Surah 18: Al-Kahfi (32 – 44)

Kisah Pemilik Dua Kebun yang Sombong

Surah 18: Al-Kahfi (32 – 44)


Ayat 32

وَٱضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَيْنِ جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنَـٰبٍ وَحَفَفْنَـٰهُمَا بِنَخْلٍ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا

Dan berikanlah kepada mereka sebuah perumpamaan dua orang lelaki, Kami jadikan bagi seorang di antara kedua-duanya (yang kafir) dua buah kebun anggur dan kami kelilingi kedua-dua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antara kedua-dua kebun itu Kami buatkan ladang.

Sebelum ini Allah Ta’ala telah menyatakan bahawa orang-orang musyrik dan golongan seperti mereka sangat angkuh dan berbangga-bangga dengan harta kekayaan mereka. Mereka tidak sudi untuk duduk bersama-sama orang-orang Islam yang lemah dan miskin. 

Lalu dalam ayat ini, Allah Ta’ala memberikan perumpamaan kepada mereka dengan dua orang lelaki yang salah seorangnya diberikan-Nya dua buah kebun anggur yang dikelilingi pohon kurma dan ditengahnya terdapat ladang. 

Ayat 33

كِلْتَا ٱلْجَنَّتَيْنِ ءَاتَتْ أُكُلَهَا وَلَمْ تَظْلِم مِّنْهُ شَيْـًٔا ۚ وَفَجَّرْنَا خِلَـٰلَهُمَا نَهَرًا

Kedua-dua kebun itu menghasilkan buahnya, dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikit pun, dan Kami alirkan sungai di celah-celah kedua-dua kebun itu.

Kedua-dua kebun itu dipenuhi dengan tanam-tanaman yang menghasilkan buah-buahan yang sangat banyak dan menyenangkan serta sangat berkualiti dan terdapat pula sungai-sungai yang mengalir di sana sini. 

Ayat 34

وَكَانَ لَهُۥ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَـٰحِبِهِۦ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَنَا۠ أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

Dan dia mempunyai kekayaan besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika dia bercakap-cakap dengannya, “Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat.”

Pemilik dua kebun ini juga memiliki kekayaan yang lain. Lalu dengan angkuh dia berkata kepada kawannya yang beriman ketika bercakap-cakap dengannya untuk mempengaruhinya bahawa hartanya lebih banyak dan kedudukannya lebih mulia. Begitu juga kerabatnya dan pengikutnya lebih ramai daripada yang dimiliki oleh kawannya yang beriman itu. 

Ayat 35

وَدَخَلَ جَنَّتَهُۥ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِۦ قَالَ مَآ أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَـٰذِهِۦٓ أَبَدًا

Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri, dia berkata, “Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya.

Ayat 36

وَمَآ أَظُنُّ ٱلسَّاعَةَ قَآئِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُّ إِلَىٰ رَبِّى لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنقَلَبًا

Dan aku kira Hari Kiamat itu tidak akan datang, dan sekiranya aku dikembalikan kepada Rabbku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu.”

Allah Ta’ala menyatakan bahawa lelaki kafir yang mempunyai dua kebun itu, dengan semua yang dia miliki menyebabkan dia semakin lupa diri dan menyangka bahawa kekayaannya itu akan kekal dan tidak akan musnah sama sekali. Ini kerana pendeknya akal dan lemahnya keyakinannya kepada Allah Swt. 

Kemudian lelaki itu memasuki kebun-kebunnya dengan penuh rasa bangga terhadap hartanya namun bersikap zalim terhadap dirinya sendiri kerana kufur terhadap Allah Ta’ala. Dia melampaui batas dan sombong serta mengingkari Hari Kiamat saat dia memperlihatkan buah-buahan dan sungai-sungai di kebun-kebunnya kepada kawannya yang mukmin itu. 

Lelaki itu juga yakin sekiranya benar akan ada tempat kembalinya kepada Allah Ta’ala, nescaya dia akan memperoleh bahagian kekayaan dan tempat di sisi Rabbnya yang lebih baik daripada kebun itu. Dia juga beranggapan seandainya bukan kerana kemuliaannya di sisi Allah Swt, nescaya dia tidak diberikan semua kekayaan itu. Pernyataan seperti ini terdapat dalam firman-firman-Nya yang lain: 

“……………dan sekiranya aku dikembalikan kepada Rabbku, maka sesungguhnya aku akan memperoleh kebaikan di sisi-Nya……….” 

