Surah 18: Al-Kahfi (60 – 82)

Kisah Nabi Musa as dan Nabi Khidir as

Surah 18: Al-Kahfi (60 – 82)


Tiga peristiwa yang berlaku semasa perjalanan Nabi Musa as dalam menuntut ilmu daripada Nabi Khidir as

Ayat 60

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبْرَحُ حَتَّىٰٓ أَبْلُغَ مَجْمَعَ ٱلْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِىَ حُقُبًا

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pembantu (sekaligus murid)nya, “Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua laut, atau aku akan berjalan (terus sampai) bertahun-tahun.”

Ini merupakan kisah ketiga yang disebutkan oleh Allah Swt dalam surah ini setelah kisah Ashabul Kahfi dan kisah pemilik dua kebun yang mempunyai harta yang banyak. 

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, Ubay Ibnu Ka’ab ra mengatakan bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda: 

“Musa as berdiri untuk menyampaikan khutbah kepada Bani Israil, lalu baginda ditanya, ‘Siapakah manusia yang paling alim?’ Dia (Musa) menjawab, ‘Aku.’ Maka Allah pun terus menegurnya, sebab baginda belum tahu tentang hal itu (iaitu tentang siapa yang paling alim). Lalu Allah memberikan wahyu kepadanya, ‘Aku memiliki seorang hamba yang berada di pertemuan dua laut, dia lebih berilmu daripada kamu.’ Musa berkata, ‘Wahai Rabbku, bagaimana aku dapat menemuinya?’ Allah berfirman, ‘Bawalah ikan, lalu letakkan di dalam bekas. Maka di mana pun ikan itu menghilang, maka dia (hamba-Ku) berada di sana.’” 

(HR. Al-Bukhari) 

Nabi Musa as menyatakan hal ini kepada pembantunya dan sekaligus muridnya yang bernama Yusya’ bin Nun bahawa baginda akan menempuh perjalanan ke tempat pertemuan dua laut itu walaupun hingga beberapa tahun. Tujuannya adalah untuk bertemu dengan hamba Allah seperti yang diwahyukan-Nya kepadanya. 

Ayat 61

فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ سَرَبًا

Maka tatkala mereka sampai di pertemuan dua buah laut itu, mereka lalai akan ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu.

Pertemuan dua buah lautan ialah tempat bertemunya dua lautan menjadi satu lautan. Tempat itu merupakan tempat yang dijanjikan Allah Ta’ala kepada Nabi Musa as untuk bertemu pemuda soleh (Khidir). 

Ketika Nabi Musa as dan pembantunya tiba di tempat pertemuan dua laut tersebut, mereka duduk di atas batu dan mereka berdua terlupa terhadap ikan yang mereka bawa sebagai bekalan. Tiba-tiba ikan tersebut melompat keluar lalu menuju ke laut. 

Ayat 62

فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَىٰهُ ءَاتِنَا غَدَآءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَـٰذَا نَصَبًا

Maka tatkala mereka berjalan lebih jauh, berkatalah Musa kepada pemuda yang bersama dengannya, “Bawalah kemari makanan kita, sesungguhnya kita telah berasa letih kerana perjalanan kita ini.”

Nabi Musa as dan pembantunya meneruskan perjalanan meninggalkan tempat yang mereka terlupa kepada ikan yang mereka bawa. 

Ketika telah tersangat jauh mereka berjalan, mereka berhenti untuk beristirahat. Kemudian Nabi Musa as meminta pembantunya menyediakan bekalan yang mereka bawa untuk dimakan. 

Ayat 63

قَالَ أَرَءَيْتَ إِذْ أَوَيْنَآ إِلَى ٱلصَّخْرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلْحُوتَ وَمَآ أَنسَىٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيْطَـٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُۥ ۚ وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ عَجَبًا

Muridnya menjawab, “Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.”

Pembantu Nabi Musa as pun memberitahu bahawa ketika mereka sedang berteduh di bawah batu besar yang ada di tempat pertemuan dua laut itu, ikan tersebut tiba-tiba bergerak dan kembali hidup, kemudian masuk ke dalam laut. Ikan itu melompat mencari jalan menuju ke laut dengan cara yang aneh. 

