Setiap Manusia akan Diberikan Kitab Amalannya ketika Hari Kiamat
Surah 17: Al-Isra’ (71 – 72)
Ayat 71
يَوْمَ نَدْعُوا۟ كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَـٰمِهِمْ ۖ فَمَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَـٰبَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا
(Ingatlah) suatu hari (pada hari itu) Kami panggil tiap-tiap manusia dengan pemimpin mereka dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya maka mereka akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.
Allah Swt yang Maha Suci lagi Maha Tinggi menyatakan bahawa Dia akan menghisab setiap umat melalui pemimpin mereka. Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan beberapa pendapat yang merujuk kepada maksud “pemimpin”, tetapi pendapat yang paling kuat ialah kitab catatan amal masing-masing. Ini berpandukan firman-firman-Nya:
“………..Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam kitab induk yang nyata (Lauh Mahfuzh).”
Yasin 36:12
“Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya…….”
Al-Kahfi 18:49
Orang-orang yang menerima kitab amalan dari sebelah kanan, akan bergembira kerana banyak amalan mereka tercatat di dalamnya. Mereka sedikit pun tidak dizalimi dan merekalah orang-orang yang mendapat kemuliaan di sisi Allah Swt. Firman-Nya:
“Adapun orang-orang yang kitabnya diberikan di tangan kanannya, maka dia berkata, ‘Ambillah, bacalah kitabku (ini).’”
Al-Haqqah 69:19
Ayat 72
وَمَن كَانَ فِى هَـٰذِهِۦٓ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلًا
Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).
Sesiapa semasa di dunia dahulu buta terhadap kebenaran dan kekuasaan Allah Swt kerana tidak dapat melihat tanda-tanda, bukti-bukti serta keterangan-keterangan tentang kekuasaan-Nya, maka di akhirat nanti dia juga akan tetap menjadi buta bahkan lebih buta daripada keadaannya di dunia dahulu. Maksud buta dalam ayat ini ialah buta mata hati. Semoga Allah Swt melindungi kita daripada keadaan ini. Allahumma aamiin!