Kisah Ashabul Kahfi
Surah 18: Al-Kahfi (9 – 26)
Gua Ashabul Kahfi yang terletak di Abu Alanda, kira-kira 7 km dari pusat bandar Amman, Jordan, merupakan lokasi sejarah yang lebih menepati ciri-ciri yang dikisahkan di dalam Al-Quran.
Ayat 9
أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَـٰبَ ٱلْكَهْفِ وَٱلرَّقِيمِ كَانُوا۟ مِنْ ءَايَـٰتِنَا عَجَبًا
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?
Ayat ini menceritakan kisah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi. Allah Swt memberitahu bahawa kisah mereka itu bukanlah sesuatu yang menakjubkan jika dibandingkan dengan besarnya kekuasaan-Nya yang lain seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat-Nya yang agung dalam Al-Quran, iaitu tentang penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, penundukan matahari, bulan dan bintang-bintang yang menunjukkan kebesaranNya. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu yang dikehendaki-Nya dan tidak ada sesuatu pun yang dapat melemahkan-Nya.
Al-Kahfi ialah gua di gunung yang dijadikan sebagai tempat berlindung oleh para pemuda tersebut. Sedangkan Raqim, menurut Al-‘Aufi daripada Ibnu ‘Abbas ra, adalah sebuah lembah berdekatan Kota Ailah.
Ayat 10
إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُوا۟ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.
Allah Swt menyatakan bahawa para pemuda itu melarikan diri ke dalam gua di pergunungan untuk menyelamatkan akidah mereka. Mereka mengakui ketauhidan atau keesaan-Nya dan bersaksi tiada Ilah selain Dia, Rabb semesta alam.
Ketika memasuki gua, para pemuda ini memohon kepada Allah Swt supaya diberi rahmat dan disempurnakan petunjuk yang lurus kepada mereka.
Ayat 11
فَضَرَبْنَا عَلَىٰٓ ءَاذَانِهِمْ فِى ٱلْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا
Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.
Ayat 12
ثُمَّ بَعَثْنَـٰهُمْ لِنَعْلَمَ أَىُّ ٱلْحِزْبَيْنِ أَحْصَىٰ لِمَا لَبِثُوٓا۟ أَمَدًا
Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu).
Allah Swt membuatkan mereka tidur bertahun-tahun lamanya ketika berada di dalam gua dan kemudian Allah Swt bangunkan mereka daripada tidur mereka itu.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa ada dua golongan yang berbeza pendapat tentang berapa lama mereka tinggal di dalam gua, berapa jumlah para pemuda tersebut dan berapa lama mereka ditidurkan.
Ayat 13
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًى
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
Allah Swt memberitahu bahawa kisah Ashabul Kahfi yang mencari tempat perlindungan itu adalah suatu kisah yang benar-benar terjadi. Dia juga menyatakan bahawa mereka ini terdiri daripada orang-orang muda yang mahu menerima kebenaran dan lebih lurus jalan mereka daripada golongan tua yang tenggelam dalam agama yang batil.
Hal ini sama keadaannya dengan orang-orang Quraisy kerana pada masa Rasulullah saw menyampaikan risalah-Nya, ramai daripada golongan muda yang menerima kebenaran dan golongan tua menolak. Allah Swt menambahkan lagi petunjuk kepada Ashabul Kahfi bagi menguatkan keimanan mereka.
Imam Al-Bukhari dan beberapa orang lagi menyatakan ayat, “dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk,” adalah dalil bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang serta mempunyai tingkatannya. Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan orang-orang yang mendapat petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan mereka.”
Muhammad 47:17
“………………Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya, sedang mereka berasa gembira.”
At-Taubah 9:124
Ayat 14
وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا۟ مِن دُونِهِۦٓ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَآ إِذًا شَطَطًا
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”
Pada masa itu, para pemuda Ashabul Kahfi ini berhadapan dengan raja yang zalim yang mendorong rakyatnya menyembah berhala dan patung-patung dan mengajak rakyatnya menyekutukan Allah Swt. Para pemuda itu mengingkari dengan ucapan bahawa Rabb mereka adalah Rabb langit dan bumi dan mereka tidak akan sekali-kali menyembah selain-Nya.