Imam Bukhari meriwayatkan, “Nabi Musa as pun keluar disertai pembantunya, Yusya’ bin Nun, sambil membawa ikan. Ketika mereka menemui sebuah batu besar, kedua-duanya merebahkan diri atas batu tersebut lalu tertidur. Rasulullah saw bersabda: 

‘Di bahagian bawah batu itu terdapat mata air yang bernama ‘mata air kehidupan.’ Tidak ada sesuatu pun yang terkena airnya, melainkan ia akan hidup. Ikan itu pun terkena air daripada mata air tersebut, sehingga bergerak-gerak dan meluncur dari bekas, masuk ke dalam laut. Apabila terbangun, Musa berkata kepada pembantunya, ‘Bawalah ke mari makanan kita.’” 

(HR. Al-Bukhari) 

Kemudian pembantu Nabi Musa as mengatakan kepada baginda bahawa syaitan telah membuatnya lupa untuk memberitahunya tentang ikan tersebut. 

Ayat 64

قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ ۚ فَٱرْتَدَّا عَلَىٰٓ ءَاثَارِهِمَا قَصَصًا

Musa berkata, “Itulah (tempat) yang kita cari.” Lalu kedua-duanya kembali mengikuti jejak mereka semula.

Setelah mendengar cerita pembantu itu, Nabi Musa as pun mengatakan bahawa itulah tempat yang mereka cari. Lalu Nabi Musa as dan pembantunya menelusuri kembali jalan yang telah mereka lalui sebelumnya sehingga sampai di tempat yang ada batu besar tersebut. 

Ayat 65

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَآ ءَاتَيْنَـٰهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا

Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.

Akhirnya Nabi Musa as dan pembantunya sampai di tempat yang ada batu besar itu dan di situlah mereka bertemu dengan hamba Allah yang soleh. 

Al-Quran tidak menyebutkan nama sebenar hamba Allah yang soleh ini, tetapi ulama menyatakan lelaki itu adalah Nabi Khidir as bersandarkan kepada beberapa hadis daripada Rasulullah saw antaranya, daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda: 

“Dia dinamakan Khidir tidak lain adalah kerana apabila dia duduk di atas ‘farwah’ (permukaan bumi) yang (tidak ada tanaman), maka tiba-tiba tanah di bawahnya menumbuhkan tanaman yang menghijau.” 

(HR. Ahmad) 

Ayat 66

قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

Musa berkata kepada Khidir, “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu.”

Allah Swt menyatakan permintaan Nabi Musa as agar Nabi Khidir as mengajarkan ilmu yang diberikan oleh Allah Swt khusus kepada Nabi Khidir as yang tidak diberikan-Nya kepada Nabi Musa as, sebagaimana Dia telah memberikan ilmu yang khusus kepada Nabi Musa as yang tidak diberikan-Nya kepada Nabi Khidir as. 

Ini adalah pertanyaan yang penuh dengan kelembutan, bukan dalam bentuk kemestian dan pemaksaan. Ini menunjukkan Nabi Musa as tidak berasa rendah diri untuk mempelajari ilmu daripada orang lain dan juga tidak menyombongkan diri walaupun baginda adalah seorang Rasul. 

Beginilah sewajarnya pertanyaan seorang pelajar kepada seseorang yang berilmu apabila meminta untuk diajarkan kepadanya. 

Ayat 67

قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا

Dia (Khidir) menjawab, “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku.

Ayat 68

وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِۦ خُبْرًا

Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu.”

Nabi Khidir as menjawab bahawa Nabi Musa as pasti tidak akan sanggup untuk bersabar ketika mengikutinya kerana segala tindakan yang akan dilakukannya berbeza dengan syariat Nabi Musa as. 

Seterusnya Nabi Khidir as menyatakan bahawa ini adalah kerana ilmu yang ada padanya adalah ilmu Allah Ta’ala yang telah diajarkan kepadanya dan tidak diajarkan kepada Nabi Musa as. Oleh itu, Nabi Musa as tidak akan mengetahui hikmah dan maslahat yang tersembunyi di sebalik segala tindakan Nabi Khidir as. 