Fussilat 41:50 

“Maka apakah kamu telah melihat orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami dan dia mengatakan, ‘Pasti aku akan diberi harta dan anak.’” 

Maryam 19:77 

Ayat 37

قَالَ لَهُۥ صَاحِبُهُۥ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَكَفَرْتَ بِٱلَّذِى خَلَقَكَ مِن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّىٰكَ رَجُلًا

Kawannya (yang mukmin) berkata kepadanya sambil bercakap-cakap dengannya, “Apakah kamu kafir kepada (Rabb) yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani, lalu Dia menjadikanmu seorang lelaki yang sempurna?

Lelaki mukmin itu pun mencela lelaki kafir tersebut dan menasihatinya agar menyedari asal usul kejadian dirinya. Bagaimana dia boleh kufur kepada Rabbnya yang memulai penciptaan manusia daripada tanah iaitu Nabi Adam as, lalu Dia ciptakan keturunannya daripada setitis air mani yang hina. 

Sesungguhnya setiap orang pasti menyedari bahawa wujudnya makhluk bukan dengan sendirinya, dan juga bukan disebabkan oleh makhluk yang lain, tetapi adalah dengan sebab dicipta oleh Allah Swt. Oleh itu, Dia-lah Ilah yang berhak diibadahi, tiada Ilah selain Dia, Pencipta segala sesuatu. 

Ayat 38

لَّـٰكِنَّا۠ هُوَ ٱللَّهُ رَبِّى وَلَآ أُشْرِكُ بِرَبِّىٓ أَحَدًا

“Tetapi aku (percaya bahawa), ‘Dia-lah Allah, Rabbku, dan aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Rabbku.

Kemudian lelaki beriman itu mengatakan bahawa dia meyakini keesaan dan ketuhanan Allah Swt serta dia mengakui bahawa hanya Allah-lah satu-satunya Ilah, yang tiada sekutu bagi-Nya. 

Ayat 39

وَلَوْلَآ إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ إِن تَرَنِ أَنَا۠ أَقَلَّ مِنكَ مَالًا وَوَلَدًا

Dan mengapa kamu tidak mengucapkan waktu kamu memasuki kebunmu, ‘Ma sya Allah, la quwwata illa billah’ (Sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu.

Kemudian lelaki beriman itu mengingatkan lelaki kafir tentang kewajipan beriman kepada Allah Ta’ala dengan memuji-Nya atas segala nikmat-Nya yang telah diberikan kepadanya atas harta yang melimpah serta anak-anak yang Dia anugerahkan kepadanya dan tidak diberikan kepada orang lain. 

Seterusnya lelaki beriman itu mempersoalkan mengapa lelaki yang mempunyai dua kebun itu tidak mengucapkan مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ yang bermaksud sesungguhnya atas kehendak Allah semua ini terjadi, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Pemilik kebun itu sepatutnya mengucapkannya sebagai tanda dia memuji dan mengagumi anugerah Allah Swt kepadanya berupa kebun-kebun, harta kekayaan lain dan anak-anak. 

Oleh itu sebahagian ulama salaf berkata, sesiapa yang berasa senang dan kagum dengan keadaannya, harta kekayaan atau anak keturunannya, hendaklah dia mengucapkan, مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ sebagai perlaksanaan daripada ayat ini. 

Daripada Abu Musa Al-Asy‘ari, Rasulullah saw pernah bersabda kepadanya: 

“Mahukah kamu aku tunjukkan salah satu daripada beberapa perbendaharaan syurga?

Iaitu kalimah, لا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ اِلا بِا للهِ (tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan pertolongan Allah).” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ayat 40

فَعَسَىٰ رَبِّىٓ أَن يُؤْتِيَنِ خَيْرًا مِّن جَنَّتِكَ وَيُرْسِلَ عَلَيْهَا حُسْبَانًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فَتُصْبِحَ صَعِيدًا زَلَقًا

Maka mudah-mudahan Rabbku, akan memberi kepadaku (kebun) yang lebih baik daripada kebunmu (ini), dan mudah-mudahan Dia mengirimkan petir dari langit (yang menghancurkan) kebunmu, sehingga (kebun itu) menjadi tanah yang licin.