Sesungguhnya Allah Swt telah meneguhkan hati mereka ketika berdiri di hadapan pemimpin dan raja yang kafir dengan mengatakan mereka tidak akan sekali-kali menyembah selain Allah Swt. Sekiranya mereka beribadah kepada selain-Nya, sesungguhnya mereka telah berdusta terhadap kebenaran dan menzalimi diri mereka sendiri.
Ayat 15
هَـٰٓؤُلَآءِ قَوْمُنَا ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةً ۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَـٰنٍۭ بَيِّنٍ ۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا
(Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.
Pemuda-pemuda itu juga mempersoalkan tentang dakwaan kaum musyrik yang menjadikan tuhan selain Allah Swt untuk disembah tanpa memberikan alasan dan bukti untuk menguatkan hujah mereka. Allah Swt menyatakan bahawa tiada perbuatan yang lebih zalim daripada membuat pembohongan terhadap diri-Nya iaitu menjadikan tuhan-tuhan selain-Nya sebagai sekutu.
Ayat 16
وَإِذِ ٱعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأْوُۥٓا۟ إِلَى ٱلْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا
Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia mengilhamkan para pemuda Ashabul Kahfi agar melarikan diri dan meninggalkan kaum mereka yang berada dalam kekufuran dan kesyirikan mereka, seterusnya berlindung di dalam gua. Dia melimpahkan rahmat-Nya dengan memudahkan urusan mereka dan memberikan keamanan kepada mereka. Oleh itu, diri dan agama mereka terselamat daripada fitnah atau pembunuhan ketika berlindung di dalam gua.
Sesungguhnya Allah Ta’ala akan melindungi hamba-hamba-Nya yang bergantung dan mencari perlindungan daripada-Nya. Hal ini juga berlaku kepada Rasulullah saw sebagaimana yang dinyatakan dalam Tafsir Ibnu Kathir, iaitu ketika baginda bersama-sama sahabatnya, Abu Bakar As-Siddiq berlindung di dalam Gua Thur. Lalu beberapa orang musyrik daripada kaum Quraisy datang untuk mencari baginda, namun mereka tidak menemukan baginda dan juga Abu Bakar, padahal mereka telah melalui tempat persembunyian itu. Di gua itu Nabi saw bersabda ketika baginda melihat kesedihan Abu Bakar melalui ucapannya, “Wahai Rasulullah, seandainya salah seorang daripada mereka melihat ke bawah kakinya, nescaya dia akan melihat kita.” Maka baginda pun bersabda, “Wahai Abu Bakar, bagaimana menurutmu jika ada dua orang dan yang ketiganya adalah Allah?”
Allah swt telah menegaskan dalam firman-Nya:
“Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika orang-orang kafir (kaum musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika kedua-duanya berada dalam gua, pada waktu dia berkata kepada sahabatnya, ‘Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.’ Maka Allah menurunkan ketenanganNya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah, dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
At-Taubah 9:40
Kisah Nabi Muhammad saw dan sahabatnya di Gua Thur ini lebih mulia, lebih besar, lebih agung dan lebih menakjubkan daripada kisah Ashabul Kahfi.
Ayat 17
وَتَرَى ٱلشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَٰوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ ٱلشِّمَالِ وَهُمْ فِى فَجْوَةٍ مِّنْهُ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ ۗ مَن يَهْدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ وَلِيًّا مُّرْشِدًا
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkan-Nya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.
Sesungguhnya keberadaan para pemuda Ashabul Kahfi di dalam gua selama beberapa ratus tahun dan dipelihara daripada sinaran matahari saat terbit dan terbenam, tidak lain adalah salah satu tanda kebesaran Allah Swt yang menakjubkan, juga membuktikan kesempurnaan kekuasaan dan keluasan ilmu-Nya.
Hal ini juga menunjukkan Allah Ta’ala sentiasa menjaga hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan bahawasanya tauhid adalah agama yang benar sedangkan penyembahan kepada selain-Nya adalah merupakan kesesatan.
