Allah Swt Memberi Petunjuk dan Menyesatkan Sesiapa yang Dikehendaki-Nya
Surah 17: Al-Isra’ (96 – 97)
Ayat 96
قُلْ كَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًا بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرًا بَصِيرًا
Katakanlah, “Cukuplah Allah menjadi saksi antara aku dan kamu sekalian. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.”
Ayat ini merupakan bimbingan Allah Ta‘ala kepada Rasulullah saw untuk menggunakan hujjah tentang kebenaran risalah yang Baginda bawa dalam menghadapi kaumnya. Allah Swt menjadi saksi kepada Baginda serta umatnya. Dia Maha Mengetahui apa yang Baginda sampaikan. Sekiranya Baginda berdusta, nescaya akan mendapat seksaan yang sangat pedih. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Seandainya Dia (Muhammad) mengadakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya. Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya.”
Al-Haqqah 69:44-46
Allah Ta’ala Maha Mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang berhak memperoleh kenikmatan dan kebaikan serta hidayah dan siapa pula yang berhak mendapatkan kesengsaraan dan kesesatan.
Ayat 97
وَمَن يَهْدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُمْ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِهِۦ ۖ وَنَحْشُرُهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ عُمْيًا وَبُكْمًا وَصُمًّا ۖ مَّأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ كُلَّمَا خَبَتْ زِدْنَـٰهُمْ سَعِيرًا
Dan sesiapa yang ditunjuki Allah, dialah yang mendapat petunjuk dan sesiapa yang Dia sesatkan, maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penolong-penolong bagi mereka selain-Nya. Dan Kami akan mengumpulkan mereka pada Hari Kiamat (diheret) atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan pekak. Tempat kediaman mereka adalah Neraka Jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalaannya.
Allah Swt memberitahu tentang kekuasaan-Nya yang mutlak terhadap hamba-hamba-Nya dan segala yang berlaku adalah mengikut kehendak-Nya serta tiada siapa pun yang dapat menentang ketetapan-Nya. Sesiapa yang ditunjuki-Nya, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya. Bagitu juga sesiapa yang disesatkan-Nya, maka tidak ada sesiapa pun dapat memberinya petunjuk selain Dia. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“…………………sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk dan sesiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapat seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.”
Al-Kahfi 18:17
Hal ini bukanlah bermaksud bahawa Allah Ta’ala memaksa hamba-hamba-Nya agar semuanya beriman kepada-Nya. Sebaliknya Dia memberikan pilihan kepada masing-masing setelah ditunjukkan kebenaran dan hujjah-hujjah yang jelas lagi benar. Sesiapa yang cenderung kepada kebenaran dan berusaha mencarinya, dia akan dibimbing kepada kebenaran dan mereka pasti akan menjadi orang-orang yang beriman. Sesiapa yang ditetapkan-Nya untuk tersesat, kerana mereka itu adalah orang-orang yang memilih keburukan dan Dia mengetahui bahawa mereka akan bertahan dalam kesesatan mereka, maka mereka tetap dalam kekufuran. Firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur.”
Al-Insan 76:3
Berkaitan dengan ayat, “Dan Kami akan mengumpulkan mereka pada Hari Kiamat (diheret) atas muka mereka,” Anas bin Malik ra, menceritakan bahawa Rasulullah saw pernah ditanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah manusia dikumpulkan dengan diseret atas muka mereka (pada Hari Kiamat nanti)?” Baginda menjawab:
“Zat yang menjadikan mereka dapat berjalan dengan kaki mereka, dapat pula membuat mereka berjalan di atas muka mereka.”
(HR. Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim)
Mereka dikumpulkan berkeadaan tidak dapat melihat, berkata-kata dan mendengar sebagai balasan kepada mereka atas perbuatan mereka ketika di dunia dahulu, iaitu tidak mahu membicarakan, melihat dan mendengar kebenaran. Mereka dimasukkan ke Neraka Jahannam dan diberikan azab yang sangat pedih. Setiap kali nyalaan api padam, akan ditambah lagi nyalaan yang baru agar azab sentiasa dirasakan. Firman Allah Swt:
“Oleh itu rasakanlah. Dan Kami sekali-kali tidak akan menambah kepada kamu selain azab.”
An-Naba’ 78:30