Surah 18: Al-Kahfi (55 – 59)

Penjelasan tentang Penentangan Orang Kafir

Surah 18: Al-Kahfi (55 – 59)


Ayat 55

وَمَا مَنَعَ ٱلنَّاسَ أَن يُؤْمِنُوٓا۟ إِذْ جَآءَهُمُ ٱلْهُدَىٰ وَيَسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّهُمْ إِلَّآ أَن تَأْتِيَهُمْ سُنَّةُ ٱلْأَوَّلِينَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ ٱلْعَذَابُ قُبُلًا

Dan tidak ada sesuatu pun yang menghalang manusia daripada beriman ketika petunjuk telah datang kepada mereka dan memohon ampun kepada Rabbnya, kecuali (keinginan menanti) datangnya hukum (Allah yang telah berlaku kepada) umat-umat yang dahulu atau datangnya azab atas mereka dengan nyata.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa tidak ada faktor yang menghalang kaum Musyrik untuk beriman ketika datang kepada mereka Rasulullah saw dengan membawa Al-Quran dan untuk memohon keampunan serta bertaubat kepada-Nya daripada segala dosa kecuali penentangan mereka terhadap Rasulullah saw dan permintaan mereka terhadap salah satu daripada dua perkara:

  • Datangnya hukuman seperti yang telah dirasakan oleh umat-umat terdahulu berupa azab yang menghancurkan mereka sebagaimana permintaan sebahagian kaum kepada Nabi mereka. Firman-firman-Nya:

      “……………Maka jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan, ‘Datangkanlah kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.’”

      Al-‘Ankabut 29:29

      “Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum Musyrik Mekah) berkata, ‘Wahai Tuhan kami, jika betul (Al-Quran) itu adalah yang benar dari sisi-Mu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.’”

      Al-Anfal 8:32

      • Atau tertimpa seksaan Allah Swt yang mereka lihat secara langsung.
        Ayat 56

        وَمَا نُرْسِلُ ٱلْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ ۚ وَيُجَـٰدِلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِٱلْبَـٰطِلِ لِيُدْحِضُوا۟ بِهِ ٱلْحَقَّ ۖ وَٱتَّخَذُوٓا۟ ءَايَـٰتِى وَمَآ أُنذِرُوا۟ هُزُوًا

        Dan tidaklah Kami mengutus para Rasul melainkan sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan tetapi orang-orang yang kafir membantah dengan (cara) yang batil agar dengan demikian mereka dapat melenyapkan yang hak (kebenaran), dan mereka menganggap ayat-ayat-Ku dan peringatan-peringatan kepada mereka sebagai olok-olokan.

        Sesungguhnya hanya Allah Swt yang layak menurunkan azab dan bukannya para Rasul. Tugas para Rasul hanyalah:

        ▪️  Menyampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan mendapat ganjaran daripada ketaatan mereka kepada Allah Ta’ala.

        ▪️  Memberi peringatan kepada orang-orang yang tidak beriman dan membangkang bahawa mereka akan menerima hukuman atas kemaksiatan mereka agar mereka beriman dengan penuh ikhlas.

        Meskipun telah dijelaskan tentang pelbagai keadaan tersebut dengan mengemukakan hujjah-hujjah, petunjuk-petunjuk dan juga mukjizat-mukjizat tetap ada sahaja bantahan daripada orang-orang kafir menggunakan kebatilan untuk menyingkirkan kebenaran yang dibawa oleh para Rasul. Malah mereka mengolok-olokkan kebenaran yang disampaikan kepada mereka.

        Ayat 57

        وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِۦ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِىَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ ۚ إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرًا ۖ وَإِن تَدْعُهُمْ إِلَى ٱلْهُدَىٰ فَلَن يَهْتَدُوٓا۟ إِذًا أَبَدًا

        Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat daripada Rabbnya lalu dia berpaling daripadanya dan melupakan apa yang dikerjakan oleh kedua-dua tangannya? Sesungguhnya Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka, (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka dan meskipun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya.