Allah Swt telah mengilhamkan mereka bersembunyi di dalam gua tersebut supaya mereka terus hidup. Gua yang luas dan peredaran udara yang baik serta cahaya matahari yang tidak menerpa mereka dalam gua tersebut menyebabkan tubuh mereka tetap terpelihara.
Ibnu ‘Abbas ra berkata, mereka tidur di tempat yang cukup luas dalam gua itu dan terhindar daripada kepanasan matahari. Ini kerana seandainya cahaya matahari mengenai tubuh mereka, tentulah panas yang terik akan membakar tubuh dan pakaian mereka.
Sesungguhnya orang yang diberi petunjuk oleh Allah Swt, dialah yang mendapat petunjuk dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah Swt, maka tiada seorang pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.
Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa pintu gua itu menghadap ke arah utara kerana ketika cahaya matahari pagi masuk ke dalamnya, bayang condong ke arah kanan.
Ayat 18
وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ ۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَذَاتَ ٱلشِّمَالِ ۖ وَكَلْبُهُم بَـٰسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِٱلْوَصِيدِ ۚ لَوِ ٱطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا
Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
Allah Ta’ala menyatakan sesiapa yang melihat para pemuda Ashabul Kahfi ketika itu, mereka akan menyangka mereka dalam keadaan terjaga disebabkan mata mereka terbuka sedangkan mereka sebenarnya sedang tidur nyenyak. Keadaan ini terjadi agar tidak berlaku perkara yang membahayakan diri mereka seakan-akan para pemuda tersebut melihat orang yang sedang menyaksikan keadaan mereka.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan selama mereka tidur, badan mereka sentiasa berbalik ke kiri dan ke kanan dari masa ke masa. Allah Swt melakukan demikian agar tubuh mereka sentiasa mendapat udara. Ibnu ‘Abbas ra pernah berkata, “Sekiranya tubuh mereka tidak dibolak-balikkan, pastilah tanah tempat mereka berbaring akan memakan jasad mereka.”
Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid ra, Qatadah ra dan Ibnu Juraij ra menyatakan bahawa anjing itu duduk menjaga mereka di hadapan pintu gua.
Allah Ta’ala mengadakan perkara-perkara yang menakutkan untuk melindungi mereka ketika tidur. Ini bertujuan tidak ada seorang pun yang mendekati dan menyentuh mereka sehingga tiba waktu yang dikehendaki-Nya itu berakhir. Hal ini terdapat hikmah, hujah yang kuat dan rahmat yang sangat luas.
Ayat 19
وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَـٰهُمْ لِيَتَسَآءَلُوا۟ بَيْنَهُمْ ۚ قَالَ قَآئِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۚ قَالُوا۟ رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَٱبْعَثُوٓا۟ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَـٰذِهِۦٓ إِلَى ٱلْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَآ أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanya sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (Sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.
Mereka saling bertanya berapa lama mereka tertidur. Ada di antara mereka yang berkata bahawa lamanya sehari atau setengah hari. Kemudian seorang lagi menjawab bahawa Allah Swt yang lebih mengetahui apa yang telah berlaku.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa mereka dibangunkan dalam keadaan yang tidak berubah sebagaimana sebelum mereka ditidurkan walaupun selepas tiga ratus sembilan tahun berlalu. Firman Allah Swt:
“Dan mereka tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).”
Al-Kahfi 18:25
Kemudian salah seorang daripada mereka diminta agar pergi ke bandar untuk membeli makanan yang halal. Pemuda tersebut dinasihatkan supaya bersikap lemah lembut semasa dalam perjalanan pergi dan balik serta semasa hendak membeli supaya tiada sesiapa pun yang mengesyaki mereka. Pemuda itu juga dilarang daripada menyampaikan atau memberitahu lokasi mereka berada kepada penduduk bandar.
Ayat 20
إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا۟ عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِى مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوٓا۟ إِذًا أَبَدًا
“Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada agama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”.