Ayat 41

أَوْ يُصْبِحَ مَآؤُهَا غَوْرًا فَلَن تَسْتَطِيعَ لَهُۥ طَلَبًا

Atau airnya menjadi surut ke dalam tanah, maka sekali-kali kamu tidak dapat menemukannya lagi.’”

Kemudian lelaki beriman itu berkata mudah-mudahan Allah Swt memberikannya kebun yang lebih baik daripada kebun yang dimiliki oleh lelaki kafir itu. Oleh itu, janganlah lelaki kafir itu membanggakan kekayaannya dan kesombongannya terhadap harta dan anak-anaknya. 

Seterusnya lelaki beriman itu berkata sesungguhnya Allah Ta’ala berkuasa melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Boleh jadi suatu waktu nanti Dia akan mengirimkan petir dari langit dan menghancurkan kebun lelaki kafir itu sehingga kebun itu menjadi tanah yang licin dan hilang kesuburan tanahnya. Boleh jadi juga Dia akan menjadikan airnya surut meresap ke dalam tanah. Ketika itu, lelaki kafir itu tidak akan dapat menemukan lagi sumber air yang dapat mengairi kebunnya. 

Ayat 42

وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِۦ فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ عَلَىٰ مَآ أَنفَقَ فِيهَا وَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَيَقُولُ يَـٰلَيْتَنِى لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّىٓ أَحَدًا

Dan harta kekayaannya dibinasakan, lalu dia membolak-balikkan kedua-dua tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang dia telah belanjakan untuk itu, sedang pohon anggur itu roboh bersama para-paranya dan dia berkata, “Aduhai kiranya dulu aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Rabbku.”

Allah Ta’ala menyatakan bahawa apa yang dikatakan oleh lelaki mukmin itu akhirnya benar-benar terjadi. Maka hancur dan binasalah harta dan buah-buahan yang dibanggakannya serta membuatnya lalai terhadap-Nya kerana kebunnya disambar petir. 

Akhirnya, lelaki kafir itu sungguh menyesal dan meratapi kehilangan apa yang dia bangga dan usahakan selama ini. Penyesalan itu diperlihatkannya dengan membolak balikkan kedua-dua tapak tangannya sebagai tanda penyesalan yang amat sangat. 

Ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa Allah Ta’ala mengirimkan api yang membakar semua kebunnya sehingga tiang-tiang penyangga pokok-pokoknya saling berjatuhan. 

Lelaki yang mempunyai kebun itu juga menyesal kerana dahulunya dia tidak mendengar nasihat sahabatnya itu untuk tidak menyekutukan Allah Ta’ala dengan sesuatu pun. 

Ayat 43

وَلَمْ تَكُن لَّهُۥ فِئَةٌ يَنصُرُونَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَمَا كَانَ مُنتَصِرًا

Dan tidak ada (lagi) baginya segolongan pun yang akan menolongnya selain Allah, dan sekali-kali dia tidak dapat membela dirinya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa keluarga dan anak-anak lelaki kafir itu tidak dapat sedikit pun menolongnya dan tidak berguna sama sekali baginya, tidak seperti yang dia bangga-banggakan dan sombongkan selama ini. Bahkan dirinya sendiri tidak dapat menggunakan kekuatannya untuk menghalangi hukuman Allah Ta’ala. 

Ayat 44

هُنَالِكَ ٱلْوَلَـٰيَةُ لِلَّهِ ٱلْحَقِّ ۚ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا

Di sana (akhirat) kepatuhan itu hanya bagi Allah Yang Hak (Maha Benar). Dia adalah sebaik-baik Pemberi pahala dan sebaik-baik Pemberi balasan.

Sesungguhnya pada keadaan yang penuh dengan ujian dan bencana tersebut, hanya pertolongan Allah Ta’ala sahaja yang ada. Setiap orang sama ada mukmin atau kafir semuanya akan kembali kepada-Nya dan mengharapkan pertolongan-Nya. Ketika itu orang-orang kafir akan tunduk kepada-Nya saat azab menimpa mereka. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik pemberi balasan. Firman-firman-Nya: 

“Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata, ‘Kami beriman hanya kepada Allah sahaja dan kami kafir kepada sembahan-sembahan yang telah kami persekutukan dengan Allah.’” 

Al-Mu’min 40:84 

“Kerajaan yang hak pada hari itu adalah kepunyaan Rabb yang Maha Pemurah. Dan adalah hari itu, satu hari yang penuh kesulitan bagi orang-orang kafir.” 

Al-Furqan 25:26