. Nabi Ismail as adalah seorang Nabi yang menunaikan janjinya apabila berjanji, sebagaimana baginda berjanji kepada ayahnya bahawa baginda akan bersabar untuk disembelih. Kemudian ketika tiba waktunya untuk disembelih baginda pun benar-benar menepati janjinya.

Ibnu Juraij berkata, “Dia tidak pernah berjanji dengan Rabbnya melainkan dia memenuhinya.” Ini bermaksud apabila Nabi Ismail as berjanji melakukan sesuatu ibadah melalui nazar, baginda pasti akan melaksanakannya dengan sebaik-sebaiknya.

Ayat 55

وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُۥ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱلزَّكَوٰةِ وَكَانَ عِندَ رَبِّهِۦ مَرْضِيًّا

Dan dia menyuruh ahlinya untuk solat dan menunaikan zakat, dan dia adalah seorang yang diredhai di sisi Rabbnya.

Sebahagian mufassir berpendapat maksud “ahlinya” dalam ayat ini ialah keluarganya. Manakala sebahagian yang lain mengatakan maksudnya ialah umatnya.

Nabi Ismail as sentiasa menepati janjinya untuk mentaati perintah Allah Swt dan turut menjaga keluarganya dengan menyuruh mereka melaksanakan perintah-Nya sebagaimana dalam firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

At-Tahrim 66:6