Keadaan Orang Musyrik pada Hari Kiamat
Surah 18: Al-Kahfi (51 – 53)
Ayat 51
مَّآ أَشْهَدتُّهُمْ خَلْقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلَا خَلْقَ أَنفُسِهِمْ وَمَا كُنتُ مُتَّخِذَ ٱلْمُضِلِّينَ عَضُدًا
Aku tidak menghadirkan mereka (Iblis dan anak cucunya) untuk menyaksikan penciptaan langit dan bumi dan tidak (pula) penciptaan diri mereka sendiri dan tidaklah Aku mengambil orang-orang yang menyesatkan itu sebagai penolong.
Allah Swt menyatakan bahawa apa yang dijadikan pelindung selain Dia oleh orang-orang musyrik adalah berstatus hamba seperti mereka juga. Mereka tidak memiliki apa-apapun dan Dia tidak menghadirkan mereka untuk menyaksikan penciptaan langit kerana mereka belum lagi diciptakan-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan-tuhan) selain Allah, mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit dan di bumi, dan mereka sama sekali tidak mempunyai peranan pun dalam (penciptaan) langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya. Dan tiadalah berguna syafaat di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkan-Nya memperoleh syafaat itu………..’”
Saba’ 34:22-23
Allah Swt juga menyatakan bahawa Dia yang menciptakan segala sesuatu, mengaturnya dan menetapkannya sendiri, tiada seorang pun yang menyekutui-Nya dalam melakukan hal tersebut, tiada penasihat, dan tiada pula yang menyamai-Nya.
Ayat 52
وَيَوْمَ يَقُولُ نَادُوا۟ شُرَكَآءِىَ ٱلَّذِينَ زَعَمْتُمْ فَدَعَوْهُمْ فَلَمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَهُمْ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُم مَّوْبِقًا
Dan (ingatlah) akan hari (yang ketika itu) Dia berfirman, “Serulah olehmu sekalian sekutu-sekutu-Ku yang kamu katakan itu.” Mereka lalu menyerunya, tetapi sekutu-sekutu itu tidak membalas seruan mereka dan Kami adakan untuk mereka tempat kebinasaan (neraka).
Allah Ta’ala memberitahu tentang apa yang dikatakan kepada kaum musyrik pada Hari Kiamat di hadapan para saksi. Ini merupakan kecaman dan celaan terhadap mereka. Pada hari itu sekutu-sekutu mereka tidak dapat menyelamatkan mereka daripada penderitaan azab yang dialami. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dikatakan (kepada mereka), ‘Serulah oleh kamu sekutu-sekutu kamu,’ lalu mereka menyerunya, maka sekutu-sekutu itu tidak memperkenankan (seruan) mereka……….’”
Al-Qasas 28:64
Ibnu ‘Abbas ra dan Qatadah dan beberapa ulama lain mengatakan maksud ayat, “Dan Kami adakan untuk mereka tempat kebinasaan (neraka),” ialah tempat kehancuran, iaitu tiada jalan bagi orang-orang musyrik untuk menyelamatkan diri. Mereka juga tidak dapat meminta pertolongan kepada ilah-ilah yang mereka sembah sebagaimana anggapan mereka ketika di dunia dahulu.
Allah Ta’ala juga menjelaskan bahawa mereka dan ilah-ilah mereka akan dipisahkan di akhirat sehingga mereka tidak mampu lagi bertemu antara satu sama lain. Abdullah bin ‘Amr ra menyatakan kalimah بَيْنَهُم dalam ayat ini jika dikembalikan kepada orang-orang mukmin dan orang-orang kafir, ia bermaksud bahawa Allah Swt memisahkan orang-orang yang mendapat petunjuk dengan orang-orang yang sesat sebagaimana firman-firman-Nya dalam ayat daripada Surah Ar-Rum 30:14 dan 43, Yasin 36:59 dan Yunus 10:28-30.
Ayat 53
وَرَءَا ٱلْمُجْرِمُونَ ٱلنَّارَ فَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُم مُّوَاقِعُوهَا وَلَمْ يَجِدُوا۟ عَنْهَا مَصْرِفًا
Dan orang-orang yang berdosa melihat neraka, maka mereka meyakini bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak menemukan tempat berpaling daripadanya.
Ar-Razi menyatakan maksud ayat ini ialah saat orang-orang musyrik melihat neraka dari tempat yang jauh, mereka terus meyakini bahawa mereka pasti akan masuk ke dalamnya saat itu juga, tanpa ada penangguhan masa. Hal ini kerana dahsyatnya suara gemuruh kerana kemarahan yang mereka dengar dari dalamnya, sebagaimana firman-Nya:
“Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, mereka mendengar kegeramannya dan suara nyalaannya.”
Al-Furqan 25:12
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan mereka tidak menemukan jalan untuk mengelakkan diri daripada neraka itu dan mereka pasti akan masuk dan jatuh ke dalamnya. Wal’iyazubillahi min zalik.