Perintah Melaksanakan Solat Fardhu pada Waktunya dan Solat Sunat Tahajjud
Surah 17: Al-Isra’ (78 – 79)
Ayat 78
أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمْسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيْلِ وَقُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا
Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sehingga gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).
Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw dan umat Baginda mendirikan solat-solat fardhu yang lima tepat pada waktunya. Antara hadis yang menguatkan pentafsiran ayat di atas ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Jabir bin ‘Abdillah, dia berkata,
“Aku pernah mengundang Rasulullah saw dan beberapa orang sahabat yang Baginda pilih. Setelah makan di rumahku, mereka pulang ketika matahari telah tergelincir. Maka Rasulullah saw keluar seraya bersabda:
‘Keluarlah wahai Abu Bakar, inilah saat matahari ‘duluuk’ (tergelincir).’”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Solat Subuh disaksikan oleh malaikat. Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Keutamaan solat berjemaah terhadap solat bersendirian adalah dua puluh tujuh darjat. Dan bertemu malaikat malam dengan malaikat siang pada saat solat Fajar.” Abu Hurairah ra berkata, “Jika kamu mahu, bacalah firman Allah yang berbunyi, ‘Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).’”
(HR. Al-Bukhari)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Para malaikat malam dan malaikat siang datang kepada kalian silih berganti, dan mereka bertemu pada solat Subuh dan solat Asar. Maka naiklah para malaikat yang berada semalaman bertugas pada kalian. Lalu mereka ditanya oleh Rabb mereka, yang Dia lebih mengetahui tentang kalian, ‘Bagaimana kalian meninggalkan hamba-hamba-Ku?’ Para malaikat itu menjawab, ‘Kami datang kepada mereka ketika mereka sedang mengerjakan solat dan kami tinggalkan mereka juga ketika mereka sedang mengerjakan solat.’”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 79
وَمِنَ ٱلَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِۦ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Dan pada sebahagian malam hari, solat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Rabbmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.
Ayat ini merupakan perintah Allah Ta’ala kepada Rasulullah saw agar Baginda mengerjakan solat Tahajjud setelah solat fardhu. Solat Tahajjud ini dijadikan secara khusus ibadah tambahan kepada Baginda kerana sesungguhnya dosa-dosa Baginda yang lalu dan akan datang telah diampunkan oleh Allah Swt.
Solat-solat sunat merupakan penghapus dosa bagi umat Rasulullah saw dan solat yang terbaik selepas solat lima waktu ialah solat Tahajjud. Abu Hurairah ra daripada Rasulullah saw menceritakan bahawa Baginda pernah ditanya tentang solat yang paling afdhal (baik) setelah solat fardhu lima waktu. Baginda menjawab:
“Solat malam (Tahajjud).”
(HR. Muslim)
Solat Tahajjud dikenali sebagai solat malam kerana dilakukan selepas bangun daripada tidur pada waktu malam.
Pada Hari Kiamat nanti, Allah Swt akan mengangkat kedudukan Rasulullah saw ke tempat yang terpuji (مَقَامًا مَّحْمُودًا ). Jumhur ulama tafsir bersepakat mengatakan bahawa tempat yang diduduki oleh Baginda pada Hari Kiamat nanti ialah tempat untuk Baginda memberi syafaat kepada manusia supaya Allah Swt meringankan kesulitan mereka pada hari tersebut.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar ra, dia berkata, “Pada Hari Kiamat nanti, semua manusia akan berlutut, setiap umat mengikuti Nabi mereka. Mereka berkata, ‘Wahai fulan, bagilah kami syafaat, wahai fulan, bagilah kami syafaat,’ sehingga permohonan itu sampai kepada Nabi Muhammad saw. Pada hari itulah Allah memberikan tempat yang terpuji kepada Baginda.’”