Surah 19: Maryam (41 – 50)

Kisah Nabi Ibrahim as Berdakwah kepada Bapanya

Surah 19: Maryam (41 – 50)


Ayat 41

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ إِبْرَٰهِيمَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا

Ceritakanlah (wahai Muhammad) kisah Ibrahim dalam kitab (Al-Quran) ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang Nabi.

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menceritakan kepada kaumnya kisah Nabi Ibrahim as yang terdapat dalam Al-Quran. 

Nabi Ibrahim as adalah seorang yang membenarkan, seorang Nabi dan kekasih Allah (khalilur-Rahman) serta bapa para Nabi (Abul-Anbiya’). Sesungguhnya Nabi Ibrahim as adalah seorang yang sangat membenarkan ayat-ayat Allah Ta’ala. Baginda mengajak kaumnya mengesakan-Nya dan meninggalkan penyembahan berhala. 

Ayat 42

إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ يَـٰٓأَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِى عَنكَ شَيْـًٔا

Ingatlah ketika dia (Ibrahim) berkata kepada ayahnya, “Wahai ayahku, mengapa engkau menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolongmu sedikit pun?

Allah Ta’ala menyatakan bagaimana Nabi Ibrahim as menegur bapanya dengan kata-kata yang lembut, dalam keadaan sedar dan dengan bukti yang kuat iaitu berhala yang disembah oleh bapanya itu tidak dapat memberikan manfaat kepadanya dan juga tidak mampu menolak bahaya daripadanya. 

Ayat 43

يَـٰٓأَبَتِ إِنِّى قَدْ جَآءَنِى مِنَ ٱلْعِلْمِ مَا لَمْ يَأْتِكَ فَٱتَّبِعْنِىٓ أَهْدِكَ صِرَٰطًا سَوِيًّا

Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus.

Kemudian Nabi Ibrahim as menjelaskan kepada bapanya, sesungguhnya baginda telah diberikan sebahagian ilmu daripada Allah Swt yang belum diketahui oleh bapanya walaupun baginda merupakan keturunan bapanya dan dilihat lebih rendah kedudukannya oleh bapanya kerana baginda merupakan anaknya. 

Oleh itu, Nabi Ibrahim as mengajak bapanya agar mengikutinya kerana baginda akan menunjukkan bapanya jalan yang lurus iaitu jalan yang dapat meraih sesuatu yang dicari dan selamat daripada sesuatu yang ditakuti. 

Ayat 44

يَـٰٓأَبَتِ لَا تَعْبُدِ ٱلشَّيْطَـٰنَ ۖ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ كَانَ لِلرَّحْمَـٰنِ عَصِيًّا

Wahai ayahku, janganlah engkau menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Yang Maha Pemurah.

Seterusnya Nabi Ibrahim as juga menasihati bapanya agar tidak mentaati syaitan dengan menyembah berhala-berhala kerana syaitanlah yang menyeru kepada penyembahan tersebut dan ia redha terhadapnya. Ini sebagaimana firman Allah Swt: 

“Yang mereka sembah selain Allah itu tidak lain hanyalah berhala, dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak lain hanyalah menyembah syaitan yang derhaka.” 

An-Nisa’ 4:117 

Ayat 45

يَـٰٓأَبَتِ إِنِّىٓ أَخَافُ أَن يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِّنَ ٱلرَّحْمَـٰنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَـٰنِ وَلِيًّا

Wahai ayahku, sesungguhnya aku khuatir bahawa engkau akan ditimpa azab oleh Yang Maha Pemurah, maka engkau menjadi kawan bagi syaitan.”

Ayat ini merupakan peringatan Nabi Ibrahim as kepada bapanya daripada mendapat kesudahan yang buruk. Baginda khuatir disebabkan oleh kesyirikan dan penderhakaan bapanya kepada Allah Swt, bapanya akan menerima azab yang tidak dapat dilindungi dan diselamatkan. Syaitan yang menjadi kawannya pun tidak dapat menyelamatkan dirinya seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:

“Demi Allah, sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami kepada umat-umat sebelum kamu, tetapi syaitan menjadikan umat-umat itu memandang baik perbuatan mereka (yang buruk), maka syaitan menjadi pemimpin mereka pada hari ini dan bagi mereka azab yang sangat pedih.” 

An-Nahl 16:63 

Ayat 46

قَالَ أَرَاغِبٌ أَنتَ عَنْ ءَالِهَتِى يَـٰٓإِبْرَٰهِيمُ ۖ لَئِن لَّمْ تَنتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ ۖ وَٱهْجُرْنِى مَلِيًّا

Dia (ayahnya) berkata, “Bencikah engkau kepada tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Jika engkau tidak berhenti, pasti engkau akan kurejam, maka tinggalkanlah aku untuk waktu yang lama.”

Dalam ayat-ayat yang lepas Nabi Ibrahim as bercakap dengan nada yang lembut dan sopan dalam berdakwah serta dengan mengemukakan dalil dan hujjah yang menunjukkan kebatilan penyembahan berhala-berhala, namun bapanya menjawab dengan jawapan yang tidak diharapkan. 

Bapa Nabi Ibrahim as mengugut jika baginda tidak ingin menyembah dan tidak menyukai berhala-berhala, baginda hendaklah berhenti mencaci dan menghina berhala-berhala tersebut. Jika tidak, pasti bapanya akan mencaci dan menghina baginda sebagai balasan. 

Mujahid, ‘Ikrimah, Sa’id bin Jubair dan Muhammad bin Ishak mengatakan Nabi Ibrahim as diminta oleh bapanya meninggalkannya dalam satu masa yang lama iaitu seribu tahun. Manakala As-Suddi pula mentafsirkan sebagai selama-lamanya. 