Ayat 69

قَالَ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ صَابِرًا وَلَآ أَعْصِى لَكَ أَمْرًا

Musa berkata, “Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai seorang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun.”

Nabi Musa as memberi jaminan bahawa baginda akan bersabar atas setiap tindakan Nabi Khidir as dan tidak akan menentangnya. 

Ayat 70

قَالَ فَإِنِ ٱتَّبَعْتَنِى فَلَا تَسْـَٔلْنِى عَن شَىْءٍ حَتَّىٰٓ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا

Dia berkata, “Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apa pun, sehingga aku sendiri menerangkannya kepadamu.”

Nabi Khidir as menyatakan syaratnya ialah Nabi Musa as agar tidak mengemukakan sebarang persoalan atas segala tindakannya sehingga Nabi Khidir as sendiri yang akan menjelaskan kepada baginda setiap peristiwa yang berlaku. 

Ayat 71

فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا رَكِبَا فِى ٱلسَّفِينَةِ خَرَقَهَا ۖ قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْـًٔا إِمْرًا

Maka berjalanlah kedua-duanya, hingga tatkala kedua-duanya menaiki kapal lalu Khidir melubanginya. Musa berkata, “Mengapa kamu melubangi kapal itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpangnya. Sesungguhnya kamu telah berbuat kesalahan yang besar.”

Setelah mendapat persepakatan, Nabi Musa as dan Nabi Khidir as memulai perjalanan mereka dengan menaiki kapal. 

Daripada Sa’id bin Jubair, daripada Ibnu ‘Abbas ra, daripada Ubay Ibnu Ka’ab ra, mengatakan bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda: 

“Kedua-duanya pun pergi dengan berjalan kaki di pantai, lalu melintaslah sebuah kapal. Mereka pun berbicara kepada anak-anak kapal agar bersedia membawa mereka. Anak-anak kapal tersebut mengenali Nabi Khidir as dan bersetuju membawa mereka berdua tanpa dikenakan sebarang bayaran. Ketika mereka berlayar, tiada kejadian yang mengejutkan sehingga Nabi Khidir as mencabut salah satu papan (kapal itu) dengan kapak. Nabi Musa as berkata, ‘Mereka telah membawa kita tanpa dikenakan sebarang bayaran, apakah kamu sengaja merosakkan kapal mereka hingga berlubang untuk menenggelamkan penumpangnya? Kamu benar-benar telah melakukan kesalahan yang besar.’” 

(HR. Al-Bukhari) 

Mujahid mengatakan bahawa Nabi Musa as berpendapat tindakan Nabi Khidir as melubangi kapal itu merupakan satu kemungkaran. Qatadah pula mengatakan Nabi Musa as berasa hairan terhadap tindakan Nabi Khidir as itu. 

Ayat 72

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا

Dia (Khidir) berkata, “Bukankah aku telah berkata, ‘Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama denganku.’”

Ayat 73

قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِى بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِى مِنْ أَمْرِى عُسْرًا

Musa berkata, “Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebaniku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku.”

Nabi Khidir as mengingatkan Nabi Musa as tentang syarat yang telah dinyatakannya terdahulu. Lalu Nabi Musa as merayu agar Nabi Khidir as tidak berasa kesal dan bersikap keras terhadapnya. 

Sambungan daripada hadis di atas dalam ayat 71 tadi, Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda: 

“Protes Musa yang pertama ini dilakukannya kerana lupa.” Rasulullah saw melanjutkan: 

“Lalu datang burung pipit dan hinggap di hujung kapal. Burung itu lantas mematuk ke dalam laut satu atau dua kali patukan. Khidir berkata kepadanya, ‘Tidaklah ilmuku dan ilmumu dibanding dengan ilmu Allah, melainkan seperti air yang diambil oleh paruh burung itu dari laut.’” 

(HR. Al-Bukhari) 

Ayat 74

فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا لَقِيَا غُلَـٰمًا فَقَتَلَهُۥ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةًۢ بِغَيْرِ نَفْسٍ لَّقَدْ جِئْتَ شَيْـًٔا نُّكْرًا

Maka berjalanlah kedua-duanya, hingga tatkala kedua-duanya berjumpa dengan seorang kanak-kanak, maka Khidir membunuhnya. Musa berkata, “Mengapa kamu bunuh jiwa yang bersih, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar.”

