Surah 19: Maryam (1 – 15)

Kisah Nabi Zakaria as Mendapat Anak (Nabi Yahya as) pada Usia yang Lanjut

Surah 19: Maryam (1 – 15)


Nabi Zakaria Berdoa

Nabi Zakaria as melembutkan suara baginda ketika berdoa agar dikurniakan anak yang menjadi Nabi setelahnya

Ayat 1

كٓهيعٓصٓ

Kaf Ha Ya ‘Ain Sad.

Ayat 2

ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ عَبْدَهُۥ زَكَرِيَّآ

(Yang dibacakan ini adalah) penjelasan tentang rahmat Rabbmu kepada hamba-Nya, Zakaria.

Ayat ini adalah penjelasan tentang kurniaan rahmat Allah Ta‘ala kepada Nabi Zakaria as iaitu seorang Nabi yang terkemuka di kalangan Nabi-nabi Bani Israil. 

Dalam Sahih Bukhari dan Muslim disebutkan bahawa Nabi Zakaria as adalah seorang tukang kayu yang mencari nafkahnya daripada hasil pekerjaan tangannya sendiri dalam bidang pertukangan. 

Ayat 3

إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥ نِدَآءً خَفِيًّا

Iaitu tatkala dia berdoa kepada Rabbnya dengan suara yang lembut.

Nabi Zakaria as melembutkan suara baginda ketika berdoa kerana itu yang paling disukai oleh Allah Swt. Qatadah mengatakan sesungguhnya Allah Swt mengetahui hati yang bertakwa dan mendengar suara yang lembut. 

Ayat 4

قَالَ رَبِّ إِنِّى وَهَنَ ٱلْعَظْمُ مِنِّى وَٱشْتَعَلَ ٱلرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنۢ بِدُعَآئِكَ رَبِّ شَقِيًّا

Dia (Zakaria) berkata, “Wahai Rabbku, Sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada-Mu.

Ayat ini menunjukkan bahawa Nabi Zakaria as telah tua, badannya berkeadaan lemah dan kesihatannya juga merosot. 

Maksud ayat, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada-Mu. ialah Allah Ta’ala selalu mengabulkan doa Nabi Zakaria as dan Dia tidak pernah menolak apa yang dimintanya sehingga permintaannya tidak pernah sia-sia. 

Ayat 5

وَإِنِّى خِفْتُ ٱلْمَوَٰلِىَ مِن وَرَآءِى وَكَانَتِ ٱمْرَأَتِى عَاقِرًا فَهَبْ لِى مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا

Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap kerabatku sepeninggalanku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera.

Allah Ta’ala menyatakan kebimbangan Nabi Zakaria as akan terabainya agama dan apa yang telah diwahyukan-Nya setelah kematiannya. Oleh itu, Nabi Zakaria as berdoa agar dikurniakan anak yang menjadi Nabi setelahnya, dengan kenabiannya itu akan dapat meneruskan penjagaan dan perlaksanaan urusan agama dan wahyu. Namun baginda menyatakan bahawa isterinya adalah seorang yang mandul, tidak dapat melahirkan zuriat. 

Mujahid, Qatadah dan As-Suddi mengatakan maksud الْمَوَالِي dalam ayat ini ialah keturunan daripada pihak ayah. Pendapat lain mengatakan, الْمَوَالِي ialah orang-orang yang akan mengendalikan dan melanjutkan urusannya sepeninggalannya. 

Ayat 6

يَرِثُنِى وَيَرِثُ مِنْ ءَالِ يَعْقُوبَ ۖ وَٱجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا

Yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub, dan jadikanlah dia, wahai Rabbku, seorang yang diredhai.”

Inilah yang diinginkan oleh Nabi Zakaria as walaupun tidak dinyatakannya secara terang-terangan iaitu keluarga Nabi Yaakub as akan mewarisi ilmu dan kenabian dan bukannya warisan harta. 

Rasulullah saw bersabda: 

“Kami para Nabi tidak mewariskan (harta). Maka apa yang kami tinggalkan, itu adalah sedekah.” 

(HR. At-Tirmidzi) 

Mujahid mengatakan yang diwariskan ialah ilmu dan Nabi Zakaria as merupakan keturunan Nabi Yaakub as. 

Nabi Zakaria as memohon agar anak yang akan dikurniakan oleh Allah Ta‘ala itu diredhai di sisi-Nya iaitu Allah Ta‘ala mencintainya dan Dia menjadikannya dicintai oleh makhluk-Nya dalam agama dan akhlaknya. Firman-Nya: 

“Di sanalah Zakaria berdoa kepada Rabbnya seraya berkata, ‘Wahai Rabbku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa.’” 

