Surah 17: Al-Isra’ (70)

Allah Swt Memuliakan dan Melebihkan Manusia Mengatasi Semua Makhluk

Surah 17: Al-Isra’ (70)


Ayat 70

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلْنَـٰهُمْ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ وَرَزَقْنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَفَضَّلْنَـٰهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.

Allah Ta’ala menyatakan antara kesempurnaan nikmat, anugerah dan rahmat-Nya ialah Dia memuliakan anak cucu Nabi Adam as dengan menciptakan mereka dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan paling sempurna, sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

At-Tin 95:4

Selain itu, Allah Ta’ala juga memberikan manusia pendengaran, penglihatan dan hati sehingga mereka dapat memahami dan mendapat manfaat serta dapat membezakan perkara-perkara yang baik dan buruk dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama mahupun hal-hal dunia.

Maksud ayat, “Kami angkut mereka di daratan dan di lautan,” ialah Allah Ta’ala mengurniakan kepada manusia kenderaan di daratan berupa haiwan tunggangan seperti kuda dan keldai, manakala di lautan mereka dikurniakan kapal-kapal yang besar dan kecil.

Allah Swt juga mengurniakan pelbagai rezeki yang baik-baik berupa tanam-tanaman, buah-buahan, daging, susu dan beraneka jenis makanan pilihan kepada manusia.

Ayat di atas juga merupakan dalil yang menunjukkan keutamaan manusia mengatasi malaikat.