‘Ali bin Abi Talhah dan Al-‘Aufi menyatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa ia bermaksud baginda diminta oleh bapanya agar meninggalkannya ketika baginda masih dalam keadaan sihat dan selamat, sebelum mendapat hukuman daripada bapanya. Pendapat ini juga dikatakan oleh Adh-Dhahhak, Qatadah, ‘Atiyyah Al-Jadali, Malik dan lain-lain, dan yang dipilih oleh Ibnu Jarir. 

Ayat 47

قَالَ سَلَـٰمٌ عَلَيْكَ ۖ سَأَسْتَغْفِرُ لَكَ رَبِّىٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ بِى حَفِيًّا

Berkata (Ibrahim), “Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan memohon keampunan bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.

Walaupun bapa Nabi Ibrahim as menjawab dengan kasar dan ancaman, namun baginda tetap membalas bapanya dengan jawapan yang lemah lembut dengan mengucapkan ‘salam’ iaitu ucapan selamat tinggal kepada bapanya. Inilah sifat orang-orang beriman apabila berhadapan dengan kaum yang mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati atau yang tidak disukai. Ini sebagaimana firman-Nya: 

“………….Dan apabila orang-orang yang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan, ‘Salam (kata-kata yang mengandungi keselamatan).’” 

Al-Furqan 25:63 

Nabi Ibrahim as menghormati bapa baginda. Oleh itu, baginda tidak membalas perkataan bapanya, sebaliknya berdoa memohon keampunan agar Dia memberi petunjuk kepada bapanya dan juga mengampuninya. Sesungguhnya Allah Ta’ala sangat lembut dan baik kepadanya. 

Baginda memohon keampunan dalam waktu yang sangat lama sehingga waktu berhijrah ke Syam, membangunkan Masjidil Haram dan setelah kelahiran Nabi Ismail as dan Nabi Ishak as seperti dalam firman-Nya: 

“Wahai Rabb kami, ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan semua orang yang beriman pada hari diadakan perhitungan (Hari Kiamat).” 

Ibrahim 14:41 

Kaum muslimin memohon keampunan bagi kaum kerabat yang masih musyrik pada permulaan Islam sebagai mengikuti contoh Nabi Ibrahim as. Kemudian terdapat larangan meminta ampun bagi mereka seperti firman-Nya: 

“Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memohon ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni Neraka Jahim. Dan permintaan ampun daripada Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana sesuatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.” 

At-Taubah 9:113-114 

Ayat 48

وَأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَأَدْعُوا۟ رَبِّى عَسَىٰٓ أَلَّآ أَكُونَ بِدُعَآءِ رَبِّى شَقِيًّا

Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu sembah selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Rabbku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Rabbku.”

Kemudian Nabi Ibrahim as mengambil keputusan untuk pergi meninggalkan kaumnya dan sembahan-sembahan mereka dengan membawa agamanya ketika kaumnya tidak mahu mendengar nasihatnya. Baginda hanya akan menyembah Allah Ta’ala kerana hanya Dia-lah satu-satunya yang layak disembah, tidak ada sekutu baginya. 

Nabi Ibrahim as mengatakan bahawa baginda mengharapkan agar tidak kecewa berdoa kepada Allah Ta’ala, sebagaimana kecewanya kaumnya yang menyembah berhala-berhala yang tidak dapat mengabulkan sebarang permohonan dan tidak pula dapat memberi manfaat kepada mereka. 

Ayat 49

فَلَمَّا ٱعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ ۖ وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا

Maka ketika (Ibrahim) sudah menjauhkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, Kami anugerahkan kepadanya Ishak dan Yaakub. Dan masing-masingnya Kami angkat menjadi nabi.

Allah Swt memberitahu, ketika Nabi Ibrahim as menjauhkan diri daripada bapa dan kaumnya kerana Allah Swt, maka Dia menggantikannya dengan orang yang lebih baik dari mereka, iaitu dengan menganugerahkan Nabi Ishak as puteranya dan kemudian Nabi Yaakub as kepada Nabi Ishak as sebagaimana firman-Nya: 

“Dan Kami telah memberikan kepadanya (Ibrahim) lshak dan Yaakub, sebagai suatu anugerah (daripada Kami). Dan masing-masingnya Kami jadikan orang-orang yang soleh.” 

Al-Anbiya’ 21:72 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyebutkan Nabi Ishak as dan Nabi Yaakub as bermaksud Dia menjadikan keturunan dan anak cucu Nabi Ibrahim as sebagai Nabi. 

Ayat 50

وَوَهَبْنَا لَهُم مِّن رَّحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا

Dan Kami anugerahkan kepada mereka sebahagian daripada rahmat Kami dan Kami jadikan mereka buah tutur yang baik lagi tinggi.

Semua agama memuliakan dan mencintai Nabi Ibrahim as serta memuliakan Nabi Ishak as dan Nabi Yaakub as. Semoga selawat dan salam sentiasa tercurah kepada mereka semua. Ini kerana bangsa Arab adalah keturunan Nabi Ibrahim as dan mereka mengatakan mereka mengikuti agama baginda. Allah Ta’ala menyebutkan kisah Nabi Ibrahim as kepada mereka agar mereka mengambil pelajaran dan nasihat. 

‘Ali bin Abi Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, maksud buah tutur ialah pujian yang baik. Hal yang sama telah dikatakan oleh As-Suddi dan Malik bin Anas. Ibnu Jarir mengatakan, sesungguhnya Allah Swt menyatakan buah tutur yang baik kerana seluruh penganut agama Samawi (yang turun dari langit) menyanjung mereka.