Ali ‘Imran 3:38 

Ayat 7

يَـٰزَكَرِيَّآ إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَـٰمٍ ٱسْمُهُۥ يَحْيَىٰ لَمْ نَجْعَل لَّهُۥ مِن قَبْلُ سَمِيًّا

(Allah berfirman), “Wahai Zakaria! Kami memberi khabar gembira kepadamu dengan seorang anak lelaki, namanya Yahya, yang Kami belum pernah memberikan nama seperti itu sebelumnya.”

Ayat ini mengandungi pernyataan bahawa permohonan Nabi Zakaria as telah diterima Allah Swt melalui perantaraan malaikat sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain: 

“Di sanalah Zakaria berdoa kepada Rabbnya. Dia berkata, ‘Wahai Rabbku, berilah aku dari sisiMu seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa.’” Kemudian malaikat (Jibril) memanggil Zakaria, ketika dia berdiri melaksanakan solat di mihrab (katanya), “Sesungguhnya Allah menggembirakanmu dengan (kelahiran) Yahya, yang membenarkan kalimat (firman) daripada Allah, menjadi ikutan, berkemampuan menahan diri (daripada hawa nafsu) dan seorang Nabi termasuk keturunan orang-orang soleh.” 

Ali ‘Imran 3:38-39 

Qatadah, Ibnu Juraij dan Ibnu Zaid mengatakan maksud ayat, yang Kami belum pernah memberikan nama seperti itu sebelumnya. ialah tidak ada seorang pun sebelumnya yang dinamakan dengan nama ini. 

Ayat 8

قَالَ رَبِّ أَنَّىٰ يَكُونُ لِى غُلَـٰمٌ وَكَانَتِ ٱمْرَأَتِى عَاقِرًا وَقَدْ بَلَغْتُ مِنَ ٱلْكِبَرِ عِتِيًّا

Dia (Zakaria) berkata, “Wahai Rabbku, bagaimana aku akan mempunyai anak, padahal isteriku adalah seorang yang mandul dan aku (sendiri) sesungguhnya sudah mencapai usia yang sangat tua?”

Nabi Zakaria as berasa hairan pada saat permintaannya dikabulkan dan diberikan khabar gembira dengan seorang anak. Dia berasa sungguh gembira dan bertanyakan bagaimana dia akan memperolehi anak sedangkan isterinya merupakan seorang wanita yang mandul. Isterinya tidak pernah melahirkan anak sejak muda dan sekarang sudah berusia lanjut. Manakala baginda sendiri sudah terlalu tua. 

Pertanyaan Nabi Zakaria as ini bukanlah kerana baginda menafikan kekuasaan Allah Ta’ala sebaliknya kerana baginda menyedari keadaannya dan isterinya dalam situasi kebiasaan manusia secara umumnya sukar untuk mendapat anak. 

Ayat 9

قَالَ كَذَٰلِكَ قَالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَىَّ هَيِّنٌ وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِن قَبْلُ وَلَمْ تَكُ شَيْـًٔا

Malaikat menjawab, “Demikianlah. Rabbmu berfirman, ‘Hal itu adalah mudah bagi-Ku, dan sesungguhnya engkau telah Aku ciptakan sebelum itu, padahal (pada waktu itu) engkau belum wujud sama sekali.’”

Kemudian malaikat menjawab pertanyaan Nabi Zakaria as tentang apa yang dihairankan oleh baginda. Malaikat itu berkata, mengadakan anak daripada baginda dan isterinya itu adalah sangat mudah bagi Allah Swt kerana apa yang lebih menghairankan ialah Dia telah menciptakan baginda daripada belum wujud sama sekali. 

Ayat 10

قَالَ رَبِّ ٱجْعَل لِّىٓ ءَايَةً ۚ قَالَ ءَايَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ ٱلنَّاسَ ثَلَـٰثَ لَيَالٍ سَوِيًّا

Zakaria berkata, “Wahai Rabbku, berilah aku suatu tanda.” Dia berfirman, “Tanda bagimu ialah bahawa kamu tidak dapat bercakap-cakap dengan manusia selama tiga malam, padahal kamu sihat.”

Seterusnya Nabi Zakaria as meminta diberikan petunjuk agar jiwanya berasa tenteram dan tenang terhadap janji Allah Swt iaitu akan dianugerahkan seorang anak. 

Lalu Allah Ta‘ala menyatakan Nabi Zakaria as ditahan daripada berbicara selama tiga malam walaupun baginda dalam keadaan sihat. Ibnu ‘Abbas ra menyatakan lamanya ialah tiga malam berturut-turut. Allah Swt berfirman: 

“Dia (Zakaria) berkata, ‘Wahai Rabbku, berilah aku suatu tanda (bahawa isteriku telah mengandung).’” Allah berfirman, “Tanda bagimu, adalah engkau tidak dapat berbicara dengan manusia selama tiga hari, kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah (nama) Rabbmu sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah (memuji-Nya) pada waktu petang dan pagi hari.” 

