Al-Quran akan Lenyap jika Allah Swt Kehendaki
Surah 17: Al-Isra’ (86 – 89)
Ayat 86
وَلَئِن شِئْنَا لَنَذْهَبَنَّ بِٱلَّذِىٓ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِۦ عَلَيْنَا وَكِيلًا
Dan sesungguhnya jika Kami menghendaki, nescaya Kami lenyapkan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, dan dengan pelenyapan itu, kamu tidak akan mendapat seorang pembela pun terhadap Kami.
Dalam ayat sebelum ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia hanya memberi sedikit sahaja ilmu kepada manusia.
Dalam ayat ini pula, Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya Dia berkehendak mengambil ilmu yang sedikit itu, pasti Dia akan melakukannya dengan mengambil Al-Quran yang diwahyukan-Nya kepada Rasul-Nya daripada hafalan dan mushaf-mushaf serta tidak ditinggalkan sedikitpun daripadanya. Ini kerana Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir, Ibnu Mas’ud ra berkata, “Pada akhir zaman nanti akan ada angin merah yang bertiup dari Syria, sehingga saat itu Al-Quran sudah tidak ada lagi yang tersisa, sama ada dalam mushaf atau dalam hati seseorang, walaupun satu ayat. Kemudian Ibnu Mas‘ud ra membaca ayat di atas, ‘Dan sesungguhnya jika Kami menghendaki, nescaya Kami lenyapkan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu.’”
Ayat 87
إِلَّا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّ فَضْلَهُۥ كَانَ عَلَيْكَ كَبِيرًا
Kecuali kerana rahmat daripada Rabbmu. Sesungguhnya kurniaan-Nya atasmu adalah besar.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia merahmati Rasulullah saw sehingga Dia meneguhkan Al-Quran dalam hati Baginda. Sesungguhnya kurniaan-Nya terhadap Baginda sangatlah besar. Dia telah menganugerahkan kepadanya Al-Quran Al-‘Azhim dan makam Mahmudah (kedudukan yang terpuji) serta kurniaan yang lainnya yang tidak diberikan-Nya kepada seorangpun daripada sekalian makhluk-Nya.
Ayat 88
قُل لَّئِنِ ٱجْتَمَعَتِ ٱلْإِنسُ وَٱلْجِنُّ عَلَىٰٓ أَن يَأْتُوا۟ بِمِثْلِ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِۦ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا
Katakanlah, “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.”
Allah Ta’ala menegaskan betapa mulianya Al-Quran yang agung. Sekiranya manusia dan jin secara keseluruhan berkumpul dan sepakat untuk mendatangkan sebuah kitab serupa dengan Al-Quran yang diturunkan kepada Rasul-Nya, nescaya mereka tidak akan mampu melakukannya. Perkara ini tidak mungkin dilakukan oleh makhluk ciptaan-Nya. Ucapan makhluk tidak mungkin sama dengan ucapan Pencipta, yang tiada satu pun dapat menandingi dan menyamai-Nya.
Ayat 89
وَلَقَدْ صَرَّفْنَا لِلنَّاسِ فِى هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ مِن كُلِّ مَثَلٍ فَأَبَىٰٓ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ إِلَّا كُفُورًا
Dan sesungguhnya Kami telah mengulang-ulang kepada manusia di dalam Al-Quran ini dengan pelbagai perumpamaan, tetapi kebanyakan manusia tidak menyukai melainkan mengingkari(nya).
Kemudian Allah Ta’ala menjelaskan isi kandungan Al-Quran kepada manusia secara berulang-ulang dalam pelbagai bentuk dan gaya bahasa yang berbeza, kadang-kadang secara ringkas dan kadang-kadang dengan begitu terperinci. Dia juga menerangkan kepada manusia pelbagai hujjah dan bukti yang nyata dengan sejelas-jelasnya, kadang-kadang menggunakan perumpamaan-perumpamaan, namun kebanyakan manusia menolaknya kerana kufur terhadap kebenaran.