Surah 16: An-Nahl (80 – 83)

Nikmat-nikmat Allah Ta’ala kepada Hamba-Nya

Surah 16: An-Nahl (80 – 83)


Ayat 80

وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنۢ بُيُوتِكُمْ سَكَنًا وَجَعَلَ لَكُم مِّن جُلُودِ ٱلْأَنْعَـٰمِ بُيُوتًا تَسْتَخِفُّونَهَا يَوْمَ ظَعْنِكُمْ وَيَوْمَ إِقَامَتِكُمْ ۙ وَمِنْ أَصْوَافِهَا وَأَوْبَارِهَا وَأَشْعَارِهَآ أَثَـٰثًا وَمَتَـٰعًا إِلَىٰ حِينٍ

Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah kamu sebagai tempat tinggal dan Dia menjadikan bagi kamu rumah-rumah (khemah-khemah) daripada kulit binatang ternak yang kamu berasa ringan (membawa)nya pada waktu kamu berjalan dan pada waktu kamu bermukim dan (dijadikannya pula) daripada bulu biri-biri, bulu unta dan bulu kambing, peralatan rumahtangga dan perhiasan (yang kamu pakai) sampai waktu (tertentu).

Allah Swt yang Maha Suci lagi Maha Tinggi menyebutkan kesempurnaan nikmat-nikmat-Nya yang telah dianugerahkan kepada hamba-hamba-Nya. Dia telah menjadikan rumah sebagai tempat tinggal untuk berteduh dan berlindung di dalamnya.

Allah Ta’ala juga menjadikan bagi mereka khemah-khemah daripada kulit binatang ternak yang ringan bagi mereka membawanya baik ketika dalam perjalanan mahupun ketika mereka bermukim.

Selain itu, bulu-bulu binatang seperti bulu biri-biri, unta dan kambing juga boleh dijadikan pakaian, barang dagangan dan kelengkapan peralatan rumahtangga seperti permaidani dan lain-lain. Semua peralatan ini digunakan oleh manusia untuk kemudahan mereka sehinggalah sampai masa yang ditetapkan oleh Allah Swt.

Ayat 81

وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّمَّا خَلَقَ ظِلَـٰلًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ ٱلْجِبَالِ أَكْنَـٰنًا وَجَعَلَ لَكُمْ سَرَٰبِيلَ تَقِيكُمُ ٱلْحَرَّ وَسَرَٰبِيلَ تَقِيكُم بَأْسَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُتِمُّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْلِمُونَ

Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung daripada apa yang telah Dia ciptakan. Dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat tinggal di gunung-gunung. Dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu daripada panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya).

Allah Ta’ala menyatakan nikmat-nikmat kurniaan-Nya yang lain iaitu Dia menjadikan pepohonan dan gunung-gunung serta gua-gua untuk dijadikan tempat perlindungan yang aman daripada musuh, panas matahari dan tiupan angin.

Dia juga menjadikan pakaian yang dibuat daripada kapas, sutera atau bulu binatang dan lain-lain supaya manusia dapat menutup aurat. Selain itu dapat melindungi anggota badan mereka daripada kepanasan dan kesejukan.

Seterusnya dijadikan-Nya juga pakaian daripada besi. Pakaian seperti baju besi, topi besi dan perisai besi ini dapat melindungi manusia daripada terluka dalam peperangan.

Qatadah mengatakan maksud ayat, “Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung daripada apa yang telah Dia ciptakan,” ialah pohon-pohon, manakala maksud ayat, “Dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat tinggal di gunung-gunung,” ialah benteng-benteng dan parit-parit, dan maksud ayat, “Dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu daripada panas,” ialah pakaian yang dibuat daripada kapas dan bulu. Maksud ayat, “Dan pakaian baju besi yang memeliharamu dalam peperangan,” ialah baju besi, perisai, topi keledar dan pelbagai kelengkapan perang yang lain.

Allah Ta’ala telah menyempurnakan nikmat-nikmat-Nya di dunia ini dengan menciptakan segala sesuatu yang menjadi keperluan manusia adalah bertujuan agar mereka dapat mengesakan-Nya dan beribadah kepada-Nya.

Ayat 82

فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ ٱلْبَلَـٰغُ ٱلْمُبِينُ

Jika mereka tetap berpaling, maka sesungguhnya kewajipan yang dibebankan atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.

Setelah Allah Ta’ala menyebutkan satu persatu nikmat yang dikurniakan-Nya, Dia mengingatkan pula kepada kaum Quraisy. Sekiranya mereka masih ingkar kepada-Nya iaitu tidak mahu menerima apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw, maka bukanlah lagi menjadi tanggungjawab Baginda kerana tugas Baginda hanyalah menyampaikan risalah-Nya dengan sejelas-jelasnya.

Ayat 83

يَعْرِفُونَ نِعْمَتَ ٱللَّهِ ثُمَّ يُنكِرُونَهَا وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْكَـٰفِرُونَ

Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kafir.

Mereka yang ingkar ini sebenarnya mengetahui dan mengakui bahawa semua nikmat-nikmat itu adalah daripada Allah Swt tetapi mereka tetap mengingkarinya dengan menyekutukan-Nya. Mereka itulah orang-orang yang kafir.