Surah 18: Al-Kahfi (1 – 3)

Al-Quran adalah Petunjuk Jalan yang Lurus

Surah 18: Al-Kahfi (1 – 3)


Ayat 1

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَـٰبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ

Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya kitab (Al-Quran) dan Dia tidak mengadakan kebengkokan di dalamnya.

Allah Swt memulakan surah ini dengan memuji diri-Nya kerana menurunkan Al-Quran yang agung lagi jelas kepada Rasul-Nya yang mulia, Nabi Muhammad saw. Dia menjadikan Al-Quran sebagai kitab suci yang lurus tanpa ada penyimpangan dan penyelewengan di dalamnya.

Ayat 2

قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا

Sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan seksaan yang sangat pedih dari sisi-Nya dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal soleh, bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik.

Ayat 3

مَّـٰكِثِينَ فِيهِ أَبَدًا

Mereka kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.

Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan Al-Quran memberikan hidayah menuju jalan yang benar. Kitab ini merupakan nikmat yang terbesar dianugerahkan kepada Nabi Muhammad saw untuk membimbing manusia keluar daripada kegelapan (kesesatan) kepada cahaya (petunjuk).

Al-Quran juga mengandungi peringatan tentang seksaan yang pedih kepada orang-orang yang ingkar dan menentang, serta berita-berita gembira dengan balasan nikmat syurga yang kekal kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.