Daripada Sa’id bin Jubair, daripada Ibnu ‘Abbas ra, daripada Ubay Ibnu Ka’ab ra, dia mendengar Rasulullah saw bersabda: 

“Kemudian kedua-duanya keluar dari kapal. Ketika kedua-duanya berjalan di pantai, tiba-tiba Khidir melihat seorang kanak-kanak yang sedang bermain bersama dengan kanak-kanak yang lain. Khidir terus menyentap kepalanya dan memulas lehernya dengan tangannya hingga mati.” 

(HR. Al-Bukhari) 

Apabila Nabi Musa as menyaksikan kejadian itu, baginda menegur Nabi Khidir as dengan lebih tegas daripada kejadian yang pertama dan terus menyanggahnya. Nabi Musa as mengatakan kanak-kanak yang dibunuh oleh Nabi Khidir as masih kecil dan tidak melakukan sebarang kesalahan serta tidak berdosa. Perkara ini tidak mempunyai asas yang dibenarkan untuk membunuhnya. Oleh itu, Nabi Musa as mengatakan bahawa perbuatan Nabi Khidir as itu benar-benar jelas kemungkarannya. 

Ayat 75

قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا

(Khidir) berkata, “Bukankah sudah kukatakan kepadamu bahawa sesungguhnya kamu tidak akan dapat sabar bersamaku.”

Ayat 76

قَالَ إِن سَأَلْتُكَ عَن شَىْءٍۭ بَعْدَهَا فَلَا تُصَـٰحِبْنِى ۖ قَدْ بَلَغْتَ مِن لَّدُنِّى عُذْرًا

(Musa) berkata, “Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah kamu membenarkan aku menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku.”

Dalam ayat yang lepas, Nabi Khidir as telah memperingatkan Nabi Musa as bukankah dia telah mengatakan bahawa Nabi Musa as tidak akan bersabar apabila melihat perbuatan-perbuatannya. 

Dalam ayat ini sekali lagi Nabi Khidir as menegur dan mengingatkan baginda yang mempersoalkan perbuatannya membunuh seorang kanak-kanak tanpa sebab yang dibenarkan. 

Tegurannya kali ini lebih tegas dan jelas, sedangkan membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa merupakan kejahatan yang lebih kejam jika dibandingkan sekadar melubangi kapal. 

Mendengar peringatan kedua itu, Nabi Musa as tersedar dan berasa malu. Namun disebabkan keinginannya untuk mendapatkan ilmu daripada Nabi Khidir as sangat kuat maka baginda memohon agar diberi lagi kesempatan untuk mengikutinya. 

Nabi Musa as berjanji sekiranya selepas ini baginda masih lagi bertanya dan menyanggah apa sahaja perbuatan Nabi Khidir as, Nabi Khidir as berhak untuk tidak menerima alasannya lagi. 

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, daripada Ubay bin Ka’ab ra, dia mengatakan, jika Rasulullah saw menyebutkan seseorang untuk mendoakannya, maka baginda memulai dengan mendoakan dirinya. Pada suatu hari baginda berdoa: 

“(Semoga) rahmat Allah swt terlimpah kepada kita dan kepada Musa. Seandainya dia tetap bersama dengan sahabatnya (Khidir), nescaya dia melihat keajaiban. Tetapi dia berkata, ‘Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu setelah ini, maka jangan lagi engkau membenarkan aku menyertaimu, sesungguhnya engkau sudah cukup (bersabar) menerima alasan daripadaku.’” 

(HR. At-Tabari dan Abu Dawud) 

Ayat 77

فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَيَآ أَهْلَ قَرْيَةٍ ٱسْتَطْعَمَآ أَهْلَهَا فَأَبَوْا۟ أَن يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَن يَنقَضَّ فَأَقَامَهُۥ ۖ قَالَ لَوْ شِئْتَ لَتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا

Maka kedua-duanya berjalan hingga tatkala kedua-duanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi mereka (penduduk negeri itu) tidak mahu menjamu mereka, kemudian kedua-duanya mendapatkan dinding rumah yang hampir roboh (di negeri itu), lalu dia (Khidhir) menegakkannya. (Musa) berkata, “Jika engkau mahu, nescaya engkau dapat meminta upah untuk itu.”

