Surah 18: Al-Kahfi (103 – 106)

Amalan yang Rugi dan Sia-sia

Surah 18: Al-Kahfi (103 – 106)


Ayat 103

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِٱلْأَخْسَرِينَ أَعْمَـٰلًا

Katakanlah (Muhammad), “Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?”

Ayat 104

ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.

Allah Ta’ala menjelaskan tentang orang-orang yang rugi dan sia-sia dalam beribadah kepada-Nya. Orang-orang yang beribadah kepada-Nya tetapi tidak mengikuti cara yang diredhai-Nya, ibadah mereka adalah sia-sia. Mereka menyangka apa yang mereka lakukan telah menepati syariat-Nya dan akan diterima, padahal sebenarnya amalan mereka tertolak. Firman Allah Swt:

“Dan Kami akan memperlihatkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami akan jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.”

Al-Furqan 25:23

Ayat 105

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِمْ وَلِقَآئِهِۦ فَحَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ وَزْنًا

Mereka itu orang-orang yang kufur terhadap ayat-ayat Rabb mereka dan (tidak percaya) terhadap perjumpaan dengan-Nya. Maka dihapuslah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada Hari Kiamat.

Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang kufur adalah orang-orang yang semasa di dunia dahulu mengingkari ayat-ayat-Nya dan bukti-bukti kebesaran-Nya yang telah disampaikan untuk menunjukkan keesaan-Nya dan kebenaran para Rasul-Nya. Mereka juga tidak beriman kepada Alam Akhirat. Oleh itu, Allah Ta’ala tidak akan memberatkan timbangan mereka kerana dalam timbangan mereka tidak terdapat kebaikan.

Ayat 106

ذَٰلِكَ جَزَآؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا۟ وَٱتَّخَذُوٓا۟ ءَايَـٰتِى وَرُسُلِى هُزُوًا

Demikianlah, balasan mereka itu Neraka Jahannam, kerana kekafiran mereka dan kerana mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan para Rasul-Ku sebagai bahan olok-olok.

Maka Allah Ta’ala memberi balasan Neraka Jahannam kepada mereka disebabkan oleh kekufuran dan tindakan mereka memperolok-olokkan ayat-ayat-Nya dan para Rasul-Nya.