Para pemuda Ashabul Kahfi bimbang sekiranya tempat persembunyian mereka diketahui oleh para pemimpin dan kaum mereka, tentu mereka akan diseksa berterusan sehingga kembali syirik kepada Allah Ta’ala. Jika mereka kembali syirik, mereka tidak akan mendapat apa-apa keuntungan baik di dunia atau pun di akhirat.
Ayat 21
وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَآ إِذْ يَتَنَـٰزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ ۖ فَقَالُوا۟ ٱبْنُوا۟ عَلَيْهِم بُنْيَـٰنًا ۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ ۚ قَالَ ٱلَّذِينَ غَلَبُوا۟ عَلَىٰٓ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا
Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”.
Allah Swt memberitahu bahawa Dia telah membangunkan para pemuda Ashabul Kahfi daripada tidur yang lama dalam keadaan seperti sebelum tidur. Hal ini sama seperti peristiwa orang yang meninggal dunia kemudian dibangkitkan kembali.
Kemudian Allah Swt memberitahu bahawa Dia mempertemukan mereka kepada manusia lain bertujuan agar mereka mengetahui bahawa janji Allah Swt untuk membangkitkan kembali manusia setelah mati adalah benar dan Kiamat pasti akan terjadi.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan, terdapat lebih daripada seorang ulama terdahulu menyebutkan bahawa manusia pada masa itu meragukan adanya kebangkitan dan Hari Kiamat.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir juga dinyatakan, ‘Ikrimah berkata, sekumpulan orang di antara penduduk kota itu mengatakan, “Roh-roh akan dibangkitkan, tetapi jasad-jasad tidak akan dibangkitkan.” Oleh itu, Allah Swt membangkitkan penghuni gua itu sebagai hujah, dalil dan tanda kekuasaan Allah Swt tentang hal itu.
Setelah para pemuda Ashabul Kahfi dimatikan oleh Allah Ta’ala, penduduk negeri itu menyarankan supaya pintu gua tersebut ditutup dan para pemuda itu dibiarkan begitu sahaja kerana Rabb mereka lebih mengetahui tentang mereka. Orang-orang yang memiliki pengaruh ketika itu seterusnya mengatakan bahawa mereka akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya.
Ayat 22
سَيَقُولُونَ ثَلَـٰثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًۢا بِٱلْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّىٓ أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَآءً ظَـٰهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًا
(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata: “Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa ada antara mereka yang meneka-neka tentang masalah ghaib tanpa berdasarkan ilmu. Dia mengatakan bahawa hanya sedikit sahaja manusia yang mengetahui jumlah sebenar bilangan pemuda tersebut dan hendaklah mengembalikan pengetahuan kepada-Nya sebab dalam perkara seperti ini tidak perlu pada banyak pembicaraan tanpa ilmu.
Dalam Tafsir Ibnu Katsir dinyatakan bahawa Qatadah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Aku termasuk yang sedikit yang dikecualikan oleh Allah swt dan yang benar, mereka berjumlah tujuh orang.” Begitu juga yang diriwayatkan oleh Ibnu Juraij daripada ‘Atha’ Al-Khurasani serta Ibnu Jarir iaitu kesemua periwayatannya sahih sehingga Ibnu ‘Abbas ra mengatakan jumlah pemuda tersebut adalah tujuh orang.
Allah Ta’ala menasihati Rasulullah saw agar tidak berdebat dengan ahli kitab dalam urusan Ashabul Kahfi melainkan debat yang jelas dengan menceritakan apa yang telah Dia ceritakan kepadanya tanpa mendustai dan juga tidak menyetujui mereka. Ini kerana ahli kitab tidak mengetahui jumlah bilangan sebenar pemuda Ashabul Kahfi dan mereka mengatakan berdasarkan tekaan tanpa ilmu. Ini menunjukkan adanya larangan untuk kembali kepada penjelasan ahli kitab dalam hal ilmu walaupun sedikit.
Hal yang terpenting dalam permasalahan ini bukanlah tentang jumlah mereka tetapi hikmah daripada kisah itu dan bagaimana memanfaatkan pelajaran yang disampaikan iaitu kekuasaan Allah Ta’ala membangkitkan dan menghidupkan manusia setelah kematian.
