Surah 18: Al-Kahfi (46)

Beribadah kepada Allah Swt Lebih Baik daripada Harta dan Keturunan

Surah 18: Al-Kahfi (46)


Ayat 46

ٱلْمَالُ وَٱلْبَنُونَ زِينَةُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَٱلْبَـٰقِيَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan kebaikan yang kekal adalah lebih baik pahalanya di sisi Rabbmu serta lebih baik untuk dijadikan cita-cita atau harapan.

Allah Swt menyatakan bahawa harta dan anak-anak yang ramai adalah menjadi kebanggaan manusia. Padahal itu adalah sebahagian daripada perhiasan dunia dan bukanlah perhiasan yang kekal abadi kerana ia bersifat sementara dan pasti akan habis dan musnah dalam waktu yang singkat. Firman-Nya:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu, wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).”

Ali ‘Imran 3:14

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa menghadapkan diri kepada-Nya dan menghabiskan waktu untuk beribadah kepada-Nya adalah lebih baik daripada menyibukkan diri dan lalai dengan harta kekayaan dan anak-anak.

Ada beberapa pentafsiran tentang kalimah, ٱلْبَٰقِيَٰتُ ٱلصَّلِحَٰتُ iaitu amalan-amalan kebaikan yang kekal:

▪️   Ibnu ‘Abbas ra, Sa’id bin Jubair dan beberapa orang ulama Salaf mengatakan maksudnya ialah solat lima waktu.

▪️  ‘Atha’ bin Abi Rabah dan Sa’id bin Jubair, daripada Ibnu ‘Abbas ra, mengatakan maksudnya adalah kalimah Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah, Allahu akbar. (“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, Tidak ada Ilah yang berhak diibadahi kecuali Allah, Allah Maha Besar.”)

▪️   Amirul Mukminin ‘Uthman bin ‘Affan mengatakan maksudnya, ialah “La ilaha illallah, Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar dan La haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azim.”

(Riwayat Imam Ahmad)

▪️   Imam Ahmad meriwayatkan daripada bekas hamba sahaya Rasulullah saw bahawa baginda bersabda:

“Alangkah dahsyatnya, alangkah dahsyatnya lima perkara ini, betapa beratnya lima hal ini, dalam timbangan amal iaitu, La Ilaha illallah, Allahu Akbar, Subhanallah, Alhamdulillah, dan anak soleh yang dimatikan lalu orang tuanya bersabar sambil mengharapkan pahalanya.” Rasulullah saw bersabda lagi,

“Alangkah dahsyatnya, alangkah dahsyatnya lima perkara ini. Sesiapa yang menemui Allah dalam keadaan yakin terhadap lima perkara ini, maka dia masuk syurga iaitu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, syurga dan neraka, kebangkitan setelah kematian, dan kepada perhitungan amal (hisab).”

▪️  Ali bin Abi Talhah pula meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan, “Ia adalah zikir kepada Allah berupa ucapan La Ilaha illallah, Allahu Akbar, Subhanallah, Alhamdulillah, Tabarakallah, La haula wa la quwwata illa billah dan Astaghfirullah. Selain itu selawat kepada Rasulullah saw, puasa, solat, haji, sedekah, memerdekakan hamba, jihad, menghubung silaturrahim, dan semua amal perbuatan baik itu adalah amalan kebajikan yang akan mengekalkan pelakunya di syurga.”