        Allah Ta’ala menyatakan bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang diperingatkan dengan ayat-ayat-Nya lalu mereka berpaling daripadanya dengan tidak mahu mengambil pengajaran. Malahan mereka melupakan pula perbuatan kufur dan maksiat yang mereka lakukan serta tidak mahu bertaubat kepada-Nya.

        Oleh sebab mereka berpaling serta melupakan dosa-dosa yang dilakukan itu Allah Ta’ala menutup hati-hati mereka sehingga mereka tidak memahami Al-Quran dan penjelasannya. Pendengaran mereka juga ditutup daripada mendengar petunjuk dan kebenaran. Ini menjadikan mereka tetap tidak mahu menerima keimanan dan berterusan dalam kekafiran dan pembangkangan terhadap Allah Swt. Firman-Nya:

        “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”

        Al-Mutaffifin 83:14

        Ayat 58

        وَرَبُّكَ ٱلْغَفُورُ ذُو ٱلرَّحْمَةِ ۖ لَوْ يُؤَاخِذُهُم بِمَا كَسَبُوا۟ لَعَجَّلَ لَهُمُ ٱلْعَذَابَ ۚ بَل لَّهُم مَّوْعِدٌ لَّن يَجِدُوا۟ مِن دُونِهِۦ مَوْئِلًا

        Dan Rabbmu-lah Yang Maha Pengampun, lagi mempunyai rahmat. Jika Dia mengazab mereka kerana perbuatan mereka, tentu Dia akan menyegerakan azab bagi mereka. Tetapi bagi mereka ada waktu yang tertentu (untuk mendapat azab) yang mereka sekali-kali tidak akan menemukan tempat berlindung daripadanya.

        Kemudian Allah Swt menyebutkan bahawa Dia memiliki sifat Maha Pengasih, tidak cepat murka dan Dia menunda hukuman kepada pelaku maksiat serta tidak terus mengazab mereka, melainkan memberi kesempatan untuk mereka bertaubat. Allah Maha Pengampun, Dia menutupi keburukan para hamba-Nya serta memiliki kasih sayang yang sangat luas. Sekiranya Dia berkehendak untuk terus menghukum manusia kerana kejahatan dan dosa-dosa mereka, pasti Dia mampu menyegerakan azab untuk mereka di dunia ini. Firman-Nya:

        “…………….Sesungguhnya Rabbmu benar-benar mempunyai keampunan (yang luas) bagi manusia sekalipun mereka zalim, dan sesungguhnya Rabbmu benar-benar sangat keras seksaan-Nya.”

        Ar-Ra’d 13:6

        Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menetapkan waktu tertentu bagi terjadinya azab tersebut, sama ada berlaku ketika di dunia atau ditangguhkan sehingga Hari Kiamat. Ketika itu mereka tidak akan menemui sebarang tempat berlindung dan keselamatan untuk menghindarinya dan melarikan diri.

        Ayat 59

        وَتِلْكَ ٱلْقُرَىٰٓ أَهْلَكْنَـٰهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا۟ وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِم مَّوْعِدًا

        Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim, dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka.

        Allah Ta’ala menyatakan bahawa umat terdahulu seperti kaum ‘Aad, Thamud, Madyan dan Lut telah dibinasakan-Nya kerana kekufuran dan pembangkangan mereka. Masing-masing kaum tersebut telah pun ditetapkan waktu kebinasaan mereka. Kebinasaan mereka tidak dapat dihindari dan terjadi pada waktu yang telah ditetapkan, tidak tercepat dan tidak terlambat.

        Oleh itu, ayat ini merupakan peringatan dan ancaman kepada kaum kafir Quraisy yang tidak mempercayai Rasulullah saw kerana mereka tidaklah lebih mulia daripada umat-umat terdahulu yang telah dibinasakan-Nya.