Al-Quran Merupakan Kebenaran yang Diturunkan secara Beransur-ansur
Surah 17: Al-Isra’ (105 – 109)
Ayat 105
وَبِٱلْحَقِّ أَنزَلْنَـٰهُ وَبِٱلْحَقِّ نَزَلَ ۗ وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا
Dan Kami turunkan (Al-Quran itu) dengan sebenar-benarnya dan Al-Quran telah turun dengan (membawa) kebenaran. Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.
Allah Swt memberitahu bahawa Al-Quran diturunkan dengan sebenar-benarnya, sebagaimana firman-Nya:
“(Mereka tidak mengakui yang diturunkan kepadamu itu), tetapi Allah menjadi saksi atas Al-Quran diturunkan-Nya kepadamu (Muhammad). Dia menurunkannya dengan ilmu-Nya dan para malaikat juga menyaksikannya. Dan cukuplah Allah menjadi saksi.”
An-Nisa’ 4:166
Ayat ini menerangkan bahawa Al-Quran mengandungi kebenaran tentang ilmu Allah Swt berupa hukum-hukum, perintah dan larangan-Nya. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw, dalam keadaan terpelihara dan tidak bercampur dengan perkara-perkara lain serta tidak berlaku pengurangan atau penambahan.
Dalam ayat ini juga, Allah Ta‘ala menjelaskan bahawa Dia mengutus Nabi Muhammad saw sebagai pembawa berita gembira kepada orang-orang mukmin yang taat dan pemberi peringatan kepada orang-orang kafir yang menentang.
Ayat 106
وَقُرْءَانًا فَرَقْنَـٰهُ لِتَقْرَأَهُۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَـٰهُ تَنزِيلًا
Dan Al-Quran itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.
Allah Ta‘ala menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa, hikmah dan kemaslahatan umum yang bermanfaat di dunia dan akhirat. Ia diturunkan dalam masa lebih kurang dua puluh tiga tahun dan bukannya dalam masa dua atau tiga hari.
Turunnya Al-Quran pada malam yang diberkati iaitu pada malam Al-Qadar dalam bulan Ramadhan. Ia diturunkan ayat demi ayat yang masing-masingnya telah dijelaskan dan ditafsirkan.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir, ‘Ikrimah menyatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa Al-Quran diturunkan dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah di langit dunia. Kemudian diturunkan pula kepada Rasulullah saw secara beransur-ansur dan teratur sesuai dengan peristiwa yang terjadi selama dua puluh tiga tahun.
Allah Ta‘ala memerintahkan Nabi Muhammad saw membacakan Al-Quran kepada umat manusia sedikit demi sedikit.
Ayat 107
قُلْ ءَامِنُوا۟ بِهِۦٓ أَوْ لَا تُؤْمِنُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ مِن قَبْلِهِۦٓ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا
Katakanlah, “Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman (sama sahaja bagi Allah). Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud.
Ayat 108
وَيَقُولُونَ سُبْحَـٰنَ رَبِّنَآ إِن كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولًا
Dan mereka berkata, ‘Maha Suci Rabb kami, sesungguhnya janji Rabb kami pasti dipenuhi.’”
Ayat 109
وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا
Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.
Allah Ta‘ala menyatakan bahawa, sama ada orang-orang musyrik beriman atau tidak kepada Al-Quran adalah sama sahaja bagi-Nya. Ini kerana Al-Quran tetap merupakan kebenaran yang diturunkan-Nya dan telah disebutkan pada zaman-zaman terdahulu melalui kitab-kitab yang diturunkan kepada para Rasul sebelumnya.
Allah Ta‘ala juga menyatakan bahawa orang-orang soleh daripada kalangan ahli kitab yang berpegang teguh kepada kitab mereka, menegakkannya dan tidak mengganti atau mengubahnya, apabila dibacakan kepada mereka Al-Quran, mereka terus sujud kepada Allah Swt. Ini sebagai tanda mereka bersyukur terhadap anugerah-Nya kepada mereka, iaitu memberikan kesempatan untuk mereka bertemu dengan Rasul-Nya yang diturunkan kitab kepadanya.
Mereka mengucapkan, “Maha Suci Rabb kami” sebagai tanda penghormatan dan penyanjungan terhadap kekuasaan Allah yang sangat sempurna. Mereka juga mengakui bahawa Allah Swt tidak menyalahi janji-Nya kepada mereka melalui lisan para Nabi-Nya yang terdahulu iaitu tentang pengutusan Nabi Muhammad saw.
Mereka sujud sambil menangis dengan penuh kekhusyukan apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran. Ini kerana mereka beriman kepadanya dan kepada Nabi Muhammad saw.