Surah 17: Al-Isra’ (90 – 95)

Permintaan Orang Quraisy agar Rasulullah saw Mengadakan Bukti Kerasulannya

Surah 17: Al-Isra’ (90 – 95)


Ayat 90

وَقَالُوا۟ لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفْجُرَ لَنَا مِنَ ٱلْأَرْضِ يَنۢبُوعًا

Dan mereka berkata, “Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dari bumi untuk kami.

Ayat 91

أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَعِنَبٍۢ فَتُفَجِّرَ ٱلْأَنْهَـٰرَ خِلَـٰلَهَا تَفْجِيرًا

Atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya.

Ayat 92

أَوْ تُسْقِطَ ٱلسَّمَآءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِىَ بِٱللَّهِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ قَبِيلًا

Atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan para malaikat berhadapan muka dengan kami.

Ayat 93

أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِّن زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَىٰ فِى ٱلسَّمَآءِ وَلَن نُّؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَـٰبًا نَّقْرَؤُهُۥ ۗ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّى هَلْ كُنتُ إِلَّا بَشَرًا رَّسُولًا

Atau kamu mempunyai sebuah rumah daripada emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca.” Katakanlah, “Maha Suci Rabbku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?”

Allah Swt menyatakan beberapa permintaan orang-orang kafir Quraisy kepada Rasulullah saw. Permintaan yang mereka kemukakan itu seolah-olah mereka berjanji akan beriman selepas ditunaikan. Antara permintaan mereka ialah:

▪️    Keluarkan mata air yang memancar daripada bumi.

▪️    Alirkan sungai-sungai yang deras airnya dicelah-celah kebun.

▪️    Jatuhkan kepingan-kepingan dari langit ke atas mereka seperti yang dikatakan oleh Baginda bahawa Allah Ta’ala dapat melakukannya.

▪️    Datangkan Allah Ta’ala dan para malaikat di hadapan mereka.

▪️    Adakan (miliki) rumah daripada emas.

▪️    Naik ke langit dan turun dengan membawa sebuah kitab untuk mereka membacanya.

Sesungguhnya semua permintaan mereka itu adalah mudah bagi Allah Ta’ala jika Dia menghendaki, tetapi Dia tidak berbuat demikian kerana Dia mengetahui mereka tetap tidak akan beriman sebagaimana firman-firman-Nya:

“Dan sekali-kali tidak ada yang menghalang Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda kekuasaan Kami melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang terdahulu……….”

Al-Isra’ 17:59

“Sekiranya Kami turunkan malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang telah mati berbicara dengan mereka dan Kami kumpulkan (pula) segala sesuatu ke hadapan mereka, nescaya mereka tidak juga akan beriman.”

Al-An’am 6:111

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menyatakan bahawa Baginda hanyalah seorang utusan Allah Swt kepada kaumnya. Tugasnya hanyalah menyampaikan risalah-Nya dan memberi nasihat kepada mereka.

Ayat 94

وَمَا مَنَعَ ٱلنَّاسَ أَن يُؤْمِنُوٓا۟ إِذْ جَآءَهُمُ ٱلْهُدَىٰٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓا۟ أَبَعَثَ ٱللَّهُ بَشَرًا رَّسُولًا

Dan tidak ada sesuatu yang menghalang manusia untuk beriman tatkala datang petunjuk kepadanya, kecuali perkataan mereka, “Adakah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?”

Ayat 95

قُل لَّوْ كَانَ فِى ٱلْأَرْضِ مَلَـٰٓئِكَةٌ يَمْشُونَ مُطْمَئِنِّينَ لَنَزَّلْنَا عَلَيْهِم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَلَكًا رَّسُولًا

Katakanlah, “Sekiranya ada para malaikat yang berjalan-jalan sebagai penghuni di bumi, nescaya Kami turunkan dari langit kepada mereka seorang malaikat menjadi Rasul.”

Allah Ta’ala mengingatkan kelembutan dan rahmat-Nya terhadap hamba-hamba-Nya. Dia mengutus kepada mereka seorang rasul daripada kalangan mereka sendiri supaya mereka dapat memahami perkara-perkara yang disampaikan dan membolehkan mereka berbicara dengannya. Firman-firman-Nya:

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul daripada kaummu sendiri……….”

At-Taubah 9:128

“Patutkah menjadi kehairanan bagi manusia bahawa Kami mewahyukan kepada seorang lelaki di antara mereka, ‘Berilah peringatan kepada manusia dan gembirakanlah orang-orang beriman bahawa mereka mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Rabb mereka.’ Orang-orang kafir berkata, ‘Sesungguhnya orang ini (Muhammad) benar-benar adalah tukang sihir yang nyata.’”

Yunus 10:2

Jika Allah Ta’ala mengutus malaikat sebagai utusan-Nya kepada manusia, nescaya mereka tidak akan mampu menghadapinya dan tidak akan dapat mengambil pelajaran daripadanya.