Surah 17: Al-Isra’ (85)

Roh itu adalah Urusan Allah Swt

Surah 17: Al-Isra’ (85)


Ayat 85

وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah, “Roh itu termasuk urusan Rabbku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.”

Ayat ini menerangkan bahawa roh itu adalah urusan Allah Swt. Hanya Dia sahaja yang mengetahuinya. Jika ada seseorang yang diberikan-Nya pengetahuan tentangnya adalah sangat sedikit dan amat terbatas.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan pentafsiran ayat ini daripada ‘Abdullah bin Mas’ud ra, dia bercerita, “Aku pernah berjalan bersama Rasulullah saw dalam sebuah kebun. Sewaktu Baginda sedang bersandar pada sebuah pelepah kurma, tiba-tiba datanglah beberapa orang Yahudi yang berbicara sesama mereka, ‘Tanyakan kepadanya tentang roh.’ Maka Baginda bersabda:

‘Apa perlunya kalian menanyakan hal tersebut.’ Sebahagian mereka berkata, ‘Jangan sampai dia menjawab pertanyaan kalian dengan sesuatu yang kalian tidak akan suka.’ Namun akhirnya mereka berkata, ‘Tanyakanlah (tentang roh) kepadanya.’ Lalu mereka bertanya kepada Baginda tentang roh. Apabila soalan itu dikemukakan kepada Baginda, Baginda hanya berdiam diri, tanpa sedikitpun memberi jawapan. Hal ini membuatku (‘Abdullah bin Mas’ud) berfikir bahawa saat itu Baginda sedang menerima wahyu, maka aku pun berdiri. Beberapa saat kemudian, setelah wahyu diturunkan, Baginda membaca ayat di atas.’”

(HR. Al-Bukhari)