Surah 18: Al-Kahfi (110)

Perintah agar Mentauhidkan Allah Swt

Surah 18: Al-Kahfi (110)


Ayat 110

قُلْ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَـٰلِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدًا

Katakanlah, “Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku, ‘Bahawa sesungguhnya Ilah kamu itu adalah Ilah Yang Esa.’ Sesiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Rabbnya, maka hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia menyekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rabbnya.”

Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw mengatakan kepada orang-orang musyrik yang mendustakan kerasulannya bahawa baginda hanyalah seorang manusia seperti mereka. Sesiapa yang menganggap baginda seorang pendusta, hendaklah dia mendatangkan seperti apa yang telah baginda bawa.

Sesungguhnya Rasulullah saw tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib terdahulu yang disampaikan kepada mereka, iaitu tentang Ashabul Kahfi dan Zulkarnain yang mereka tanyakan kepada baginda. Perkara itu adalah kenyataan dan tidak akan diketahui oleh baginda, jika Allah Ta’ala tidak memberitahunya.

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan, sesiapa yang inginkan pahala dan balasan-Nya yang baik hendaklah beribadah semata-mata kepada-Nya dengan mengharapkan keredhaan-Nya dan tidak menyekutukan-Nya.

Dua perkara ini menjadi syarat agar setiap amal diterima oleh Allah Ta’ala ialah:

▪️    Ikhlas dalam beribadah kepada-Nya.

▪️    Mengikuti syariat Rasulullah saw.