Selepas kedua-dua kejadian di atas, Nabi Khidir as dan Nabi Musa as meneruskan perjalanan mereka hingga sampai ke suatu negeri. Kemudian mereka meminta makanan kepada penduduk negeri itu untuk menghilangkan rasa lapar mereka. Namun penduduk negeri itu menolak permintaan mereka dan enggan memberi mereka makan walaupun itu merupakan kewajipan mereka terhadap tetamu. Tindakan penduduk negeri itu tidak menepati etika dan menunjukkan sikap bakhil mereka. 

Ketika berada di negeri tersebut, Nabi Khidir as dan Nabi Musa as mendapati sebuah dinding yang condong dan hampir roboh. Lalu Nabi Khidir as menegakkan dinding tersebut. 

Apabila melihat kejadian itu, Nabi Musa as mengatakan Nabi Khidir as tidak perlulah membetulkan dinding tersebut. Ini kerana sikap penduduk negeri itu yang tidak mahu menerima kedatangan mereka sebagai tetamu. Namun baginda mencadangkan agar Nabi Khidir as mengambil upah melalui apa yang dilakukan oleh Nabi Khidir as. 

Ayat 78

قَالَ هَـٰذَا فِرَاقُ بَيْنِى وَبَيْنِكَ ۚ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا

(Khidir) berkata, “Inilah perpisahan antara aku dengan kamu, aku akan memberitahukan kepadamu pentakwilan (tujuan perbuatan-perbuatan) yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.

Nabi Khidir as mengingatkan kepada Nabi Musa as tentang syarat yang telah ditentukan oleh Nabi Musa as sendiri sebelum ini iaitu sekiranya baginda bertanya lagi selepas ini, baginda tidak lagi dibolehkan menyertai Nabi Khidir as seterusnya. Hal ini merupakan perpisahan antara mereka berdua. 

Ayat 79

أَمَّا ٱلسَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَـٰكِينَ يَعْمَلُونَ فِى ٱلْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَآءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا

Adapun kapal itu adalah milik orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan aku bertujuan merosakkan kapal itu kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang akan merampas setiap kapal.

Ini adalah penjelasan terhadap perkara yang sukar untuk difahami oleh Nabi Musa as dan bantahannya terhadap semua perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh Nabi Khidir as sedangkan Allah Swt telah menampakkan hikmah yang tersembunyi di sebaliknya kepada Nabi Khidir as. 

Nabi Khidir as menjelaskan kepada Nabi Musa as bahawa dia melubangi perahu itu adalah bertujuan untuk merosakkannya. Ini kerana ketika itu mereka akan bertemu dengan seorang raja yang zalim. Raja itu akan merampas semua kapal-kapal yang masih dalam keadaan yang baik. 

Nabi Khidir as melubangi kapal itu adalah untuk mencegah raja tersebut merampasnya daripada pemiliknya yang miskin. Mereka tidak memiliki sesuatu selain kapal tersebut untuk dimanfaatkan. Ada pendapat mengatakan mereka itu adalah anak-anak yatim. 

Ayat 80

وَأَمَّا ٱلْغُلَـٰمُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَآ أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَـٰنًا وَكُفْرًا

Dan adapun anak itu, kedua-dua orang tuanya adalah orang-orang mukmin, dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong kedua-dua orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran.

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, daripada Ubay bin Ka’ab ra, dia berkata Rasulullah saw bersabda: 

“Anak yang dibunuh oleh Khidir itu telah ditetapkan pada hari penetapannya sebagai seorang kafir.” 

(HR. At-Tabari) 

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan tambahan, “Jika dia tetap hidup, nescaya dia akan mendorong kedua-dua orang tuanya kepada kekafiran dan kesesatan.” 

Nabi Khidir as menyatakan bahawa Allah Ta’ala telah memperlihatkan kepadanya masa depan anak itu, sedangkan kedua-dua ibu bapanya adalah mukmin. Apabila anak itu meningkat dewasa, rasa cinta kedua-dua ibu bapa terhadapnya akan membuatkan mereka mengikuti kekafiran anak itu lalu menjerumuskan mereka kepada kezaliman, kemaksiatan dan kemungkaran. 

