Pertolongan Allah Swt terhadap Rasul-Nya Menghadapi Kaum Kafir Quraisy
Surah 17: Al-Isra’ (73 – 77)
Ayat 73
وَإِن كَادُوا۟ لَيَفْتِنُونَكَ عَنِ ٱلَّذِىٓ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ لِتَفْتَرِىَ عَلَيْنَا غَيْرَهُۥ ۖ وَإِذًا لَّٱتَّخَذُوكَ خَلِيلًا
Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu daripada apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambilmu jadi sahabat yang setia.
Ayat 74
وَلَوْلَآ أَن ثَبَّتْنَـٰكَ لَقَدْ كِدتَّ تَرْكَنُ إِلَيْهِمْ شَيْـًٔا قَلِيلًا
Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu, nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka.
Allah Ta’ala memberitahu tentang sokongan-Nya kepada Rasulullah saw. Dia meneguhkan pendirian Baginda, memelihara dan menyelamatkannya daripada kejahatan orang-orang yang berniat jahat dan tipu muslihat orang-orang yang derhaka.
Allah Ta’ala jugalah yang mengatur dan menolong Baginda saw dalam segala urusan serta tidak akan menyerahkannya kepada seseorang pun daripada kalangan makhluk-Nya. Dia-lah Penolong, Pelindung, Pemelihara dan Pendukung serta memenangkan agamanya terhadap orang-orang yang memusuhi dan menentangnya. Semoga selawat dan salam selalu tercurah kepada Baginda saw hingga tiba Hari Kiamat.
Ayat 75
إِذًا لَّأَذَقْنَـٰكَ ضِعْفَ ٱلْحَيَوٰةِ وَضِعْفَ ٱلْمَمَاتِ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ عَلَيْنَا نَصِيرًا
Kalau terjadi demikian, benar-benarlah, Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan sekiranya Nabi Muhammad saw mengikuti keinginan orang-orang musyrik dan melakukan apa yang mereka minta, nescaya mereka akan menjadikan Baginda teman karib mereka.
Jika hal ini berlaku, Baginda telah menjadi pembela mereka dan Baginda terkeluar daripada pembelaan Allah Ta’ala. Dia akan melipatgandakan azab kepada Baginda di dunia dan juga di akhirat. Sesungguhnya tiada sesiapa pun yang dapat menolong sekiranya Dia telah mendatangkan azab-Nya.
Ayat 76
وَإِن كَادُوا۟ لَيَسْتَفِزُّونَكَ مِنَ ٱلْأَرْضِ لِيُخْرِجُوكَ مِنْهَا ۖ وَإِذًا لَّا يَلْبَثُونَ خِلَـٰفَكَ إِلَّا قَلِيلًا
Dan sesungguhnya benar-benar mereka hampir membuatmu gelisah di negeri (Mekah) untuk mengusirmu darinya. Dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalanmu mereka tidak tinggal, melainkan sebentar sahaja.
Ayat di atas diturunkan berkaitan dengan kaum kafir Quraisy yang merancang untuk mengusir Rasulullah saw dari Mekah. Inilah salah satu bentuk kejahatan mereka setelah memusuhi dan mengganggu Baginda.
Allah Ta’ala memberi amaran kepada kaum kafir Quraisy iaitu sekiranya mereka dapat mengusir Baginda, nescaya dalam masa yang terdekat mereka akan mendapat hukuman kerana Dia pasti akan segera membinasakan mereka.
Sesungguhnya perkara ini betul-betul terjadi kerana tidak beberapa lama setelah Rasulullah saw berhijrah ke Madinah iaitu setelah pelbagai gangguan dilakukan terhadap Baginda, Allah Swt mempertemukan mereka dengan Baginda dalam peperangan Badar.
Allah Ta’ala telah memenangkan Baginda dalam peperangan tersebut sehingga ada di kalangan para pembesar Quraisy terbunuh dan anak keturunan mereka menjadi tawanan. Dalam Tafsir Ibnu Kathir mengatakan hal ini berlaku lebih kurang satu setengah tahun setelah Baginda berhijrah atau diusir dari Mekah.
Ayat 77
سُنَّةَ مَن قَدْ أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِن رُّسُلِنَا ۖ وَلَا تَجِدُ لِسُنَّتِنَا تَحْوِيلًا
(Kami menetapkan yang demikian) sebagai suatu ketetapan terhadap para Rasul Kami yang Kami utus sebelum kamu. Dan engkau tidak akan mendapati perubahan dalam ketetapan Kami itu.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa demikianlah sunnatullah (ketetapan-Nya) terhadap orang-orang kafir yang menyakiti Rasulullah saw. Seandainya bukan kerana Baginda merupakan seorang Rasul yang membawa rahmat, nescaya mereka akan ditimpa pelbagai seksaan di dunia yang lebih dahsyat daripada itu. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu (Muhammad) berada di tengah-tengah mereka…….”
Al-Anfal 8:33