Allah Ta‘ala Mempunyai Nama-nama yang Baik (Al-Asma’ Al-Husna)
Surah 17: Al-Isra’ (110)
Ayat 110
قُلِ ٱدْعُوا۟ ٱللَّهَ أَوِ ٱدْعُوا۟ ٱلرَّحْمَـٰنَ ۖ أَيًّا مَّا تَدْعُوا۟ فَلَهُ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَٱبْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا
Katakanlah, “Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana sahaja kamu seru, Dia mempunyai Al-Asma’ Al-Husna (nama-nama yang baik) dan jangan kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua-duanya itu.”
Allah Ta‘ala memerintahkan Nabi Muhammad saw memberitahu orang-orang musyrik yang mengingkari sifat rahmat-Nya dan menolak untuk menyebut-Nya dengan Ar-Rahman, bahawa tidak ada perbezaan antara kedua-dua seruan tersebut iaitu sama ada dengan menyebut Allah atau Ar-Rahman. Ini kerana nama-nama itu adalah termasuk dalam Al-Asma’ Al-Husna-Nya.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir, Mak-hul meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan, “Ada seorang musyrik yang mendengar Rasulullah saw sedang membaca dalam sujudnya, ‘Wahai yang Maha Pengasih, wahai Maha Penyayang.’ Orang musyrik itu berkata, ‘Sesungguhnya dia mengaku bahawa hanya berdoa kepada Rabb yang esa, ternyata dia berseru kepada dua Rabb.’ Lalu Allah Ta‘ala menurunkan ayat di atas.”
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa ayat, “Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu,” diturunkan ketika Rasulullah saw bersembunyi di Mekah. Dia menceritakan:
“Apabila Rasulullah saw solat bersama-sama para sahabat, Baginda membaca Al-Quran dengan suara yang kuat. Bacaan itu didengar oleh orang-orang musyrik, lalu mereka mencaci Al-Quran dan Allah yang telah menurunkannya serta Baginda yang menerimanya. Oleh itu, Allah Ta‘ala berfirman kepada Baginda, ‘Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu,’ iaitu dalam bacaanmu (menguatkan bacaan Al-Quran) kerana apabila bacaan itu didengar oleh orang-orang musyrik, mereka akan mencacinya. ‘Dan janganlah pula merendahkannya,’ iaitu (memperlahankan bacaan) daripada para sahabat kerana sekiranya mereka tidak dapat mendengarnya (bacaan tersebut), tentunya mereka tidak dapat mengambilnya daripadamu. ‘Dan carilah jalan tengah di antara keduanya.’”
(Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)