Surah 17: Al-Isra’ (80 – 81)

Allah Swt Memerintahkan Rasulullah saw Berhijrah dan Ancaman bagi Orang Kafir Quraisy

Surah 17: Al-Isra’ (80 – 81)


Ayat 80

وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِى مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِى مُخْرَجَ صِدْقٍ وَٱجْعَل لِّى مِن لَّدُنكَ سُلْطَـٰنًا نَّصِيرًا

Dan katakanlah, “Wahai Rabbku, masukkanlah aku (ke Madinah) dengan benar dan keluarkanlah (pula) aku (dari Mekah) dengan benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.”

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Dahulu Nabi saw tinggal di Mekah, kemudian diperintahkan untuk berhijrah, lalu Allah menurunkan ayat di atas.”

Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa ketika orang-orang kafir Mekah merancang untuk mengusir atau membunuh Rasulullah saw, Allah Swt memerintahkan Baginda berhijrah ke Madinah. Allah Swt menjanjikan kemenangan kepada Baginda menakluki kerajaan Parsi dan Rom.

Ayat 81

وَقُلْ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَزَهَقَ ٱلْبَـٰطِلُ ۚ إِنَّ ٱلْبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Dan katakanlah, “Yang benar itu telah datang dan yang batil telah lenyap.” Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Ayat ini merupakan ancaman kepada orang-orang kafir Quraisy. Allah Ta‘ala memerintahkan Rasulullah saw menyatakan kepada mereka bahawa sesungguhnya telah datang kepada mereka kebenaran daripada-Nya yang tidak diragukan dan tidak ada bandingannya iaitu Al-Quran, iman dan ilmu yang bermanfaat. Kebatilan akan hilang kerana ia tidak akan mampu bertahan melawan kebenaran sebagaimana firman-Nya:

“Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap……………..”

Al-Anbiya’ 21:18

Iman Al-Bukhari meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud ra, dia berkata, “Ketika Nabi saw memasuki kota Mekah, Kaabah dikelilingi oleh 360 berhala. Baginda menghancurkan berhala-berhala itu dengan sebatang ranting sambil mengucapkan, “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. Kebenaran telah datang dan yang batil itu tidak akan memulai dan tidak pula akan mengulangi.”