Qatadah mengatakan maksud ayat ini ialah, “Kedua-dua orang tua anak tersebut sangat gembira ketika dia dilahirkan dan berasa sedih ketika dibunuh. Sekiranya anak tersebut masih hidup, nescaya hal itu menjadi penyebab kesengsaraan mereka. Oleh sebab itu, setiap orang hendaklah redha dengan segala ketetapan Allah Ta’ala kerana sesungguhnya bagi orang yang beriman, ketetapan-Nya pada sesuatu yang tidak disukainya adalah yang terbaik buatnya daripada ketetapan-Nya pada sesuatu yang dia sukai.” Firman Allah Ta’ala: 

“……………Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” 

Al-Baqarah 2:216 

Dalam hadis yang sahih disebutkan: 

“Tidaklah Allah menetapkan sesuatu keputusan (takdir) bagi orang mukmin, melainkan keputusan itu lebih baik baginya.” 

(HR. Ahmad – hadis yang senada dengannya diriwayatkan juga oleh Muslim) 

Ayat 81

فَأَرَدْنَآ أَن يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِّنْهُ زَكَوٰةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا

Dan kami menghendaki, supaya Rabb mereka mengganti bagi mereka dengan anak lain yang lebih baik kesuciannya daripada anak itu dan lebih dalam kasih sayangnya (kepada ibu bapanya).

Kemudian Nabi Khidir as melanjutkan lagi dengan mengatakan Allah Ta’ala akan menganugerahi ibu bapa tersebut dengan anak yang lebih baik sebagai pengganti anak yang dibunuh itu iaitu seorang anak yang taat beragama, soleh, berbakti dan lebih berkasih sayang serta berlemah lembut terhadap kedua-dua orang tuanya. 

Menurut Ibnu Juraij, Allah Ta’ala akan menggantikannya dengan anak yang lebih suci dan kedua-dua ibu bapanya lebih menyayanginya. 

Ayat 82

وَأَمَّا ٱلْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَـٰمَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِى ٱلْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُۥ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَـٰلِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَآ أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ وَمَا فَعَلْتُهُۥ عَنْ أَمْرِى ۚ ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا

Dan adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang soleh, maka Rabbmu menghendaki supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat daripada Rabbmu, dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah takwil (tujuan perbuatan-perbuatan) yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Khidir as memberitahu sebab tindakannya kepada peristiwa yang ketiga. Nabi Khidir as menyatakan bahawa dinding yang dibaikinya itu adalah milik dua orang anak yatim yang ada di daerah tersebut dan di bawah dindingnya terdapat harta simpanan milik mereka berdua. Manakala ayahnya adalah seorang yang soleh. 

Allah Ta’ala menginginkan agar harta tersebut tetap tersimpan di dalam tanah untuk menjaga harta kedua-dua anak yatim tersebut sebagai balasan atas kesolehan bapa mereka. Sekiranya dinding itu roboh akan terlihatlah harta karun itu dan pasti akan diambil oleh orang lain. 

Seterusnya Nabi Khidir as menyatakan bahawa ketiga-tiga tindakannya yang membuat Nabi Musa as hilang kesabaran dan tidak dapat menahan diri itu bukanlah hasil ijtihad dan pendapatnya, melainkan ia adalah sesuai dengan perintah Allah Ta’ala. 

Dalam ayat ini terdapat dalil bahawa kesolehan seseorang menjadikan keturunannya sentiasa terpelihara. Keberkatan ibadah seseorang akan dirasakan oleh keturunannya di dunia dan di akhirat melalui syafaatnya. Darjat keturunannya juga turut diangkat ke tingkatan lebih tinggi di syurga agar orang tua berasa gembira dengan kehadiran mereka. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran dan As-Sunnah. 

Sa’id bin Jubair menceritakan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa kedua-dua anak yatim itu dipelihara oleh Allah Swt kerana kesolehan kedua-dua orang tuanya walaupun kedua-dua mereka tidak disebut sebagai anak yang soleh.