Manusia adalah Makhluk yang Paling Banyak Membantah
Surah 18: Al-Kahfi (54)
Ayat 54
وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِى هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لِلنَّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ ۚ وَكَانَ ٱلْإِنسَـٰنُ أَكْثَرَ شَىْءٍ جَدَلًا
Dan sesungguhnya Kami telah mengulang-ulangi bagi manusia dalam Al-Quran ini bermacam-macam perumpamaan. Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah.
Allah Ta’ala mengingatkan bahawa di dalam Al-Quran terdapat pelbagai perumpamaan dan pengajaran yang berkali-kali dijelaskan-Nya agar manusia dapat mengambil iktibar dan tidak terus menerus berada dalam kesesatan.
Meskipun begitu, segala penjelasan tentang perbezaan antara yang benar dan batil itu tidak memberi kesan kepada manusia. Mereka tetap sahaja membantah dan menentang kebenaran. Malah mereka memilih kebatilan kecuali orang-orang yang diberikan petunjuk oleh Allah Ta’ala ke jalan keselamatan.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib ra, dia menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah saw pernah mengetuk pintu rumahnya untuk membangunkan dia dan isterinya Fatimah binti Rasulullah. Rasulullah saw bersabda:
“Mengapa kamu berdua tidak solat?” Lalu dia menjawab, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya jiwa kami hanya di tangan Allah. Jika Dia hendak membangunkan kami, maka Dia pun membangunkan kami.” Rasulullah saw tidak menjawab kata-katanya. Kemudian saat baginda berlalu pergi dia mendengar baginda menepuk pahanya sambil membacakan firman-Nya, “Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)