Peringatan kepada Orang Kafir terhadap Hari Kiamat
Surah 19: Maryam (38 – 40)
Ayat 38
أَسْمِعْ بِهِمْ وَأَبْصِرْ يَوْمَ يَأْتُونَنَا ۖ لَـٰكِنِ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٱلْيَوْمَ فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
Alangkah terangnya pendengaran mereka dan alangkah tajamnya penglihatan mereka pada hari mereka datang kepada Kami. Tetapi orang-orang yang zalim pada hari ini (di dunia) berada dalam kesesatan yang nyata.
Allah Ta’ala menceritakan bahawa kelak pada Hari Kiamat, orang-orang kafir mempunyai pendengaran yang sangat jelas dan penglihatan yang sangat tajam sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:
“Dan (alangkah) ngerinya sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabb mereka, (mereka berkata), ‘Wahai Rabb kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.’”
As-Sajdah 32:12
Ketika di dunia, mereka tidak mahu mendengar, melihat dan berfikir sehingga mereka tidak dapat mengikuti petunjuk. Apabila mereka telah melihat dan mendengar dengan jelas akan seksaan pada Hari Kiamat, barulah mereka mahu memberikan ketaatan tetapi pada masa itu ketaatan sudah tidak bermanfaat lagi kepada mereka.
Ayat 39
وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ ٱلْحَسْرَةِ إِذْ قُضِىَ ٱلْأَمْرُ وَهُمْ فِى غَفْلَةٍ وَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
Dan berilah mereka peringatan (wahai Muhammad) tentang hari penyesalan, (iaitu) ketika segala perkara telah diputuskan. Dan mereka dalam kelalaian dan mereka tidak (pula) beriman.
Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw memperingatkan orang-orang musyrik dan lain-lain tentang kelak akan datang hari penyesalan dan kesedihan. Orang-orang kafir menyesal akan kekafiran mereka dan orang-orang beriman menyesal kerana berasa kurang melakukan kebaikan.
Pada hari itu ketika selesai dihisab, para penghuni syurga dan neraka masing-masing dipisahkan dan menuju ke tempat kembali serta mereka kekal di dalamnya.
Daripada Abu Sa’id, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Jika penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga dan penghuni neraka telah masuk ke dalam neraka, maka kematian dihadirkan seperti biri-biri jantan yang elok, lalu diletakkan di antara syurga dan neraka. Lalu dikatakan, ‘Wahai penghuni syurga, apakah kamu kenal ini?’ Lalu mereka menengadah melihat dan berkata, ‘Ya, ini adalah maut.’ Kemudian dikatakan, ‘Wahai penghuni neraka, apakah kamu kenal ini?’ Mereka pun menengadah, memandang dan berkata, ‘Ya, ini adalah maut.’ Lalu diperintahkan untuk disembelih. Biri-biri itu pun disembelih dan diserukan, ‘Wahai penghuni syurga, kekallah dan tidak ada kematian, dan wahai penghuni neraka kekallah dan tidak ada kematian.’” Kemudian Rasulullah saw membaca, “Dan berilah peringatan tentang hari penyesalan, iaitu ketika segala perkara telah diputuskan. Dan mereka dalam kelalaian dan mereka tidak (pula) beriman,” lalu mengisyaratkan tangannya sambil bersabda, “Penghuni dunia berada dalam kelalaian dunia.”
(HR. Ahmad)
Ayat 40
إِنَّا نَحْنُ نَرِثُ ٱلْأَرْضَ وَمَنْ عَلَيْهَا وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ
Sesungguhnya Kami mewarisi bumi dan semua orang-orang yang ada di atasnya, dan hanya kepada Kami-lah mereka dikembalikan.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia-lah yang mewarisi seluruh makhluk-Nya, Yang Kekal setelah semuanya binasa dan Yang Maha Bijaksana dalam mengurus mereka. Oleh itu, tidak ada satu jiwa pun yang dizalimi.