9 Mukjizat Nabi Musa as dan Kebinasaan Firaun
Surah 17: Al-Isra’ (101 – 104)
Ayat 101
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَىٰ تِسْعَ ءَايَـٰتٍۭ بَيِّنَـٰتٍۢ ۖ فَسْـَٔلْ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ إِذْ جَآءَهُمْ فَقَالَ لَهُۥ فِرْعَوْنُ إِنِّى لَأَظُنُّكَ يَـٰمُوسَىٰ مَسْحُورًا
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Musa sembilan tanda (mukjizat) yang nyata, maka tanyakanlah kepada Bani Israil, tatkala Musa datang kepada mereka lalu Firaun berkata kepadanya, “Sesungguhnya aku sangka kamu, wahai Musa, seorang yang kena sihir.
Ayat 102
قَالَ لَقَدْ عَلِمْتَ مَآ أَنزَلَ هَـٰٓؤُلَآءِ إِلَّا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ بَصَآئِرَ وَإِنِّى لَأَظُنُّكَ يَـٰفِرْعَوْنُ مَثْبُورًا
Musa menjawab, “Sesungguhnya kamu telah mengetahui, bahawa tidak ada yang menurunkan mukjizat-mukjizat itu kecuali Rabb yang memelihara langit dan bumi sebagai bukti-bukti yang nyata. Dan sesungguhnya aku mengira kamu, wahai Firaun, seorang yang binasa.”
Allah Swt menyatakan bahawa Dia mengurniakan Nabi Musa as sembilan mukjizat semasa mengutuskan Baginda kepada Firaun dan kaumnya.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir terdapat tiga pendapat tentang sembilan mukjizat ini antaranya daripada Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, ‘Ikrimah, Sya’bi dan Qatadah mengatakan, sembilan mukjizat itu ialah tongkat, tangan (yang memancarkan cahaya), kemarau, kekurangan buah-buahan, banjir, belalang, kutu, katak dan darah. Namun Firaun dan kaumnya tidak mahu beriman dengannya.
Allah Ta‘ala memberitahu bahawa walaupun Firaun mengetahui mukjizat-mukjizat itu nyata daripada-Nya, dia masih mengingkarinya. Malah Firaun mengatakan bahawa Nabi Musa as merupakan seorang ahli sihir. Oleh itu, Firaun memang layak dilaknat dan dibinasakan.
Begitulah pula seandainya Allah Ta‘ala menunaikan permintaan orang-orang musyrik dengan memberikan mukjizat yang diminta kepada Rasulullah saw, lalu mereka menyaksikannya, mereka pasti tetap tidak akan beriman kecuali jika Allah Swt menghendaki. Hal ini sama seperti yang dilakukan oleh Firaun kepada Nabi Musa as, setelah melihat sembilan mukjizat tersebut, Firaun tetap ingkar.
Ayat 103
فَأَرَادَ أَن يَسْتَفِزَّهُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ فَأَغْرَقْنَـٰهُ وَمَن مَّعَهُۥ جَمِيعًا
Kemudian (Firaun) hendak mengusir mereka (Musa dan pengikut-pengikutnya) dari bumi (Mesir) itu, maka Kami tenggelamkan dia (Firaun) serta orang-orang yang bersama-sama dia seluruhnya.
Firaun hendak mengusir Nabi Musa as dan pengikut-pengikut Baginda dari Mesir. Namun Allah Swt membinasakan mereka dengan menenggelamkan kesemuanya ke dalam lautan.
Ayat 104
وَقُلْنَا مِنۢ بَعْدِهِۦ لِبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱسْكُنُوا۟ ٱلْأَرْضَ فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ ٱلْـَٔاخِرَةِ جِئْنَا بِكُمْ لَفِيفًا
Dan Kami berfirman sesudah itu kepada Bani Israil, “Diamlah di negeri ini, maka apabila datang masa berbangkit, nescaya Kami datangkan kamu dalam keadaan bercampur baur (dengan musuhmu).”
Allah Ta‘ala menyelamatkan Nabi Musa as dan Bani Israil daripada Firaun. Dia mewariskan mereka negeri, harta kekayaan, ladang-ladang, buah-buahan dan harta-harta simpanan Firaun. Firman-Nya:
“Demikianlah halnya dan Kami anugerahkan semuanya itu kepada Bani Israil.”
Asy-Syu‘ara’ 26:59
Namun Allah Ta‘ala memberikan peringatan kepada mereka bahawa kelak apabila dibangkitkan dari kubur, mereka bercampur dengan musuh-musuh mereka di Mahsyar. Ketika itu akan diketahui siapa yang bahagia dan siapa yang celaka.