Ayat 23
وَلَا تَقُولَنَّ لِشَا۟ىْءٍ إِنِّى فَاعِلٌ ذَٰلِكَ غَدًا
Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”.
Ayat 24
إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ وَٱذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَىٰٓ أَن يَهْدِيَنِ رَبِّى لِأَقْرَبَ مِنْ هَـٰذَا رَشَدًا
Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”.
Ini merupakan bimbingan daripada Allah Swt kepada Rasulullah saw tentang adab ketika hendak melakukan sesuatu pekerjaan pada masa akan datang. Baginda hendaklah mengembalikan hal itu kepada kehendak Allah yang Maha Perkasa, Maha Mulia lagi Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib.
Mengikut pendapat Muhammad Ibnu Ishaq, daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas ra, sebab turun ayat ini, ialah dalam sabda Nabi Muhammad saw ketika baginda ditanya tentang tiga perkara, antaranya ialah kisah Ashabul Kahfi, baginda menjawab, “Akan aku berikan jawapan kepada kamu esok hari.” Lalu wahyu terlambat turun sehingga hari ke lima belas.
Berkaitan dengan firman Allah Ta’ala, “Dan ingatlah kepada Rabbmu jika kamu lupa,” ada yang mengatakan maksudnya ialah, jika kamu lupa mengucapkan insya Allah, maka ucapkanlah kalimah itu pada saat kamu mengingatinya. Pendapat ini dikemukakan oleh Abul ‘Aliyah dan Al-Hasan Al-Basri.
Firman Allah Swt, “Dan katakanlah, ‘Mudah-mudahan Rabbku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini.’” adalah arahan kepada Rasulullah saw iaitu jika baginda ditanya tentang sesuatu yang tidak ketahui, hendaklah baginda memohon kepada Allah Ta’ala agar Dia memberi taufik untuk memperoleh kebenaran dan juga petunjuk berkenaan hal tersebut.
Ayat 25
وَلَبِثُوا۟ فِى كَهْفِهِمْ ثَلَـٰثَ مِا۟ئَةٍ سِنِينَ وَٱزْدَادُوا۟ تِسْعًا
Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan kiraan Ahli Kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu).
Allah Ta’ala memberitahu Rasulullah saw tentang berapa lama Ashabul Kahfi ditidurkan dan kemudian dibangunkan kembali dan Dia mempertemukan mereka dengan orang-orang yang hidup pada zaman itu.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa tempoh mereka hidup di dalam gua adalah tiga ratus tahun menurut hitungan matahari yang ditambah lagi dengan sembilan tahun menurut hitungan bulan. Perbezaan antara tahun bulan dengan tahun matahari dalam seratus tahun adalah tiga tahun. Oleh sebab itu, Allah Swt menyatakan, “tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun lagi.”
Ayat 26
قُلِ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا۟ ۖ لَهُۥ غَيْبُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ أَبْصِرْ بِهِۦ وَأَسْمِعْ ۚ مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّ وَلَا يُشْرِكُ فِى حُكْمِهِۦٓ أَحَدًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagi-Nya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatan-Nya dan pendengaran-Nya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripada-Nya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukum-Nya.
Allah Swt mengingatkan Rasulullah saw, sekiranya ada yang bertanya tentang berapa lama mereka tinggal di dalam gua itu, baginda hendaklah mengatakan hanya Dia yang mengetahui hal tersebut.
FirmanNya, “bagi-Nya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi,” bermaksud tidak ada yang mengetahui hal itu kecuali Dia dan orang yang diberitahu oleh-Nya.
FirmanNya, “terang sungguh penglihatanNya dan pendengaranNya (terhadap segala-galanya)” bermaksud sesungguhnya Allah Swt benar-benar Maha Melihat dan Maha Mendengar segala perbuatan dan perkataan manusia, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada-Nya.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan hanya Dia sahaja yang mempunyai hak mencipta dan memerintah, tidak ada yang boleh mengingkari ketetapan-Nya. Dia tidak mempunyai pembantu, sekutu dan penasihat bagi-Nya. Dia Maha Tinggi dan Maha Suci daripada segala kekurangan.