Surah 19: Maryam (51 – 53)

Kisah Nabi Musa as dan Nabi Harun as

Surah 19: Maryam (51 – 53)


Ayat 51

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ مُوسَىٰٓ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ مُخْلَصًا وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا

Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka), kisah Musa di dalam kitab (Al-Quran) ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang dipilih dan seorang Rasul dan Nabi.

Sebelum ini, Allah Ta’ala telah menceritakan kisah kekasih-Nya Nabi Ibrahim as. Dalam ayat ini pula, Allah Swt memuji Nabi Musa as dengan penyebutan “Al-Kalim”, bermaksud yang berkata-kata dengan-Nya. Baginda merupakan seorang yang dipilih oleh Allah Swt sebagaimana firman-Nya:

“Allah berkata, ‘Wahai Musa sesungguhnya Aku memilih (melebihkan) kamu daripada manusia yang lain (pada masamu) untuk membawa risalah-Ku dan untuk berbicara langsung dengan-Ku, oleh itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.’”

Al-A’raf 7:144

Allah Swt mengutuskan Nabi Musa as sebagai Rasul dan Nabi. Baginda termasuk dalam kalangan para Rasul Ulul ‘Azmi yang lima iaitu terdiri daripada Nabi Nuh as, Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as, Nabi Isa as dan Rasulullah saw. Semoga selawat dan salam sentiasa tercurah kepada mereka dan seluruh para Nabi.

Ayat 52

وَنَـٰدَيْنَـٰهُ مِن جَانِبِ ٱلطُّورِ ٱلْأَيْمَنِ وَقَرَّبْنَـٰهُ نَجِيًّا

Dan Kami telah memanggilnya dari sebelah kanan gunung (Thur) dan Kami telah mendekatkannya kepada Kami pada waktu dia bermunajat (kepada Kami).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menyeru Nabi Musa as dari sebelah kanan gunung Thur, iaitu sebelah kanan baginda ketika datang dari Madyan. Gunung Thur terletak antara Mesir dan Madyan.

Allah Ta’ala mendekatkan Nabi Musa as kepada-Nya dengan memuliakan dan mengangkat darjatnya sehingga dapat berbicara dengan-Nya tanpa perantara iaitu Allah Ta’ala memperdengarkan firman-Nya kepada baginda secara langsung dan di situlah baginda bermunajat kepada-Nya.

Ayat 53

وَوَهَبْنَا لَهُۥ مِن رَّحْمَتِنَآ أَخَاهُ هَـٰرُونَ نَبِيًّا

Dan Kami telah menganugerahkan kepadanya sebahagian rahmat Kami, iaitu saudaranya, Harun menjadi seorang Nabi.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menganugerahkan sebahagian rahmat-Nya iaitu memperkenankan permohonan Nabi Musa as dengan menjadikan abangnya Nabi Harun as seorang Nabi sebagaimana firman-firman-Nya:

“Dan jadikanlah untukku seorang pembantu daripada keluargaku, (iaitu) Harun, saudaraku, teguhkanlah dengan dia kekuatanku, dan jadikankanlah dia sekutu dalam urusanku.”

Taha 20:29-32 

“Allah berfirman, ‘Sesungguhnya telah diperkenankan permintaanmu, wahai Musa.’”

Taha 20:36

Sebahagian ulama salaf terdahulu mengatakan, tidak ada seorang pun yang dapat memberi syafaat kepada orang lain di dunia yang lebih besar daripada syafaat Nabi Musa as kepada Nabi Harun as agar diangkat darjatnya sebagai Nabi.