Ali ‘Imran 3:41 

Ayat 11

فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ مِنَ ٱلْمِحْرَابِ فَأَوْحَىٰٓ إِلَيْهِمْ أَن سَبِّحُوا۟ بُكْرَةً وَعَشِيًّا

Maka dia keluar dari mihrab menuju kaumnya, lalu dia memberi isyarat kepada mereka, hendaklah kamu bertasbih pada waktu pagi dan petang.

Selepas itu, Nabi Zakaria as keluar dari tempat baginda diberikan khabar gembira tersebut menemui kaumnya. Baginda memberikan isyarat agar kaumnya melakukan amalan sama seperti yang diperintahkan oleh Allah Swt kepadanya iaitu bertasbih kepada-Nya selama tiga hari itu sebagai tambahan kepada amalan-amalan seharian yang biasa mereka lakukan sebagai tanda syukur kepada Allah Ta‘ala atas kurniaan-Nya. 

Ayat 12

يَـٰيَحْيَىٰ خُذِ ٱلْكِتَـٰبَ بِقُوَّةٍ ۖ وَءَاتَيْنَـٰهُ ٱلْحُكْمَ صَبِيًّا

Wahai Yahya, ambillah kitab (Taurat) itu dengan bersungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah semasa dia masih kanak-kanak.

Nabi Zakaria as telah dianugerahkan seorang anak seperti yang telah dijanjikan Allah Ta’ala. Anak itu ialah Nabi Yahya as. 

Kemudian Allah Ta’ala mengajarkan Nabi Yahya as kitab Taurat yang dipelajari oleh kaumnya. Kitab ini juga digunakan oleh para Nabi yang berserah diri kepada Allah Swt dan ulama-ulama serta pendeta-pendeta di kalangan mereka sebagai rujukan untuk memberi keputusan terhadap orang-orang Yahudi. 

Allah Ta’ala memberikan kepada Nabi Yahya as hikmah, kesungguhan dan penerimaan terhadap kebaikan. Baginda dianugerahi ketekunan dalam memahami kitab Taurat sejak umur baginda masih muda. 

Ayat 13

وَحَنَانًا مِّن لَّدُنَّا وَزَكَوٰةً ۖ وَكَانَ تَقِيًّا

Dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian (daripada dosa). Dan dia adalah seorang yang bertakwa.

Allah Ta’ala juga memberikan kepada Nabi Yahya as perasaan kasih sayang, kebersihan hati dan ketakwaan sehingga tidak berkehendak melakukan dosa. 

Ayat 14

وَبَرًّۢا بِوَٰلِدَيْهِ وَلَمْ يَكُن جَبَّارًا عَصِيًّا

Dan seorang berbakti kepada kedua-dua orang tuanya, dan bukanlah dia seorang yang sombong lagi derhaka.

Setelah Allah Ta’ala menyebutkan tentang ketaatan Nabi Yahya as kepada-Nya dan Dia menciptakan baginda sebagai orang yang memiliki rasa kasih sayang, hati yang bersih dan ketakwaan, dalam ayat ini pula Dia menyebutkan tentang kepatuhan baginda kepada kedua-dua orang tuanya. 

Nabi Yahya as sangat berbakti kepada kedua-dua orang tuanya. Baginda menjauhi sifat derhaka baik dalam ucapan mahupun perbuatan dan perintah ataupun larangan. 

Ayat 15

وَسَلَـٰمٌ عَلَيْهِ يَوْمَ وُلِدَ وَيَوْمَ يَمُوتُ وَيَوْمَ يُبْعَثُ حَيًّا

Kesejahteraan atas dirinya pada hari dia dilahirkan dan pada hari dia mati dan pada hari dia dibangkitkan hidup kembali.

Setelah Allah Ta’ala menyebutkan sifat-sifat Nabi Yahya as yang baik dalam ayat sebelum ini, dalam ayat ini pula Dia menyebutkan balasan yang akan diperolehnya kerana memiliki sifat-sifat di atas. Baginda mendapatkan keamanan dalam tiga keadaan iaitu pada hari dilahirkan, pada hari diwafatkan dan pada hari dibangkitkan hidup kembali. 

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Ahmad bin Manshur Al-Marwazi daripada Shadaqah bin Al-Fadhl daripada Sufyan bin ‘Uyainah, beliau mengatakan, keadaan yang paling mengerikan bagi seseorang ada tiga iaitu:  

  • Pada hari dia dilahirkan, kerana dia melihat dirinya keluar daripada suasana yang selama ini dia berada iaitu di alam rahim. 
  • Pada hari dia mati, kerana dia melihat suatu kaum (malaikat) yang belum pernah dilihatnya.
  • Pada hari dia dibangkitkan, kerana dia melihat dirinya berada di tempat berhimpun yang besar.  

Beliau mengatakan, pada saat itulah Allah Ta’ala memuliakan Nabi Yahya as dan mengkhususkan kesejahteraan kepadanya. 


Infografik Kisah Nabi Zakaria