Surah 18: Al-Kahfi (27 – 28)

Perintah Membaca Al-Quran dan Bersabar bersama Orang yang Beriman

Surah 18: Al-Kahfi (27 – 28)


Ayat 27

وَٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِن كِتَابِ رَبِّكَ ۖ لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِهِۦ وَلَن تَجِدَ مِن دُونِهِۦ مُلْتَحَدًا

Dan bacakanlah apa yang diwahyukan kepadamu, iaitu kitab Rabbmu (Al-Quran). Tidak ada (seorangpun) yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya. Dan kamu tidak akan menemukan tempat berlindung selain kepada-Nya.

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw membaca Kitab-Nya yang mulia serta menyampaikan kepada umat manusia. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengubah, menyelewengkan atau mengalihkan maknanya.

Ibnu Jarir ra mentafsirkan bahagian akhir ayat ini sebagai satu amaran iaitu, Allah berfirman, Tidak ada (seorangpun) yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya. Dan kamu tidak akan menemukan tempat berlindung selain kepada-Nya.

Ayat 28

وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًا

Dan bersabarlah kamu bersama-sama orang-orang yang menyeru Rabbnya pada waktu pagi dan petang dengan mengharapkan keredhaan-Nya dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.

Ada pendapat mengatakan ayat ini turun berkaitan dengan para pembesar Quraisy meminta Rasulullah saw duduk bersama dengan mereka dalam majlis khas tanpa disertai para sahabatnya yang lemah, seperti Bilal, ‘Ammar, Shuhaib, Khabbab dan Ibnu Mas’ud ram. Allah Swt melarang baginda memenuhi permintaan tersebut dan memerintahkan baginda untuk bersabar dan meneguhkan hati agar tetap duduk bersama para sahabat yang sentiasa mengingati-Nya bagi mendapatkan keredhaan-Nya, sebagaimana firman-Nya dalam surah yang lain:

“Dan janganlah kamu mengusir orang-orang yang menyeru Rabbnya pada pagi hari dan pada petang hari………………”

Al-An’am 6:52

Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas, dia mengatakan, “Kami enam orang pernah bersama dengan Nabi saw. Lalu kaum musyrik berkata kepada baginda, ‘Usirlah mereka. Mereka tidak akan berani melawan kami.’” Kemudian Sa’ad berkata, “Ketika itu aku bersama Ibnu Mas’ud ra serta seseorang dari Hudzail, Bilal dan dua orang lelaki lagi yang aku lupa namanya. Maka timbullah dalam diri Rasulullah saw apa yang telah menjadi kehendak Allah, lalu baginda pun termenung sejenak. Lalu akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya iaitu Surah Al-An’am 6: 52 yang disebutkan di atas.”

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud ayat, “Dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia,” ialah Rasulullah saw diingatkan agar tidak meninggalkan para sahabat dan beralih kepada mencari pengganti mereka daripada kalangan orang-orang yang memiliki kemuliaan dan kekayaan.

Manakala maksud, “Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami serta menuruti hawa nafsunya,” bermaksud baginda diingatkan agar tidak mengikuti orang yang menyibukkan diri dengan dunia dan meninggalkan urusan agama dan ibadah kepada Rabbnya iaitu melupakan akhirat.

“Dan adalah keadaannya itu melampaui batas,” pula bermaksud keadaan orang yang melupakan akhirat, amal mereka berupa kebodohan, melampaui batas dan sia-sia. Baginda diingatkan agar tidak mengikuti dan mencintai perbuatan mereka dan tidak berasa iri hati terhadap mereka. Firman-Nya:

“Dan janganlah kamu tujukan kedua-dua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan daripada mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami uji mereka dengannya. Dan kurniaan Rabb kamu adalah lebih baik dan lebih kekal.”

Taha 20:131